Tahukah kalian, dianggarkan lebih kurang 30,000 orang di Jepun mati sendirian setiap tahun dan dalam masa kurang 15 tahun, jumlah ini dijangka meningkat ke 100,000 orang setahun! Fenomena merisaukan ini dikenali sebagai kodokushi (lonely death).
Kodokushi merupakan masalah sosial yang membelenggu masyarakat lebih-lebih lagi warga tua di Jepun yang terputus hubungan sosial dengan keluarga dan akhirnya mati keseorangan di apartment masing-masing dan hanya disedari jiran tetangga apabila mayat mereka sudah busuk dan mereput. Lebih unik, terdapat sebilangan syarikat khusus yang mengambil upah untuk mengurus dan membersihkan apartment-apartment mangsa sebegini.
Kugiran post-rock Kuala Lumpur, MIM mendalami derita ini dan menzahirkannya dalam bentuk lagu dengan tajuk yang sama, “Kodokushi.” Opus berdurasi sembilan minit ini adalah runut bunyi kepada penderitaan yang dialami mangsa kodokushi di saat-saat akhir hidup mereka yang kesepian tanpa ada sesiapa menemani.
Kugiran dianggotai Has di posisi gitar, Kamil di bahagian bass dan Abby sebagai pemain dram ini mempunyai sense of timing yang sangat baik serta kemampuan menyusun struktur lagu yang sangat cermat menjadikan komposisi “Kodokushi” sangat utuh dan mencengkam sedari awal lagu sehingga ke not terakhir.
Bermula dengan suara mendesah dan efek seperti ‘gergaji,’ pengalaman sebenar “Kodokushi” hanya bermula selepas minit ke 1:35 dan selepas itu seperti biasa; verse-chorus-bridge-ending. Walaupun penutup lagu ini kedengaran sangat besar dan epik, namun ia mempunyai masalah di bahagian tengah. Lagu ini perlu lebih progresif dan dipecahkan kepada lebih banyak bahagian untuk memberi impak yang lebih kejam seterusnya memberi kesan emosi yang lebih dahsyat kepada pendengar yang benar-benar mahu memahami kodokushi.
Lagu ini berpotensi untuk digubah lebih panjang sebenarnya. Penulis membayangkan 15 minit ke atas. Bagi majoriti pendengar, sembilan minit mungkin sudah cukup panjang bagi sebuah lagu, namun bagi sebuah lagu post-rock, ia adalah perkara biasa. MIM bukan sekadar kugiran post-rock, mereka membawa aura psychedelic rock dan berpotensi untuk pergi lebih jauh ke dalam nuansa progressive rock. Jika ini diberi perhatian dan mereka mengaplikasikannya untuk karya seterusnya, penulis yakin mereka boleh pergi lebih jauh. Dari segi permainan dan hasil rakaman, produk ini sebenarnya sudah bertaraf antarabangsa.
“Kodokushi” merupakan salah satu single yang terkandung dalam EP Runut Dalam Jeda yang akan diterbitkan tidak lama lagi. Sebelum ia menjalari ruang maya secara rasmi, dengarkan dahulu versi live-nya di Kamar Seni Studio Live Session:
#Thunderstrike