Alunan muzik metal dari Ipoh ternyata semakin menjadi-jadi. Kita semua tahu Ipoh adalah salah satu markas terpenting kepada perkembangan hitam putih muzik bawah tanah negara. Phantom Lord Ipoh, sebuah band yang cukup versatil dalam pembawaan imej metal adalah salah satu aprentis generasi baharu muzik ekstrim dari daerah tersebut. Lagu Save Palestine merupakan lagu keempat yang mereka terbitkan setakat ini.
https://www.youtube.com/watch?v=qFWnYEejNZk
Tarikh cantik 22 Januari menyaksikan Phantom Lord Ipoh menghidangkan sebuah adunan seni keras sebagai buah tangan pembuka 2022. Lagu yang berdurasi 6 minit ini didatangkan bersama video muzik (MV) rasmi di saluran YouTube mereka. PLI yang dianggotai empat anak muda berusia awal 20-an yang terdiri daripada Wan Brutal selaku vokalis dan pemain bass, Syaz Tremolo sebagai gitar utama manakala gitar kedua diisi oleh Roy PLI dan yang terakhir paluan dram serba ganas dimainkan oleh Zul Thrasher. Naskah ini ditulis oleh sahabat rapat mereka sendiri iaitu Akmal Aasri dan juga Dr. Zieman yang juga salah seorang PLI Suppoters yang giat menyumbang idea kepada PLI dan menjadi inspirasi buat PLI sendiri . Tabik kepada mereka kerana merujuk kepada yang lebih ahli sekaligus menjadikan lirik yang disampaikan lebih berilmiah dan signifikan dengan isu.
Pembuka lagu yang terus menginzalkan telinga pendengar melalui petikan gitar yang diiringi distorsi garang agak sesuai menjadi pemula lagu ini. Masuk sahaja dram, penulis yang pertama kali mendengar karya Phantom Lord Ipoh merasakan pekat benar pengaruh Norwegian black metal dalam Save Palestine dan apabila digabungkan dengan lirik perjuangan sebegini, ia ternyata sebuah usaha yang unik dalam menyampaikan mesej keamanan sejagat dalam tujahan muzik keras.
Lontaran shrieking vocal oleh Wan Brutal sebenarnya bagus. Cuma penulis merasakan, atas faktor luaran yang tidak dapat dikawal, lagu ini kedengaran sedikit lemah di produk akhirnya. Lemah disini, dari segi adunan yang menjadikan gabungan instrumen dan vokal kadangkala ada yang tenggelam. Bunyi drum dan bass yang tidak seimbang dan terlalu ke hadapan agak mengganggu vokal dan bunyi gitar. Ini juga mereka semua tidak bernaung di bawah mana-mana label rakaman dan semuanya disiapkan secara DIY oleh PLI sendiri.
Tapi, kita kena ingat, kurang dari segi adunan belum tentu live tak bagus. Live performance mereka pastinya dahsyat. Cukup menonton keratan footage aksi-aksi live mereka, penulis merasakan mereka mampu membawa persembahan yang energetik dan penuh momentum. Come on brother! PLI juga mendapat tempat di hati peminat luar negara seperti Poland, Singapura dan juga Indonesia.
Beralih kepada MV mereka pula. Intro muzik video memang sangatlah menarik. Kalau minta beri 5 bintang, penulis beri 10 bintang. Intro yang disertakan sample dan beberapa footage insiden apa yang sedang berlaku di bumi Palestin. Tangkapan setiap adegan juga berada tahap yang sangat memuaskan, menampakkan semua ahli band dan diselangi dengan rakaman bumi Palestin diselang-selikan dengan footage sewaktu mereka beraksi secara live. Namun, visual dan ayat-ayat yang terkandung dalam MV ini mungkin agak sensitif bagi sesetengah pihak *ehem* YouTube *ehem* dan harapnya tidaklah hilang tiba-tiba nanti.
Sekalung tahniah buat PLI dan buat semua PLI Supporters atas pelancaran Save Palestine dan MV rasminya. Ayuh sebarkan lagi karya terbaharu ini hingga terkenal ke seantero dunia. Tekan pautan di bawah, tinggalkan komen dan jangan lupa share guys!
Ikuti PLI dengan menekan pautan dibawah: