Meneroka Sisi Romantis Mohd Jayzuan Dalam ‘Filokalis’

oleh Rahmat Mohd Did
3.8K bacaan

Namanya mungkin tidak segah Noh Salleh, namun seniman multi-disiplin ini tetap punya pengikut kultusnya yang tersendiri. Mula bergiat aktif dalam scene sejak lewat 90an semasa masih bersekolah menengah, Mohd Jayzuan telah menghasilkan beberapa album, EP dan kompilasi menggunakan pelbagai moniker antaranya Bloodymary, Free Love dan yang terkini, Joni Mustaf.

Kali terakhir beliau mengeluarkan album adalah pada Disember 2019 melalui alter-egonya; Joni Mustaf yang lebih fokus pada muzik eksperimental. Album berjudul ‘Sorry, Poor Connection’ diterbitkan hanya untuk pasaran Indonesia oleh artis-kolektif; ruangrupa. Sebuah lagu bertajuk \\nyandor\\ juga baru dikeluar pada 15 September 2021, satu projek seni Joni Mustaf bersama Mekong Cultural Hub (Taiwan), British Council (UK) dan Helvetas (Switerzerland).


Filokalis merupakan album solo ketiga Mohd Jayzuan setelah dua buah album terdahulu Love-Fi (Bodysurf Music, 2008) dan Pop n’ Roll (Projek Rabak, 2015). Terbitan yang menggunapakai nama ‘Mohd Jayzuan’ ini lebih dekat dengan sisi singer-songwriter beliau.

Menurut Mohd Jayzuan, Filokalis adalah sebuah album yang sangat intim dan paling peribadi pernah dihasilkannya. Ia sebuah album berkonsep untuk merakam kewujudan seorang sosok istimewa. Proses pembikinan Filokalis adalah proses penyembuhan dan penjelmaan baru.

Album ‘romantis-pop’ ini hanya dirakam oleh Mohd Jayzuan dan rakan lamanya; Adink Permana, seorang produser dan pemuzik asal Jakarta yang pernah terlibat dengan rakaman band seperti Sore, Payung Teduh, Harlan Boer, Noh Salleh, Ayushita dan beberapa lagi. Adink yang mengenali Jayzuan sejak 2009 berkata, “Album ini bukan lagu, ianya fervent
prayer.

Mohd Jayzuan merakam semua bahagiannya di Nagarakota, Lumut dan dijuruterakan oleh Mohd Najmi Jamaluddin dan Adink Permana pula merakam bahagiannya di Ecoando Sons, Jakarta. Album ini diadun oleh Dzulky Sunarya dan proses mastering dijalankan oleh Solideo Kevin yang keduanya dilakukan di Sine Studio, Jakarta. Rekabentuk album pula mendapat sentuhan Redzuandy Ramli, seorang seniman grafik kegemaran Mohd Jayzuan.


Filokalis sebenarnya adalah sebuah album konsep yang aku abadikan untuk mengenang seorang sosok wanita yang aku rindui dan rayakan. Setiap lagu di dalamnya bersambung dan tidak pernah berhenti, seperti sebuah cerpen dengan babak-babak tertentu. Ianya satu lagu panjang dibahagi pada lima babak.”

Demikian kata-kata Jayzuan sewaktu ditemubual oleh penulis baru-baru ini. Dalam era di mana kebanyakan artis/ band sibuk mengeluarkan single demi single kemudian dikompilasikan ke dalam sebuah naskah yang mereka gelar album, Jayzuan antara yang masih percaya dengan magis dan fungsi sebenar album.

Aspek lirikal dalam setiap lagu yang dikarang juga mengalir deras dengan pemilihan kata-kata puitis bagai sebuah antologi puisi bertemakan cinta. Antara rangkap terbaik pilihan penulis dalam album ini adalah di lagu Dhanjelita yang berbunyi “Wajahmu hujan pagi/ Terpesona sungguh sensasi/ Lirihmu senja Februari/ Tergoda maha seksi.”

Mengenang tentang kolaborasinya bersama Adink Permana, beliau merasakan Adink berjaya menyuntik dimensi baharu kepada karya-karyanya walaupun hanya bekerja dari jarak jauh.

“Sepatutnya album ni aku nak rakam sekali dengan Adink dan aku yakin ia akan jadi lebih baik begitu, tetapi disebabkan keadaan yang tidak mengizinkan, kami terpaksa merakam secara berasingan. Bagaimanapun, aku sangat berpuas hati dengan hasil akhir produk ini dan pastinya selepas ini aku akan bekerjasama dengannya lagi.

 

“Antara sebab lain aku suka bekerja dengan Adink adalah kerana kami memiliki citarasa muzik yang sama dan dia betul-betul faham apa yang aku mahukan. Aku cuba juga cari pemuzik lain seperti Adink di sini tapi tak jumpa. Lagipun Adink memang boleh main banyak instrumen, lebih jimat kos berbanding mengupah ramai sessionist dalam satu-satu masa.”

Tambahnya, selain dirinya yang keluar dari zon selesa dengan menghasilkan album sebegini, Adink juga turut bereksperimen dengan bunyi-bunyian baharu dan menghasilkan sesuatu yang tidak pernah dilakukannya dengan mana-mana projek sebelum ini.

“Dari segi visi, hala tuju, susunan lagu memang semua aku yang terajukan dan gubahan serta komposisi diramu bersama Adink.”

Ditanya tentang hala tuju muziknya selepas ini, Jayzuan menyatakan bahawa beliau tidak meletakkan sebarang ekspektasi untuk hal tersebut.

“Aku dah ada moniker Joni Mustaf untuk diskografi berbentuk instrumental dan eksperimental. Dengan Mohd Jayzuan, nuansanya lebih bebas tetapi aku sentiasa melihat potensi baharu dan tidak suka mengulang benda sama. Mungkin selepas ini aku akan mengembara ke satu daerah muzik lain pula. Mana tahu?”


Diterbitkan oleh artis-kolektif; Projek Rabak, Filokalis mendapat bantuan PORT Ipoh di bawah Dana Kreatif Perak. Taja Archive pula bertanggungjawab menyelia hal-hal digital dan publishing, sementara Dream Projects menguruskan jualan atas talian yang boleh dihubungi di 0112-094-7544.

Memegang prinsip DIY melalui sabda Ian Mackaye, Mohd Jayzuan meletakkan harga RM10 sahaja untuk album ini. Murah, berbaloi dan sesuai dilayan sambil menghirup kopi di beranda di malam hari melihat bulan!

Filokalis: Pencinta keindahan

Ikuti Mohd Jayzuan di:

Instagram

Facebook

Twitter

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅