Muzik Nusantara – Port Ipoh Pelawa Ahli Akademik, Pemuzik dan Penggiat Seni Hantar Makalah

oleh Rahmat Mohd Did
2K bacaan

Ipoh Music Symposium 2021 (IMS2021), dengan tema Muzik Nusantara: Menelusuri Tradisi Dan Kontemporari, mempelawa ahli akademik, pemuzik, penggiat seni dan mereka yang berminat untuk membentangkan kajian, pengalaman dan pemerhatian dalam simposium ini.

MUZIK NUSANTARA: MENELUSURI TRADISI DAN KONTEMPORARI

Nusantara bukan sahaja sebuah wilayah geografi tetapi juga meliputi lingkungan sosial dan budaya dengan keunikannya yang tersendiri. Nusantara boleh dilihat sebagai satu rumpun bangsa yang secara umumnya merangkumi Selatan Thai, Malaysia, Singapura, Brunei, Kepulauan Indonesia dan Selatan Filipina. Nusantara juga adalah sebahagian daripada rantau Asia Tenggara yang lebih luas dengan cakupan kaum dan kebudayaan yang lebih rencam.

Dalam konteks muzik, Nusantara mempunyai beraneka bentuk muzik yang diwarisi oleh pelbagai masyarakat asli dan pribumi yang telah menghuni rantau ini selama berkurun-kurun. Muzik masyarakat Orang Asli, etnik Dayak dan Kadazan di Sabah dan Sarawak, dan Makyong di Kelantan masih dipersembahkan hingga ke hari ini. Kedatangan pedagang, perantau, pengelana dan mubaligh dari Asia Timur, Asia Selatan dan Timur Tengah telah memperkenalkan beberapa jenis muzik ke rantau ini seperti zapin dan ghazal. Ini diikuti dengan kehadiran kuasa kolonial Barat yang membawa masuk pengaruh muzik baharu dari Eropah.

Di zaman mutakhir ini, globalisasi ekonomi dan media telah mempercepatkan pengaliran muzik ke seluruh pelusuk dunia. Pertembungan segala jenis muzik ini, termasuk juga yang berlaku antara muzik Nusantara sendiri, turut mempengaruhi muzik setempat. Sesetengahnya masih mampu dikekalkan keasliannya, tetapi sebahagiannya mengalami proses adaptasi, sinkretisme dan hibriditi – dari aspek bentuk, konsep, instrumentasi, motif, tema, falsafah dan sebagainya – dengan muzik yang dibawa masuk dari luar Nusantara.

Dalam konteks Malaysia, terma Muzik Nusantara atau Balada Nusantara mula diperkenalkan pada tahun 1990-an dalam usaha menghasilkan muzik popular berlandaskan identiti Nusantara yang terpengaruh dengan gelombang globalisasi. Ia disajikan dengan bentuk dan imej ‘kenusantaraan’ yang berjaya menambat hati pendengar yang mahukan pembaharuan. Proses pencarian serta pembentukan identiti muzik Melayu ini diteruskan dengan muzik yang dikategorikan sebagai “Irama Malaysia” dan “Etnik Kreatif”.

Namun, adakah terma Muzik Nusantara ini hanya terhad dan khusus untuk genre ini sahaja? Bolehkah kita perluaskan takrifan Muzik Nusantara ini untuk merangkumi tradisi serta aliran muzik yang lebih luas?

Ipoh Music Symposium 2021 (IMS 2021), dengan tema Muzik Nusantara: Menelusuri Tradisi Dan Kontemporari, mempelawa ahli akademik, pemuzik, penggiat seni dan mereka yang berminat untuk membentangkan kajian, pengalaman dan pemerhatian dalam simposium ini. Kami berharap dapat melihat satu siri wacana menarik mengenai berbagai aspek dan dimensi yang berkaitan dengan Muzik Nusantara serta hubungannya dengan pelbagai perkara; dari sejarah, estetika, budaya dan agama sehingga kepada sosial, politik dan ekonomi.

Sesuai dengan tema simposium ini, IMS 2021 membuka ruang untuk pembentang membicarakan pelbagai isu tetapi tidak terhad kepada konteks berikut:

  • Muzik Tradisional – Muzik Orang Asli, Dayak, Makyong, Nobat, Gamelan, Dikir.
  • Muzik Sinkretik – Asli, Inang, Zapin, Joget, Dondang Sayang, Keroncong, Dangdut.
  • Muzik berasaskan elemen Nusantara yang dimodenkan – Balada Nusantara, Etnik Kreatif, Irama Malaysia.
  • Muzik Kontemporari / Eksperimental – Muzik berasaskan Barat dengan elemen Nusantara, dari Muzik Orkestra dan Jazz sehinggalah Rock, Metal dan Hip-Hop.

Antara panel perbincangan yang dicadangkan (dan tidak semestinya terbatas kepada senarai ini) ialah:

  1. Persoalan Tentang Pentakfiran (Issues of Definition).
  2. Identiti Kaum, Negara dan Rantau (Racial, National and Regional Identities).
  3. Kolonialisasi, Globalisasi dan Pempribumian (Colonialisation, Globalisation and Indigenisation).
  4. Penghijrahan dan Mobiliti (Migration and Mobility).
  5. Eksperimentasi dan Hibridisasi (Experimentation and Hybridisation).
  6. Pemasaran dan Komodifikasi (Marketing and Commodification).
  7. Kelestarian dan Adaptasi (Sustainability and Adaptation).
  8. Pengalaman, Makna dan Wacana (Experiences, Meanings and Discourses).
  9. Pendidikan (Education).
  10. Penyelidikan Baharu (New Research).

Kredit: Port Ipoh

#portipoh #ipohmusicsymposium2021 #muziknusantara #muzik #arts #rock #jazz #hiphop #contemporarymusic #metal #ipoh #perak #malaysia

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅