Sekadar mengisi masa lapang, terfikir nak menulis benda ni.
1. Muzik itu luas. Muzik boleh dibincangkan dalam banyak hal, baik dari sudut pendengar, pembeli, penganjur gig, konsert atau apa saja. Muzik juga tidak terdiri dari satu faktor, tetapi banyak yang boleh dikatakan. Muzik juga bukan hanya di suatu tempat, malahan bermacam-macam jenis genre yang belum pernah kita dengar sepanjang hidup kita. Itu belum kira muzik tradisional sesebuah negara, yang hanya berkumandang di negara itu saja. Apa yang nak ditekankan di sini sebenarnya, kita dengar apa yang kita nak dengar dan apa yang kita taknak dengar. Sama juga pembeli, yang pergi gig/konsert dan sebagainya.
2. Dalam bab muzik yang luas dan bebas ni, aku berpendapat kita tak boleh nak menghukum muzik mahupun pengikut/pendengar itu sendiri. Setiap jiwa punya selera yang berbeza-beza, sama juga seperti aku. Kita tak boleh nak salahkan sesebuah kumpulan yang hanya mendengar K-Pop, atau Black Metal, atau Hip-Hop kalau jiwa kita bukan di situ. Sebaliknya, kita perlu hormat minat masing-masing.
3. Dalam bab membeli pula, ada orang sanggup berhabis ribuan ringgit hanya untuk mendapatkan “collectors item,” “limited edition,” ataupun “limited numbered edition.” Ada penghukum pula berkata, “membazir. Dekat YouTube atau Spotify pun boleh dengar.” Kesilapan penghukum itu dia tidak lalui apa yang dirasakan nikmat sesuatu yang fizikal. Aku bukan nak menghukum atau menyalahkan sesiapa, macam aku cakap di awal tadi. Ini cuma pandangan sahaja.
4. Ada juga yang mengatakan “buat apa aku bazir duit pergi gig/konsert tu, dekat YouTube lagi jelas, boleh zoom lagi tengok muka artis/band, percuma pulak tu.” Belum lagi masuk bahagian “poser,” yang hanya berpakaian seolah-olah tahu fesyen yang dipakai, baju band yang disarung, dan lain-lain. Kau orang pun tahu kalau kita tanya baju band yang dipakai, apa jawapannya. Macam mana pulak dengan yang hanya beli baju band yang asli? Atau yang hanya beli yang vintage? Ada dikalangan kawan-kawan beli baju band, kenal band tu. Tapi tak tau lagu. Macam mana pula? Jangan lupa ya, ini sekadar pandangan.
5. Itu belum cerita bab perempuan yang sudah jadi ibu kepada 4 orang anak, yang masih aktif dan menanti lagu baru The Strokes. Tetapi hanya duduk di rumah, berkain batik atau baju kelawar, dan tersengeh sorang-sorang bila dengar “Bad Decisions,” yang seperti mengenang zaman kegemilangan/remaja dia.
6. Satu lagi hal, pembahagian genre. Betulkan kalau aku salah. Adakah betul pendapat aku ni, tak boleh duduk satu meja kalau berlainan kiblat genre? Ini aku taknak ulas panjang. Bukan sebab nak menjaga hati, mungkin ada yang sensitif. Ya, kadang-kadang dalam hal muzik pun boleh bawa bergaduh. Itu tak dinafikan, memang pernah berlaku di tempat kita. Ada yang betul-betul pendengar setia, yang sudah ikuti sesebuah band ini, apa saja lagu/album yang keluar, akan tetap beli, dan memuji tanpa mengkritik sebab sukakan apa saja yang dibawa oleh band tu. Sebab apa? Sebab minat semata-mata.
7. Ada juga yang hanya dengar genre tertentu sahaja. Tak pernah langsung buka radio, apatah lagi nak buka Spotify untuk teroka muzik baru. Tak minat, tak nak ambil tahu atau tak nak teroka genre lain. Ada juga yang jatuh cinta dari segi persembahan live. Dan terus ikut rapat.
8. Dah beli CD, keluar kaset terhad, beli juga. Keluar vinyl pun beli juga. Gig/konsert pun turut pergi, walau jauh beratus-ribu kilometer. Cetak baju pun beli. Ini betul-betul minat dan sokong satu-satu band/artis itu. Sampai satu tahap, mungkin ada yang sudah berhubung secara peribadi dengan sesebuah band/artis itu, dan itu satu kelebihan, kan?
9. Macam mana pula dengan pengumpul (collector)? Adakah mereka ini hanya membeli, belek dan simpan, atau betul-betul menikmati isi kandungannya? Ada pembeli, dia hanya akan beli apa yang dia suka. Ada yang beli sebab nak menunjuk-nunjuk, ada yang beli sebab betul-betul minat, ada yang beli hanya nak penuhkan koleksi album, tak suka cacat (spesis OCD lah lebih kurang, tapi tak semua). Ada pula yang suka beli album yang sama dalam format CD, kaset, vinyl, VHS, DVD semua. Ada pula yang membandingkan yang mana “sound” atau mastering paling sedap, paling hebat, paling padu, paling true. Ada jugak yang hanya membeli keluaran pertama, walau cecah ribuan ringgit, ada juga yang sanggup tunggu beberapa tahun untuk dapatkan yang secondhand, dan macam-macam lagi kerenah muzik ni.
10. Ada pulak yang hanya beli cetakan US sahaja, UK sahaja atau Jepun sahaja. Atau mana-mana negara lain. Tak beli cetakan tempatan (CONTOH). Mungkin golongan ini tahu kenapa. Ada juga pengumpul yang beli satu album tetapi berlainan cetakan negara. Sebagai contoh, Sex Pistols – “Nevermind the Bollocks, Here’s the Sex Pistols.” Senarai cetakan yang ada dalam koleksi: UK, EU, USA, Jepun, Malaysia, S. Korea dan Taiwan. Cetakan yang belum ada: Brazil, Mongolia, Singapura, Indonesia dan seterusnya. Belum kira cetakan warna (vinyl LP) pula. Contoh album yang sama, yang dikeluarkan (kalau tak silap) tiga warna berbeza, hijau, kuning dan merah jambu. Belum lagi ada versi 10 lagu, versi 12 lagu dan lain-lain. Pergh!
11. Ada juga yang hanya beli versi “audiophile” CD/vinyl atau lain-lain. Atau SACD, DVD-Audio, Bluray-Audio dan lain-lain juga. Ada yang hanya suka tengok video live juga.
12. Macam mana pula dengan pendengar yang mahukan sistem bunyi yang gah? Harga kabel speaker dan speaker cecah ribuan ringgit? Belasan ribu ringgit? Puluhan ribu ringgit? Siapkan bilik khas untuk mendengar, kedap bunyi, susunan speaker begitu begini, ketinggian tweeter sama paras telinga, amplifier ribuan ringgit, dan lain-lain. Tapi, bagaimana pula yang sudah puas hanya dengan menggunakan walkman, hi-fi? Atau radio sahaja? CD player kereta? Atau yang hanya cukup dengan mp3? USB?
13. Itu belum cerita peminat K-Pop, J-Pop dan lain-lain. Rata-rata barangan mereka (CD, vinyl, merch dan lain-lain) bukanlah murah, ada yang berkali ganda harga CD cetakan tempatan mahupun import dari EU/US.
14. Ada juga yang sehingga buka kedai CD/vinyl/kaset, jual-beli online, dan lain-lain. Sebab apa? Sebab minat semata-mata. Kategori mana kita ni? Kadang-kadang hanya disebabkan minat, apa pun jadi. Nampak tak keluasan muzik? Ada juga yang membeli tapi nak jual balik. Tak kenal, tak tahu langsung tentang band/artis tu. Nak aku ingatkan sekali lagi, apa yang aku tulis ni, hanya pendapat dan pandangan aku sendiri. Tiada niat aku nak sindir, mengata mahupun memuji mana-mana pihak. Macam aku cakap awal-awal tadi, muzik itu luas. Kita buat keputusan kita sendiri nak letak yang mana.
15. Apa-apa pun, zaman masing-masing berbeza, minat juga berbeza. Ada umur 40’an, tapi sukakan lagu pop terkini. Ada yang 20’an, sukakan era kegemilangan pop 60’an, tapi tak suka muzik bawaan The Beatles (contoh). Macam-macam cerita. Muzik ini memang tiada berkesudahan, tiada lapisan atau pengkat umur untuk mendengar. Ada yang terpengaruh dari orangtuanya, ada yang teroka sendiri, ada yang kawan cadangkan, ada yang tahu dari majalah ROTTW, Kerrang!, Konsert, ada yang pinjam kaset kawan tak pulang-pulang dan kata hilang, tapi dah 30 tahun masih ada dalam rak dia.
Boleh kata hampir dua minggu aku terfikir dan mula rasa menulis benda ni. Minta pandangan orang lain lagi. Silakan boleh komen atau kritik pandangan aku ni secara bebas, ataupun kalau kau orang ada pandangan atau pengalaman sendiri, bolehlah kongsikan. Sebab kita semua tidak duduk dibawah bumbung yang sama. Lain orang, lain pengalaman atau kenangannya. Nak share pun silakan.
Jangan lupa, “MUZIK ITU LUAS!”
Ikhlas,
#AzamGilmour
#MMAMY #MusicAddictsMalaysia #Opinions #Suggestions #Music
P/S: Gambar dirujuk sebagai contoh yang diambil dari Google.