Muse – Suara Macam Telan Spotify Premium!

oleh Rafidah Rosman
1.3K bacaan

Kredit: Muse

Malam minggu yang panas dihangatkan lagi dengan kehadiran Muse, English Rock Band yang tidak asing lagi dalam kalangan remaja purba berusia lingkungan 30 an hingga 40 an, bukan sahaja di Malaysia malah seluruh Asia. Kelihatan peminat-peminat dari negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Brunei dan negara Asia yang lain juga turut hadir untuk menjadi saksi dan mendengar sendiri kelazatan hidangan halwa telinga yang dipersembahan oleh kumpulan yang dalam siri jelajah sempena album terbaharu mereka, Will of the People ini.

Kyoto Protokol memanaskan pentas. Kredit: Echolalia Pictures

Acara dimulakan dengan band pembuka Kyoto Protocol, sebuah band tempatan yang dipilih melalui pertandingan Muse  Band Search. Namun begitu, waktu 7.30 malam untuk mula beraksi serentak dengan masuknya fardhu maghrib, di mana majoriti Muser yang hadir adalah Muselim adalah kurang sesuai. Jika tidak memandang dari sudut tersebut, Kyoto Protocol telah menyajikan lebih kurang 30 minit persembahan yang bertenaga dan pastinya turut memberikan satu momen yang indah kepada band itu sendiri.

Mood berubah agak hambar kerana jam sudah mencecah 9.00 malam, tetapi acara utama belum dimulakan lagi. Bayangkan, kebanyakan penonton yang hadir bukan dari Kuala Lumpur, malah dari seluruh Malaysia dan Asia. Ada yang telah hadir ke stadium dari awal pagi lagi. Dengan cuaca yang hangat walaupun tanpa mentari di waktu malam, penantian ini memang satu penyeksaan.

Matt Bellamy memang perform habis malam tu. Kredit: Shafiq Shahar

Kemunculan Muse pada jam lebih kurang 9.25 malam dimulakan dengan intro chant menyegarkan 53,000 penonton yang sudah puas menunggu, diikuti dengan lagu pembukaan Will Of The People. Setlist dimainkan tanpa selingan, hanya sekadar ucapan Terima Kasih di setiap hujung persembahan, membuatkan penonton tak senang duduk mahupun berdiri walaupun ia dipersembahkan secara berselang-seli dengan paparan video yang seolah-olah satu jalan cerita yang mengajak kita ke arah  melawan diktator, sesuai dengan tajuk album terbaharu mereka, Will Of The People.

Chris Wolstenholme (bass) dan Dominic Howard (dram) tenang mengawal bahagian irama. Kredit: Echolalia Pictures

Lagu-lagu lain yang disajikan pada malam tersebut termasuklah Hysteria, Psycho (dimulakan dengan Drill Sergeant), Thought Contagion, Won’t Stand Down, Compliance, Time Is Running Out, You Make Me Feel Like It’s A Halloween, Madness, Resistance, The 2nd Law: Isolated System, Supermassive Black HolePlug in Baby, Behold, The Glove, Uprising, Prelude, Starlight, Kill or be Killed dan diakhiri dengan intro Man with a Harmonica sebelum dihabiskan dengan penuh bertenaga dengan lagu Knight of Cydonia. Penonton yang duduk juga sudah berdiri bersama-sama bertepuk tangan menikmati persembahan yang menaikkan bulu roma sepanjang tersebut.

Penonton seakan-akan terlupa dengan kepanasan hati dan tubuh mereka pada awalnya kerana telah menunggu agak lama dek terpesona dengan keindahan persembahan Muse menjamu setiap pancaindera dari segi pengaturcaraan bunyi, persembahan prop dan pentas sehingga ke suara vokalis yang bak kata orang ‘Macam telan kaset!’ atau lebih tepat untuk masa kini, ‘Suara macam telan Spotify Premium!’

Penonton yang hadir bukan sahaja dari Malaysia, tetapi seluruh Asia! Kredit: Shafiq Shahar

Saya yakin majoriti crowds pulang dengan perasaan puas tetapi tidak cukup. Puas kerana Muse memberikan showmanship yang padu, namun tak puas kerana banyak lagi lagu-lagu yang menjadi siulan zaman muda mereka tidak didendangkan pada malam tersebut. Namun apa yang diperhatikan, konsert sebegini bukan hanya merupakan pertemuan untuk satu malam, namun dengan kewujudan group WhatsApp dan Telegram, ia dapat menyatukan peminat-peminat Muse dan mungkin membuka ruang untuk gig-gig kecil membuat cover gig Muse andai ada yang merindui mereka nanti pada masa akan datang.

Semua berpuas hati dengan persembahan dan produksi konsert Muse di Kuala Lumpur. Kredit: Shafiq Shahar

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅