Megat (A.C.A.B) kembali dengan formasi baharu yang dikenali sebagai KLAN, sebuah band indie rock ‘n’ roll yang ditubuhkan pada tahun 2017 di Johor Bharu.
KLAN sebenarnya adalah penjenamaan semula Addukhan yang lahir sekitar tahun 2012 dibarisi oleh saudara-saudaranya di Johor. Walaupun masih aktif bersama A.C.A.B, Megat merasakan beliau perlu sebuah band projek untuk meluaskan horizon muzikalnya yang ketika itu sangat dipengaruhi Oasis dan Beady Eye (band projek Liam Gallagher).
Setelah beberapa tahun merakam demo dan hiatus, KLAN akhirnya berjaya merakam EP pertama mereka, Indie Rock ‘N’ Roll dan secara rasminya dilancarkan pada bulan Mac tahun ini.
Rilisan yang mengandungi empat trek berdurasi 15 minit ini dibuka dengan Wallah Azimah. Menurut penulis, ia merupakan pilihan yang sangat tepat daripada Megat & Co. Menurut beliau,
Wallah Azimah adalah sebuah lagu rock ‘n’ roll tentang seorang wanita agung dipengaruhi stail Beady Eye & Liam Gallagher.
Perlu diingatkan, hala tuju KLAN amat berbeza dengan A.C.A.B kerana “KLAN is rock ‘n’ roll for Hooligans,” jelas Megat dalam beberapa siri hantaran di Facebooknya. Ia mungkin lebih dekat dengan The A.C.A.B tetapi penulis merasakan KLAN adalah sesuatu yang lebih segar daripada Megat tanpa menyimpang daripada foundation rock-nya yang kukuh.
https://www.facebook.com/klanband/posts/pfbid02bRvkzbeLA3SapgNGmjsNt4Z1nsJtyTaw8ZfijzfCG6g1oh42V4CD7QciGBskAZ7Sl
Wallah Azimah bermula dengan asakan riff gitar rock ‘n’ roll yang catchy dan vokal bersahaja Megat dilatari lirik fusion bahasa Inggeris-Arab membuatkannya unik. Seperti biasa, komposer yang terkenal dalam kalangan peminat muzik bawah tanah ini tidak pernah gagal menghasilkan korus yang besar dan sesuai untuk dinyanyikan bersama di setiap persembahan langsung mereka.
Stone Island Tonight pula menyelami kisah perseteruan dan gaya hidup hooligans di kota London yang ditulis berdasarkan pengalamannya semasa tinggal di sana sekitar 2003 hingga 2007.
Lagu ini dipengaruhi cara nyanyian kumpulan Indie dari UK iaitu Suede dengan sedikit feel gitar daripada kumpulan New Wave Of British Heavy Metal, Iron Maiden.
Terdapat banyak reference dari segi fesyen, budaya pop dan bola sepak dalam lirik lagu ini dan Megat adalah orang yang paling tepat untuk menulis dan menyanyikannya ditambah sedikit perisa loghat ‘Britishnya’ yang sudah biasa kita dengar sejak dulu.
https://www.facebook.com/klanband/posts/pfbid0dtfdDwd2ohcyqK3EnRUSeaK9ufLg9SYLcneZZZbhgP7eyZZb2EUagA2ooMqouDxZl
Lagu ketiga dalam EP, Moonlighting sebenarnya adalah single pertama KLAN di mana demonya telah dirakam pada tahun 2012 sewaktu menggunakan nama Addukhan. Lagu ini telah melalui banyak proses pertukaran gubahan atas faktor sokongan kepada pasukan Johor Darul Takzim (JDT), pertukaran lokasi stadium dan sebagainya.
Moonlighting adalah sebuah lagu Indie Rock ‘N’ Roll ditujukan buat pasukan bola sepak JDT yang dipengaruhi oleh stail muzik Glam Rock 70an seperti David Bowie dan juga kumpulan-kumpulan Indie dan Britpop 90an seperti Suede dan Oasis namun dengan chords tersendiri yang mempunyai elements Blues & Jazz di dalamnya.
https://www.facebook.com/klanband/posts/pfbid02akHUUGKEznaKKzhcshgBNDxjtZwhokjZZzEb8onftPdEhMY3veXKswnBSuPsL3Apl
Moonlighting adalah sebuah anthem untuk pasukan bola sepak yang kuat dan penulis menunggu bait-baik lirik ini berkumandang di SSI suatu hari nanti.
Mimpi Indah menutup EP Indie Rock ‘N’ Roll dan merupakan trek pilihan penulis. Komposisi balada dalam lagu ini sangat ‘menggigit’ dan membuai kalbu.
Mimpi Indah adalah sebuah lagu cinta yang ditujukan buat Puteri Rasulullah, Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Sayyidatina Fatimah Azzahra dalam stail muzik Indie dan Britpop seperti lagu Saturday Night oleh Suede dari UK.
https://www.facebook.com/klanband/posts/pfbid0c7uA1ER7D4q3cAV44ePKUWJ3Wo6UV6ppYfqF8xQapGcwiq2i5tXy8tixaszmL86il
Memang banyak persamaan Mimpi indah dengan Saturday Night tetapi KLAN tetap mengekalkan identitinya sendiri dan lebih mudah diterima telinga peminat muzik tempatan dan lagu ini sepatutnya sudah diputarkan di radio-radio tempatan sejak awal lagi!
Penulis dan mungkin ramai lagi peminat yang mengikuti trajektori KLAN sejak mula mungkin agak kecewa dengan pengguguran lagu Seniwati daripada EP ini namun menurut Megat, “Seniwati akan dilancarkan sebagai single selepas ini.” Ini merupakan satu strategi yang baik dalam memastikan nama KLAN sentiasa relevan dan diperkatakan. Tidaklah terlalu lama menunggu keluaran album penuh pula nanti.
Apa yang diperlukan KLAN sekarang adalah promosi dan bagi penulis, muzik video (MV) adalah cara yang paling tepat untuk memikat jiwa peminat muzik, lebih-lebih lagi peminat baharu dalam kalangan anak muda. Saranan penulis, Moonlighting paling sesuai dijadikan MV pertama KLAN disusuli oleh Mimpi Indah.
Secara kesimpulan, penulis amat berpuas hati dengan EP Indie Rock ‘N’ Roll tetapi tetap mahu memberikan sedikit kritikan dari sudut produksi. Lebih seminggu penulis mendengar EP ini melalui platform Tidal HiFi dan CD di pelbagai sumber seperti speaker PC, kereta dan juga earphone. Outputnya tetap sama; treble semua lagu terlalu tinggi menyebabkan bahagian mid dan low tenggelam. Jika didengar berulang kali boleh menyebabkan sakit telinga dan pening kepala. Penulis amat berharap perkara ini diberikan perhatian sewajarnya. Mungkin akan ada versi remastered di kemudian hari?
Apa pun, syabas buat KLAN terutamanya Megat kerana berani keluar dari zon selesa dan terus konsisten menghasilkan lagu-lagu yang sedap didengar dan dinyanyikan bersama. KLAN berpotensi menjadi salah satu nama besar dalam ranah muzik tempatan dengan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk media dan penganjur acara. Terus berkarya dan bereksperimen dengan bunyi-bunyian yang lebih segar!
Tahniah juga penulis ucapkan kerana masih percaya dengan rilisan fizikal di era serba digital ini. Cetakan pertama EP Indie Rock ‘N’ Roll telahpun habis dijual sebanyak 300 naskah dan kini sudah memasuki cetakan keduanya. Lirik untuk kesemua lagu hanya dicetak di inlay EP dan kepada sesiapa yang berminat untuk memilikinya, bolehlah hubungi KLAN sekarang.
Ikuti KLAN di: