Rilisan video muzik (MV) adalah salah satu elemen terpenting dalam promosi lagu atau album. Dengan terbitnya MV terbaharu daripada kolektif punk rock Sabah, Con-Damn the Corruptor (CtC) berjudul Story From Our Land (Aramaiti Version) ini, penulis perhatikan mereka mendapat ramai peminat baharu, walaupun sebenarnya lagu ini terkandung dalam album ketiga mereka, Songkial pada tahun 2019.
Berdurasi 2 minit dan 11 saat, Story From Our Land (Aramaiti Version) adalah versi alternatif lagu asal (bahasa Melayu) yang pertama kali dilancarkan dalam album pertama mereka pada tahun 2014. Walaupun bahasanya ditukar kepada bahasa Dusun, kandungan liriknya masih sama iaitu suara pembantahan rakyat marhaen Borneo terhadap golongan pemerintah yang rakus meratah hasil negeri yang kaya tetapi rakyatnya masih kekal miskin.
Apa yang menarik dengan MV kali ini adalah ia dirakam sepenuhnya secara DIY dengan menggunakan telefon pintar di Mari Mari Cultural Village, Ranau dan Pantai Manis, Papar serta turut memaparkan elemen kebudayaan masyarakat Sabah yang pelbagai. Sebuah usaha yang bagus dan bermutu walaupun dengan limitasi yang ada.
Dari segi susunan lagu dan lirik, ia adalah “Marjinal” dengan sedikit suntikan tradisional Borneo. Jika pernah mendengar Negeri Ngeri, pasti anda akan faham. CtC adalah sebuah band dengan ideologi dan perjuangan yang bagus, namun penulis melihat mereka masih terlalu terikut-ikut dengan stail Marjinal. Menurut Ben (gitaris/vokalis), Ctc bakal masuk semula ke studio pada bulan Ogos nanti untuk sesi rakaman album keempat. Harapnya lebih banyak elemen tribal dimuatkan dan eksperimentasi terhadap hala tuju muzikal juga diperbaharui sehingga mereka menemui identiti sendiri.
Tonton MV Story From Our Land (Aramaiti Version) di YouTube dan ikuti mereka di media sosial untuk perkembangan terkini.