Peminat-peminat muzik rock, khususnya Metallica pasti pernah menonton rakaman konsert penuh bersejarah yang berlangsung di Moscow, Rusia pada tahun 1991 ini di mana dianggarkan lebih kurang 1.5 juta peminat rock tempatan membanjiri Lapangan Terbang Tushino untuk menyaksikan band-band rock dan metal teragung dunia ketika itu beraksi dalam kawalan ketat tentera Soviet dan helikopter berterbangan di udara.
Menurut laman web Largest.org, festival yang turut mengundang AC/DC, Pantera dan The Black Crowes ini berada di kedudukan ketiga jumlah kehadiran peminat tertinggi untuk sebuah konsert, selepas Rod Stewart dan Jean-Michel Jarre yang mencatat kebanjiran lebih 3.5 juta orang.
Namun, di sebalik segala kemegahan acara ini, tahukah anda bahawa ia juga merupakan satu tanda revolusi anak muda Rusia menentang sistem sosial dan politik Draconian serta menjadi salah satu asbab tumbangnya empayar USSR?
Pada dekad 80an, sejajar dengan runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989, pengaruh Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR) atau nama lainnya Kesatuan Soviet di bawah Presiden Mikhail Gorbachev semakin lemah dan import muzik-muzik barat semakin berleluasa sepanjang tempoh tersebut. Festival Monsters of Rock yang bermula pada tahun 1980 di Donnington, England semakin besar skalanya dan menjadi acara tahunan yang amat popular di Eropah.
Bulan September tahun 1991 di Rusia ketika itu sangat hangat kerana kerajaan baru sahaja menggagalkan cubaan rampasan kuasa pihak tentera yang dikenali sebagai Kudeta Ogos. Dalam percubaan mereka untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat, kerajaan Rusia telah menghubungi penganjur Monsters of Rock untuk membuat persembahan di negara tersebut. Berita itu tersebar dengan meluas dan Time Warner akhirnya berjaya mendapat kontrak untuk merakam acara tersebut.
Tiada siapa menyangka negara yang dikawal secara kuku besi oleh komunis ini sebenarnya mempunyai begitu ramai anak muda yang dahagakan hiburan. Kali terakhir mereka dihidangkan dengan konsert rock adalah pada tahun 1989 di Moscow Music Peace Festival, yang dibarisi nama-nama besar seperti Motley Crue, Ozzy Osbourne, Scorpions, Skid Row dan Bon Jovi. Festival yang berlangsung selama dua hari itu hanya mampu menjual tiket sebanyak 120,000 sahaja, amat berbeza dengan Monsters of Rock ’91 yang dihadiri lebih 1.5 juta pengunjung kerana tiada sebarang tiket dikenakan.
Pantera membukan pentas pada jam 2 petang jika anda menonton versi penuh rakaman konsert tersebut dalam DVD For Those About To Rock: Monsters in Moscow, pasti dapat melihat sendiri betapa tegangnya suasana ketika itu. Anak-anak muda Rusia yang disangka patuh kepada protokol kerajaan akhirnya ‘bebas’ dan disuntik pula oleh adrenalin metal Pantera menjadikan mereka sangat hyper dan sukar dikawal. Festival ini berbeza berbanding festival lain, ia bukan dikawal oleh pengawal keselamatan upahan tetapi tentera Soviet sendiri! Aksi cabar mencabar terjadi antara tentera dan pengunjung menyebabkan ramai daripada mereka dipukul secara teruk. Secara jujur, memang tak logik tentera nak paksa pengunjung duduk diam dalam konsert metal. Menurut laporan, jumlah kematian pada hari tersebut menjangkau 51 orang! Dari sudut pandang lain, ada yang menganggap bahawa jumlah tersebut masih rendah berdasarkan kapasiti pengunjung yang terlalu ramai selain faktor-faktor lain seperti kesesakan venue dan kekurangan fasiliti. Konsert akhirnya dihentikan selepas set E.S.T di mana penganjur terpaksa merayu kepada pengunjung untuk menenangkan diri atau mereka terpaksa membatalkan terus acara tersebut.
Metallica (Lars dan Kirk) sempat singgah ke kawasan Kudeta Ogos di bandar Moscow sehari sebelum festival untuk melihat sendiri memorial mangsa-mangsa kudeta dan sempat bertanyakan soalan kepada salah seorang anak watan yang baru kematian abangnya. Jawabnya, “Mereka sangat mahukan kebebasan dan sanggup mati untuk mendapatkannnya!”
Berbalik kepada Monsters of Rock, kemuncak acara ini adalah ketika set Metallica bermula. Ia adalah antara klip rakaman live mereka yang paling ikonik di mana dalam video tersebut kita boleh lihat sendiri atmosfera dan tenaga jutaan anak muda Rusia berada di kemuncak, ditambah pula visual tentera-tentera Rusia yang garang serta helikopter terbang rendah mengawal tapak festival. Metallica ketika ini betul-betul berada di puncak dunia setelah Black Album dilancarkan sebulan sebelumnya dan nama mereka dikenali seluruh dunia, jadi tak hairan sambutan yang diterima juga amat dahsyat, waima daripada peminat Rusia yang entah faham ke tidak bahasa Inggeris tu. Masa ni suara James belum rabak, paluan dram Lars masih ikut tempo, gorengan Kirk sangat sempurna dan aksi ‘helikopter’ Jason menjadi ikutan Zuar XPDC!
Momen paling penulis suka sewaktu set Metallica ni adalah apabila beberapa orang tentera mula “tak boleh tahan” dan turut sama headbanging bersama pengunjung lain! Begitulah hebatnya aura muzik metal.
AC/DC sebagai band paling ‘otai’ menutup acara dengan jayanya pada hari bersejarah tersebut. Ada laporan mengatakan bahawa jumlah 1.5 juta pengunjung hanya dapat dicapai sewaktu mereka membuat persembahan. Seperti biasa, muzik dan persembahan AC/DC tak pernah mengecewakan dan sentiasa didambakan peminat rock seluruh dunia.
Tiga bulan selepas Monsters of Rock ’91 berlangsung, Kesatuan Soviet akhirnya tumbang. Majoriti sekatan yang ada sebelum itu juga turut dihapuskan dan lebih banyak konsert berjaya dianjurkan di negara tersebut, antara yang paling popular adalah Festival InProg dan Festival Park Live.
Legasi Monsters of Rock masih memberi impak besar sehingga sekarang. Boleh baca sendiri komen-komen di YouTube yang bernostalgia dengan peristiwa bersejarah tersebut. Walaupun berisiko dan mengorbankan banyak nyawa, ia juga merupakan simbolik kepada perjuangan anak muda yang mahukan kebebasan dan melaungkan “Cyka Blyat” kepada sang tirani tanpa rasa gentar!
Tonton video penuh Festival Monster of Rock ’91:
Rujukan: