TAHUN pandemik 2020 dan 2021 sedikit melewatkan aktiviti berkarya tetapi tetap tidak menumpulkan idea dan visi komuniti kreatif tempatan. Watak-watak di arena muzik bebas tidak terkecuali daripada proses dalaman ini.
Di Lembah Klang, sekumpulan pemuzik independen dan alternatif mengapikan semula wawasan dan usaha mereka untuk menghidupkan apresiasi terhadap sejarah scene underground Malaysia yang kekal di hati ramai pencinta muzik dan budaya yang menjadi nadi jiwa muda anak Malaya moden sejak beberapa dekad yang lalu.
Fareeq Alias, salah seorang yang pernah aktif dalam scene tersebut, memikul peranan untuk meraikan suasana kemeriahan 10, 20, dan 30 tahun dahulu. Bersama rakan-rakan seangkatan beliau, Fareeq mengangkat semula obor itu demi menyumbangkan senaskah dua khazanah bagi pengalaman yang cukup bermakna bagi komuniti seni lokal namun mungkin mudah dilupai dan terlepas pandang oleh industri.
Genius Dan ‘Otai’ Kembali
ALBUM runut bunyi rasmi rockumentari PEKIK yang dinanti-nantikan penggila muzik independen Malaysia lantang tiba Disember ini dengan personaliti dan kaliber dua orang vokalis rock yang cukup berkarisma.
Radhi OAG (‘Orang Asia Genius’) sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. PEKIK adalah single pertama yang dihasilkan oleh Radhi pasca pandemik ini dan sesungguhnya banyak lagi hasil rakaman yang akan dikeluarkan oleh beliau tidak lama lagi.
Turut menyumbangkan suara adalah Tam dari kumpulan metal terkenal utara, Blind Tribe.
Kedua-dua mereka kali ini kembali tampil dengan lagu cukup terangkat iaitu PEKIK, dipetik daripada album runut bunyi rasmi filem dokumentari PEKIK arahan Fareeq sendiri yang sedang dalam proses pembikinan. Penerbitan filem ini disokong oleh MyCreative Ventures dan dijangka akan menemui penonton pada pertengahan tahun 2022.
Budak Scene All-Stars yang menumpukan ahli-ahli dari setiap band yang berperanan besar dalam membentuk kemaraan scene muzik independen. Antaranya Izzat Uzaini (bassis) dari kumpulan Hujan; Kudux (Pesawat), serta dua gitaris handalan scene iaitu Ihzwan Omar ataupun ‘Ijoo’ (monoloQue) dan Alel Hashim (Upon Arrival), yang juga bertindak sebagai penerbit lagu PEKIK ini.
Selain itu, lagu PEKIK ini juga turut dimuatkan dalam satu album kompilasi yang diterbitkan khas untuk rockumentari PEKIK.
Kumpulan, kugiran dan artis-artis bebas lain yang turut mempersembahkan karya-karya mereka sebagai kontribusi kepada bara baru ini merupakan senarai yang berpelbagai merangkumi semua genre yang mewarnakan scene kita.
Dari indie sampai ke metal, grunge sampai ke reggae, hardcore dan rapcore sampailah ke punk dan serat-serat di antara, semangat berkugiran dihidupkan semula melalui album runut bunyi yang dinamik ini. Nama-nama yang cukup biasa dilihat pada poster-poster serta flyers gig sekitar 20 tahun lepas adalah:
Private Whizz, kumpulan grunge Melayu yang bereputasi kebanggan halaman ‘Kepong Garden’, dengan “Sinar Akan Tiba”; “Zero”, bawaan baru yang bertenaga daripada kumpulan pengasas grunge-rock di kotaraya KL, Motherland; “Mat Koboi”, oleh kumpulan peneraju gerakan muzik berat ‘Keramat Durjana’ Naratu; “Bangun”, satu tandukan berkuasa oleh veteran hardcore Malaya, Restraint; “Warzone”, dari ‘supergroup’ rapcore terbaru lahiran Malaysia, Strikeout; sahutan peringatan “No Hypocrisy” dari rockers 90an kegemaran, Dead Mushroom; teriakan gumbira Couple, dengan sound indie sebenar melalui “Goddamn Mighty Tune”, cukup dengan melodi keanak-anakan kesukaan pengunjung gigs; Upon Arrival dengan “Built To Last”, satu tumbukan ketat yang memberangsangkan bagi kepalakepala metal yang menjiwai rentak begitu; Auburn, trio kultus dengan tona rock alternatif melalui lagu BM mereka berjudul “Youth”, yang menceritakan tentang paranoia akhir zaman; Nervedeless, kuartet post-grunge tempatan dengan trek mereka “For A While”; X-cited Screamers, dengan kerancakan riff gitar berat berintikan post-hardcore serta melodi vokal yang catchy melalui kontribusi “Motinovation”; irama reggae dengan resipi modern dari King I & The EasyBabaSound; anthem punk penuh bertenaga dari Glasswar; kata-kata nasihat yang bernas dari ‘profesor’ scene bebas merangkap ‘Bob Dylan Malaysia’, Azmyl Yunor, dengan pesanan “Orang Kita” yang mencuit; Francis Wolf (bintang underground lewat 90an bersama trio pop-punk Spunky Funggy) dengan lagu penutupnya, “Paint”.
CD Kompilasi PEKIK ini boleh didapatkan di dalam PEKIK MerchBox – Edisi Terhad – yang dikeluarkan eksklusif untuk peminat scene muzik independen tempatan. Pra-pesanan untuk PEKIK MerchBox boleh dibuat di http://pekik.stereopixels.com.
Ikuti PEKIK di: