Muzik dan Terapi Seni Selenia

Selenia Luncur Single Debut ‘Lullaby’

oleh Aniq Ammar Ekhwan
1K bacaan

Insomnia adalah gangguan tidur yang mengakibatkan penderitanya kesulitan untuk tidur dan seringkali terbangun di tengah malam dan tidak dapat tidur kembali. Penyakit ini tidaklah kritikal sehingga mampu membunuh jiwa seseorang, namun boleh mengganggu psikologi dan produktiviti. Hal ini telah dibangkitkan oleh Selenia di mana mereka telah melancarkan single pertama Lullaby di semua platform strim digital pada 15 September 2023.

Selenia dianggotai oleh Affendy (vokal/gitar), Raudhah (Kibod), Daster (Bass) dan Bun (Dram). Mereka menjadikan neo-alternative rock sebagai genre utama yang menggabungkan rock alternatif dengan elemen klasikal yang elegan supaya dapat memberi landskap bunyi yang berat dan keras, dalam masa sama turut menghadirkan kejujuran emosi. Menurut Affendy,

Sebagai salah sebuah band baharu dalam scene ini, rancangan awal kami adalah untuk terus berkarya, berkongsi idea dan muzik yang berkualiti pada semua. Sambil membina fanbase yang lebih kukuh, visi dan misi kami adalah untuk menjadikan Selenia sebagai sebuah entiti yang dikenali dalam industri muzik daripada pembawakan unik kami sendiri dalam masa yang sama memberikan inspirasi dan berhubung dengan peminat melalui muzik kami secara lebih aktif, sama ada secara fizikal atau secara maya.

Lullaby menyuguhkan suasana bunyi sederhana namun penuh daya tarikan, yang mampu menggetarkan perasaan pendengarnya dengan mendalam dan aku difahamkan karya ini merupakan cerminan dunia dalaman diri penulis lirik (Affendy).

“Kami sangat gembira untuk menghadirkan ‘Lullaby,’ single pertama kami, kepada hati penonton, lagu ini merupakan ungkapan yang sangat peribadi tentang cabaran yang pernah saya hadapi. Ia membawa mesej yang kuat tentang kepentingan mengenali perjuangan emosi kita sendiri, dan kami berharap ‘Lullaby’ akan menyentuh hati pendengar, menenangkan mereka yang mengalami pengalaman serupa, dan memupuk pemahaman yang lebih mendalam dalam masyarakat.”

Menurut Selenia, Lullaby merupakan sebuah eksplorasi puitis mengenai jiwa-jiwa yang kurang bernasib baik, sebuah perjalanan melalui penderitaan, keinginan, konflik, dan pada akhirnya, penerimaan. Jika dilihat dari sudut penulisan, liriknya mencerminkan kesulitan tidur pada malam dan kegelisahan mental yang banyak dialami oleh individu yang menghadapi masalah insomnia. Meskipun mesej penulis lagu ini dapat ditafsirkan secara berbeza oleh setiap pendengar, penulis lagu mengajak pendengar untuk merenungkan pengalaman dan emosi mereka sendiri; untuk menafsirkan dan menghubungkan.

Pada hakikatnya, “Lullaby” lebih daripada sekadar sebuah lagu; ia merupakan rayuan penulis lagu untuk empati dan pemahaman, mendesak masyarakat untuk mengakui insomnia sebagai masalah kesihatan mental yang sah dan menawarkan ketenangan kepada mereka yang merasa selesa dengan pengetahuan bahawa perjuangan mereka didengar dan disahkan.

Setelah mendengar single ini, aku tidak ingin berkata banyak kerana feel itu boleh dirasai seawal lagu ini dimainkan. Dengan melodi mudah ditangkap dan lirik yang memberi makna, aku merasakan kugiran ini “sesuatu” dan mengingatkan aku kepada filem “KIL”. Mereka bukan sahaja ingin bermain muzik namun ikhlas ingin berkongsi rasa dengan para pendengar. Mungkin nampak bias, tetapi aku merasakan kugiran ini mempunyai potensi yang tersendiri dan harus diberi peluang sewajarnya oleh para penganjur. Cuma sedikit komen di sini, aku berpendapat synthesizer boleh ditambah baik dengan meletakkan beberapa elemen seram dan memberi impak sewajarnya.

Tahniah buat Selenia atas naskah pertama yang memberangsangkan. Semoga kalian terus maju dalam memperkenalkan genre ini dan jangan mudah mengalah dalam bermuzik kerana dalam 1000 orang, akan ada 1 orang yang akan suka dan terus menyokong.

Ikuti Selenia di:

Twitter

Instagram

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅