
SONY DSC
Oleh: ZainlRR
Kuantan tak pernah relax. Boleh dikatakan setiap hari minggu bandaraya paling mentah dalam negara ini tak putus-putus dengan festival itu dan ini. Bumi yang dikurniai pantai, air terjun sekali gus bakal menjadi sebuah bandaraya paling moden tak lama lagi.
Berlangsung selama tiga hari berturut-turut, tapak acara Monsoon Camp 5 mula dipenuhi dengan ahli perkhemahan yang datang dari seluruh pelosok negara. Apa yang istimewanya festival kali ini bukan sekadar sebuah acara perkhemahan, malah turut menyediakan sebuah pentas agam bagi sajian halwa telinga kepada mereka yang hadir. Lebih istimewa, ianya terbuka kepada orang awam secara percuma. Bawalah kerusi portable dan pacaklah di kawasan lapang untuk menyaksikan persembahan di pentas sambil menghirup kopi atau baekkkk punya soruuuu Nasi Ganja Berdengung yang dijual bersebelahan tapak perkhemahan.
Kali ini, Monsoon Camp membawakan lebih banyak nama-nama besar dalam arena muzik tempatan seperti Plague Of Happiness, A.C.A.B, SATWO, Iqbal M , Jemson, Zip Zieller dan terlalu banyak kugiran lain untuk penulis catatkan. Malah kemeriahan bertambah lagi dengan persembahan penyanyi ska yang penuh daya Soul dari Jakarta, Denny Frust dan Radit Echoman dengan alunan Dub Reggaenya. Monsoon Camp bukan sekadar menumpang nama besar untuk melakukan acara. Ini bukan tapak yang penuh dan jenuh dengan diskriminasi. Baik orang baharu mahupun old timer dapat membikin persembahan di pentas. Kerinduan peminat terhadap band Thrash Metal tempatan yakni Brutallator terubat, malah si anak muda tetap menari dengan dendangan Rock n Roll dari STFO diimbangi pula dengan persembahan new blood seperti Pity little Suzy, Swerved mahupun Offnote. Bukan satu, tapi dua pentas tersedia di sini. Dari siang sampai malamlah pengunjung melayan persembahan muzik. Pilih sahaja yang mana satu pilihan kalbu atau tapau semua show selama tiga hari berturut-turut itu.
Bukan sekadar konsert, Monsoon Camp juga amat sinonim dengan kultus permotoran kastem, sukan extreme dan seni tampak serta kraftangan. Pengunjung disajikan dengan pameran jentera klasik dan motor berkuasa besar serta boleh dapatkan hasil lukisan, kraf kulit dan anyaman malah pelbagai kemeja T yang designnya 100 kali ganda cantik dan berkualiti berbanding baju level T-shirt rewang yang dijual mahal.
Nyatanya kita semua di Monsoon Camp adalah pari-pari kecil yang tetap menari dalam badai yang melanda…. biarkanlah kami semua begini meniti hari. Jangan sampai kami menjadi Dewa-Dewi yang penuh sakti.
*Penulis merupakan seorang penggemar Food Festival yang makanannya dijual mahal dan menyajikan persembahan dangdut dengan penari step tak diundang.