MUZIK TANPA SEMPADAN: LAUNGAN PESANAN ATAU RETORIKAL SEMATA-MATA?

oleh Hanif Bohari
2.8K bacaan

Muzik seperti yang kita ketahui merupakan satu elemen yang sangat luas jika hendak kita bedah satu-persatu. Menurut catatan sejarah, “Hurrian Hymn No. 6” dianggap sebagai melodi terawal di dunia, manakala komposisi muzikal tertua dunia dikatakan telah digubah sejak kurun pertama A.D. Yunani berjudul “Seikilos Epitaph”. Tidak mustahil sebenarnya lebih banyak lagu dan melodi telah terhasil, cuma tidak dicatat dalam sejarah sahaja. Sejak itu, berjuta-juta lagu, melodi malah genre telah dihasilkan oleh para manusia yang dikurniakan kemahiran berfikir secara kreatif oleh Sang Pencipta.

Normal sifat manusia juga, suka bersaing dan berbangga dengan penghasilan sesuatu. Muzik juga tidak terkecuali. Asbab muzik jugalah, timbul berbagai-bagai semangat yang dicanang dalam bait-bait lirik, mahupun gubahan lagu. Muzik juga sudah lama menjadi satu alat untuk menanam sifat jati diri dan kekitaan sehingga banyak sub budaya timbul, hanya kerana kesatuan dan minat yang sama terhadap muzik.

Sebagai contoh dari sisi penulis yang bangga menggelarkan diri sebagai salah seorang “Ska Enthusiast”; muzik Ska yang wujud sejak akhir 1950-an telah menarik minat serta menjadi muzik rasmi golongan-golongan yang bergelar Rude Boy, Mod, Skinhead dan Punk seluruh dunia. Maka tidak hairan, bagi kami yang mencintai genre ini, pelbagai ragam dan fesyen dapat ditonjolkan setiap kali sesebuah gig atau konsert bergenre Ska ditampilkan.

Namun, sifat kekitaan dan sokongan terhadap sesebuah genre ini tampak seolah-olah menjadi suatu semangat assobiah dan diskriminasi di kalangan manusia. Sebagai contoh, ada satu budaya tidak senang jika ternampak orang yang dirasakan tidak sekufu, memakai kemeja-T yang menggambarkan rekaan kugiran dan genre yang mereka cintai. Mulalah sesi ‘basuh-membasuh’ dijalankan oleh ‘polis muzik’ ini, bertanya 3 lagu yang orang itu tahu berkaitan kugiran tersebut. Kalau tak dapat, siaplah kena ‘basuh’. Padahal kugiran tersebut tak pernah kisah pun, malah lebih suka ada yang menghargai mereka.

Sifat toksik ini juga tidak terkecuali diterbitkan di laman komuniti Facebook Music Addicts Malaysia Community; di mana masih ramai golongan dangkal dan toksik masih lagi mengherdik, mengejek malah mencerca jika terdapat sesuatu muzik atau lagu yang mereka tidak suka dikongsi oleh para ahli komuniti lain. Nasihat penulis, jika tidak suka, tak perlu layan. Pasti perkongsian tersebut akan tertanam jauh di sebalik perkongsian-perkongsian lain. Tak perlu anda sebarkan dakyah negatif dan dangkal anda dalam kalangan ahli MAMC.

Mungkin dek kerana situasi inilah, maka Gerhana Skacinta telah menerbitkan sebuah single terbaharu berjudul MUZIK TANPA SEMPADAN pada Ahad lalu, 27 Mac 2022 serentak dengan pelancaran video muzik di saluran Todak Music di YouTube, selain menjadi tetamu undangan rancangan Muzik Muzik 37 di TV3 pada hari yang sama. Selain itu juga, single ini turut boleh diakses di mana-mana platform muzik digital kegemaran anda.

https://youtu.be/yE3a7_Mec4E

Menurut Edy J Herwan yang merupakan ketua kugiran Gerhana Skacinta selain memegang peranan pemain gitar dan penyanyi, beliau mencipta lagu ini khas bagi melaungkan pesanan serta nasihat supaya menjadikan muzik sebagai satu medium penyatuan, bukan perpecahan. Selain menolak diskriminasi dan sempadan yang tercipta, beliau dan GSC berharap kita sebagai peminat muzik dapat menerima serta belajar antara satu sama lain tentang minat terhadap sesuatu genre muzik.

Gerhana Skacinta yang menginjak usia 23 tahun pada tahun ini masih lagi memegang utuh kepada genre Ska, Rocksteady dan Reggae namun pada hemat penulis, Muzik Tanpa Sempadan seakan suatu pembaharuan yang lebih segar. Dengan susunan muzik yang mantap, lirik yang padat, ringkas namun tajam dengan nasihat; ia menampakkan bahawa GSC sudah lebih matang dalam berkarya.

Single ini merupakan salah sebuah daripada 11 lagu yang terkandung dalam album terbaharu berjudul Hitam Putih Kuala Lumpur yang dilaporkan bakal dilancarkan selepas Hari Raya Aidilfitri (Mei atau Jun). Projek album baharu yang sangat-sangat dinantikan para peminat sejak album terakhir mereka, This Is Ska pada 2007 adalah sebuah kerjasama antara Gerhana Skacinta dan Todak Music. Disoal adakah GSC sudah menjadi artis rakaman Todak Music, Saudara Jaferi Achip yang merupakan pengurus GSC menjawab:

“Ini adalah sebuah kerjasama antara kedua-dua entiti, GSC masih lagi kekal sebagai sebuah kugiran ‘independent’.”

Jika dapat penulis kupas sedikit, lagu yang pekat dengan pengaruh Boss Reggae dan Ska ini secara bijaknya telah disulam halus dengan bunyian Boogaloo Soul yang terkenal pada lewat 1960-an dan 1970-an. Pada bahagian nyanyian pula, paduan suara sang penyanyi utama berpengalaman luas, Widy Hamzah dan Edy J tidaklah terlalu kritikal dan mencabar, kerana kedengaran agak mendatar; adalah sedikit di sana sini Edy J menyelit gaya nyanyian Soul. Mungkin Edy J mahu mengajak para pendengar lebih menikmati magis susunan lagu ini. Mungkin 10 lagi lagu lain dalam album baharu yang bakal terbit dapat kita dengar kelunakan lontaran vokal Widy Hamzah? Penulis sendiri tak sabar untuk menunggu saat itu berlaku.

Namun dek kerana lirik yang padu, kekurangan yang dirasakan penulis ini telah ditutup secara cantik, dan penulis tidak tahu sama ada ianya suratan atau kebetulan, gaya nyanyian kedua-dua beradik bagi lagu ini umpama membangkitkan nostalgia lagu Punch Card oleh Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arsyad. Trivia: Adakah kehadiran Hanis Hamdan yang dapat dilihat membarisi ruang penyanyi ketiga kugiran ini sejak akhir-akhir adalah bagi menggantikan ketiadaan Pedd Farhana? Kita tunggu sahaja perkembangan selanjutnya ya.

Faktor WOW bagi lagu ini boleh penulis ‘anugerahkan’ kepada barisan Horn Section yang diketuai oleh Don Farin (Saksofon Tenor dan Baritone) diikuti Nadzmi (Saksofon Alto) dan Zulfikar (Trompet). Paduan ketiga-tiganya yang saling berlawan menjadikan lagu ini sangat-sangat seksi dan funky yang pasti membuatkan anda tak senang duduk mendengarnya (kredit buat saudara Farid Izwan yang telah menggubah susunan untuk Horn Section yang mantap)

Bagi posisi Dram (Bakri Ismail), Gitar Bass (Tuan Skaloot) dan Keyboard (Fairuz); seperti biasa, kekaguman penulis terhadap permainan muzik ketiga-tiga mereka ini tidak pernah padam sejak penulis mengenali mereka waimah sebagai peminat atau pun kawan. Setiap bahagian diisi dengan sangat baik dan hampir sempurna! Tiada komen lanjut yang dapat penulis lontarkan terhadap para pemuzik yang berpengalaman luas ini selain 4 ‘thumbs up’ termasuk jari kaki!

Menurut tuan pengurus GSC; video muzik bagi single ini telah memulakan sesi penggambaran pada 4 Disember 2021 yang bertempat di Feebay.Co di Kota Damansara. Video muzik ini telah diarahkan dan dihasilkan secara kreatif dan cantik oleh Saudara Tengku Sharmizi daripada Darkwhite Creative Solutions yang juga pengarah yang menghasilkan video muzik bagi Ali Baba Ska.

Video Muzik yang menerapkan tema sekumpulan chef bekerja di dapur mengingatkan penulis terhadap video muzik lagu Terpesona yang bertemakan suasana di sebuah kafe. Selain itu, ia juga menerapkan tema ala-ala sekumpulan mafia makan malam bersama dalam sebuah majlis makan malam rahsia dan menjemput wakil-wakil genre dan lapisan masyarakat yang lain untuk makan malam bersama.

Apa yang penulis dapat lihat dari kedua-dua tema ini, GSC seakan ingin menerapkan bahawasanya memasak perlukan pelbagai bahan dan rencah untuk menjadikan sebuah masakan yang sedap, manakala makan malam bersama tanpa mengira lapisan masyarakat dan pengikut genre menunjukkan muzik itu adalah simbol perpaduan walaupun perbezaan yang nyata antara satu sama lain.

Kesimpulan yang penulis dapat berikan terhadap pelancaran single dan video muzik Muzik Tanpa Sempadan ini, pada hemat penulis ia adalah satu pesanan ampuh dan suatu harapan supaya kita sebagai penggemar muzik tidak kira umur, dan lapisan masyarakat haruslah membuang jauh-jauh sifat toksik serta elitis yang membeza-bezakan antara kita hanya disebabkan muzik. Terpulang kepada anda semua sama ada mahu jadikan pesanan ini sebagai panduan diri atau retorik semata-mata.

Akhir kalam, syabas penulis ucapkan buat Gerhana Skacinta atas kelahiran single dan video muzik baharu ini. Semoga terus berkarya dalam memperjuangkan muzik Ska di Malaysia. Sama-sama kita nantikan kemunculan album baharu mereka nanti. Pada firasat penulis, selepas mendengarkan lagu ini yang sangat ‘addictive’; anda pasti akan terpesona dengan setiap lagu yang bakal diterbitkan tak lama lagi. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perjalanan GSC di persada arena muzik, and boleh layari Facebook, Instagram dan YouTube mereka dengan mencari kata kunci Gerhana Skacinta.

#SirYobbo

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅