Memegang gelaran sebagai perintis sub-budaya Skinhead dan peneraju Eastern Oi! Malaysia sebenarnya satu tanggungjawab besar. A.C.A.B yang telah wujud sejak 1994 asalnya merupakan sebuah unit punk rock sebelum bertemu hala tuju sebenar yang meletakkan mereka di puncak kegemilangan dan memegang status legenda seperti sekarang. Entiti ini pernah mencapai tahap kultus di era penghujung 90-an sehingga awal 2000; lantas menjadi inspirasi kepada ratusan band lain dan idola kepada ribuan anak muda. Namun, mampukah mereka kekal konsisten hingga ke hari ini?
Seperti yang kita tahu, muzik A.C.A.B adalah progresif seiring peredaran zaman. Benar, mereka bermula dengan street punk, namun atas dasar jati diri yang kuat terhadap karya-karya rock kapak acuan tempatan, ia akhirnya meresap ke dalam penulisan lagu-lagu mereka tanpa dapat dibendung, dan buktinya dapat kita lihat dalam album ketiga mereka; Orang Timur (2002) kemudian Bangun (2004) dengan gaya yang lebih berat. Megat aka Magskin sebagai tunggak utama A.C.A.B pula seorang yang tidak mudah tunduk dengan desakan dan keselesaan lalu tanpa banyak bicara merubah terus haluan A.C.A.B secara mengejut pada tahun 2006 dengan lahirnya album This is The A.C.A.B yang bernuansa indie rock.
Walaupun muzik mereka berevolusi, ada satu perkara yang tidak berubah sejak dahulu; “Rugged”. This is The A.C.A.B mungkin album mereka yang paling ringan, tetapi ego rock ‘n’ roll mereka tetap tinggi. Jika dibandingkan dengan karya-karya indie rock sekarang, penulis masih merasakan This is The A.C.A.B berada di kelasnya yang tersendiri.
Setelah 14 tahun, sifat “rugged” itu kembali dalam pakej album mini Demonstration ’95 Revisited yang menghimpunkan empat buah lagu dari demo tahun 1995 A.C.A.B serta sebuah lagu baharu, juga lagu terakhir mereka yang berjudul What It’s Like to be Free?.
Turut mendapat khidmat Anas di bahagian bass dan Zul di posisi drum, album ini diterbitkan oleh A&Z Records dan dirakam sepenuhnya di Rajawali Studio, Pulau Pinang sekitar bulan Jun hingga Ogos tahun 2020.
ULASAN LAGU:
1. Somebody’s Song
Seraya bermula riff intro, pasti peminat-peminat A.C.A.B kembali ke tahun 2004 sewaktu EP Anti Racist dilancarkan. Melodi Oi! Pengkhianat pasti bermain-main di kepala. Namun, tidak ramai yang tahu asalnya lagu bernuansa rockabilly ini terkandung dalam demo tahun 1995 mereka dengan tajuk dan lirik lain yang berunsur perkauman. Sejujurnya, penulis sendiri tidak pernah mendengar versi demo tersebut sehingga kini.
25 tahun kemudian, Megat menggubah semula susunan lagu ini dengan lirik baharu yang lebih ‘aggro’ dan tempo yang lebih perlahan berbanding versi 2004.
2. City Girl
Trek yang kedengaran sangat segar. Susunan lagunya juga amat berlainan, lebih perlahan dan rock ‘n’ roll berbanding versi asal yang sangat punky attitudenya. Versi baharu ini lebih mesra pendengar dan bahagian korusnya juga sangat catchy disulam dengan gang vocals yang kena pada tempatnya. Pendek kata, City Girl adalah trek rakaman semula terbaik dalam mini album ini dan menjadi kegemaran penulis!
3. Bookies
Suatu ketika dahulu, penulis lebih menggemari versi saduran lagu ini yang didendangkan oleh Plague of Happiness kerana kedengaran sangat unik dialunkan dalam nuansa ska punk. Versi tersebut terkandung dalam album Tribute to A.C.A.B Vol. 1 (2004).
Versi 2020 menampilkan gaya serupa seperti Somebody’s Song dan City Girl, dengan temponya yang lebih perlahan bersama attitude rock ‘n’ roll yang kekar.
4. 1.3.1.2
Tidak perlu diulas panjang. Sejurus selesai mendengar kali pertama versi rakaman semula ini, penulis terus membuat kesimpulan bahawa A.C.A.B versi album Eastern Oi! (1999) adalah yang terbaik dan tidak mampu ditandingi.
Apa yang membuatkan versi asal lebih superior? Jawapannya terletak pada bahagian “They lock us up/ they have no right/ They kick our head/ We can’t even fight/ Give us food that ain’t good to eat/ Treat us like a bunch of pigs!” yang diluah penuh amarah seorang anak Skinhead berusia 21 tahun pada ketika itu berbanding 42 tahun ketika ini.
5. What It’s Like to be Free?
Apakah rasanya menjadi bebas? 26 tahun perjalanan seni A.C.A.B ditutup dengan sebuah trek Skinhead Reggae yang syahdu. Adakah ia sebuah penghabisan yang baik? Bagi penulis, ya. Mungkin ramai yang mengharapkan lagu terakhir ini sebuah mahakarya yang keras dan menggugat, namun penulis melihat ia sebagai encore kepada semua boot bois yang setia bersama mereka sejak awal.
Mini album ini hadir setelah 14 tahun A.C.A.B tidak merakam sebarang material; dan tulisan Megat ini seperti bernostalgia dengan kehidupannya sendiri dan beribu lagi pengikut Skinhead lain yang masih dibelenggu pancaroba dunia serta dipandang sinis masyarakat dan pihak autoriti. Ia juga bagai kesinambungan kepada lagu Streets of Uptown yang mengandungi bait-bait “Scorned by many, understood by few.”
Cara penyampaian vokal Megat sangat sayu kerana setiap baris ayat dalam lirik ini sangat dekat dengan dirinya dan ini juga merupakan kali pertama kita mendengar Megat ber-vibrato walaupun sedikit pelik. Namun beliau yang dikenali sebagai seorang komposer genius berjaya menyusun lagu ini dengan cantik dan ‘kaya’ di semua bahagian.
Dari segi produksi, boleh dikatakan album mini Demonstration ’95 Revisited adalah sebuah naskah yang bagus, tetapi penulis perlu jujur di sini. Kesan bunyi distortion dan compressor pada vokal Megat agak mengganggu di banyak bahagian, dan satu-satunya lagu yang sesuai adalah City Girl. Mungkin juga kerana masalah mastering, efek tersebut membuatkan vokal beliau kedengaran agak mendap dan tidak seimbang dengan muzik.
Selain itu, ia adalah sebuah come back yang baik walaupun peminat-peminat A.C.A.B hanya dapat merasai 16 minit sahaja durasi produk kali ini. Sentuhan gitar dan solo Megat masih berbisa, bass dan drum kedengaran sangat sedap di telinga dan vibe rock ‘n’ roll dalam mini album ini membuktikan bahawa Megat masih membawa semangat sama seperti zaman mudanya.
Selepas ini, Megat akan meneruskan perjuangannya dengan band baharu, KLAN dan seperti yang kita tahu, lagu-lagu yang telah ditulis tidak kurang hebatnya berbanding A.C.A.B. Penulis tidak sabar mahu mendengar lagu-lagu seperti Stone Island Tonight, Wataniyah, Seniwati dan Laisa Mumkin dirakam dan diperdengarkan kepada peminat baharu dan lama.
Berilah ruang kepada Megat untuk terus berevolusi. Beliau bukan lagi Magskin di era perdananya 20 tahun lepas. Generasi kini perlu mencari pelapis street rock baharu dengan karya-karya Eastern Oi! yang lebih segar dan menggugat autoriti dan konformis!
Apa yang penting adalah Megat masih rock dan tiada tanda-tanda daya kreatifnya berkurang. Lagu-lagunya masih bersifat anthemic dan mudah dihafal, memberi impak malar segar yang sukar kita temui sekarang.
Masih wujudkah sisa-sisa magik Magskin? Magskin tidak lebih sekadar figura nostalgia zaman gemilang yang tidak mungkin terulang. Apa yang perlu kita raikan sekarang adalah reinkarnasi beliau, Major Max.
Tonton temubual kami bersama Megat yang membicarakan tentang mini album ini: