Peminat Muzik Paling Ghairah di Dunia

oleh Rahmat Mohd Did
1.8K bacaan

Apakah yang dimaksudkan dengan “pengunjung konsert terbaik di dunia?” Adakah berdasarkan jumlah kehadiran paling tinggi untuk sebuah konsert? Adakah diukur dengan betapa kuatnya singalong mereka untuk setiap lagu yang dipersembahkan? Atau adakah dinilai daripada bagaimana mereka mempengaruhi artis yang membuat persembahan untuk menjadi lebih baik?

Baiklah.

Penulis pernah bertanya di laman Music Addicts Malaysia, di negara manakah pengunjung konsertnya begitu “gila” sehingga hampir semua artis-artis popular dunia ingin pergi ke sana untuk melihat sendiri adakah apa yang diperkatakan itu benar atau tidak.

Daripada 59 komen, hanya seorang sahaja yang menjawab dengan betul! Agak pelik juga kerana reputasi peminat muzik di negara ini adalah sangat terkenal di seluruh dunia. Ia juga menjadi destinasi kepada band-band Rock dan Metal terbesar dunia untuk merakamkan konsert mereka semata-mata kerana mahukan elemen magikal daripada pengunjung itu sendiri!

Seperti dijangka, paling ramai menjawab Rio, Brazil. Selain itu, ramai juga yang memberi jawapan Jepun, German, USA, England dan juga Indonesia!

Malangnya, semua itu tidak tepat. Amerika Latin secara am mungkin boleh diterima, tetapi jawapan yang paling betul ialah:

Argentina.

Rolling Stones: Bridge to Buenos Aires, AC/DC: Live at River Plate, Oasis: Live at River Plate, Megadeth: That One Night, Michael Jackson: Dangerous Tour in Argentina dan Pepsi Music Festival adalah antara rakaman konsert yang sangat terkenal bukan kerana siapa yang membuat persembahan, tetapi keghairahan pengunjungnya!

AC/DC Live at River Plate berlangsung selama tiga hari pada bulan Disember 2009 dengan kehadiran lebih 200,000 orang.

Tetapi, sebelum penulis pergi lebih jauh bercerita tentang artis-artis antarabangsa, kita kenali dahulu peminat muzik Argentina itu sendiri.

Populasi rakyat di Argentina tidaklah besar. Hanya sekitar 45 juta orang sahaja. Tetapi apa yang membezakan rakyat mereka dengan negara lain adalah keghairahan (passion) dalam sukan bola sepak dan muzik.

Media perdana mungkin menulis tentang betapa fanatiknya peminat-peminat bola sepak di England, Brazil dan Itali. Tonton video ini dan fikir kembali.

Dokumentari Here’s Why Argentinian Fans Are F**king Mental.

Kemudian, untuk muzik, kita perlu bermula dengan artis dari negara itu sendiri. Di Argentina, kalian perlu kenal Patricio Rey y sus Redonditos de Ricota atau singkatannya Los Redondos, Indio Solari, Jijiji, Ricoteros dan El Pogo Mas Grande Del Mundo (Largest Moshpit in the World).

Los Redondos adalah band alternative rock yang popular di Argentina dan aktif dari tahun 1976 sehingga 2001. Selepas dibubarkan, vokalisnya, Indio Solari bergerak secara solo sehingga kini. Solari sekarang sudah berumur 70 tahun.

Indio Solari pada tahun 2016.

Tanyalah siapa sahaja rakyat Argentina yang kalian kenal, “Apakah yang akan terjadi bila Los Redondos atau Indio Solari membawakan lagu Jijiji di konsert?,” nescaya mereka dengan bersemangat akan menjawab El Pogo Mas Grande Del Mundo!

El Pogo Mas Grande Del Mundo! di salah satu konsert Indio Solari.

Lagu Jijiji ini boleh diibaratkan sebagai anthem kepada Ricoteros (peminat-peminat fanatik mereka) sejak zaman-berzaman. Tiga generasi di Argentina tidak kira tua atau muda semuanya tahu, adalah menjadi ‘jenayah’ jika konsert Los Redondos atau Indio Solari tidak ada ritual Largest Moshpit in the World di mana seluruh pengunjung diserang histeria dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada lagenda kesayangan mereka.

Oh ya, satu lagi istimewanya peminat muzik di Argentina adalah mereka singalong kepada semua benda! Bukan setakat lirik sahaja. Bunyi gitar, bunyi trumpet, bunyi dram semuanya dibalun singalong. Sedangkan penyanyi itu diam pun mereka tidak akan berhenti singalong. Mereka pandai-pandai sendiri membuat chant seperti di stadium bola sepak.

Untuk memberi bukti kepada kalian betapa gilanya Recoteros dengan Indio Solari, penulis sertakan beberapa video. Pastikan kalian menggunakan headphone dan menguatkan bunyi ke tahap maksimum.

Lupa nak cakap. Lagu Jijiji ini tidak berat langsung. Penulis dengar macam pop rock sahaja. Tapi sebab gila, mereka tidak peduli. Moshpit untuk lagu pop rock ini lebih hebat berbanding konsert metal di mana semua penontonnya duduk diam dan merakam dengan telefon.

Video di bawah ini mempunyai kualiti rakaman aerial view yang sangat baik. Perhatikan dari hadapan pentas sampai belakang sekali tidak ada yang duduk diam dan lihat berapa banyak moshpit dibuka di bahagian penonton. Di pertengahan lagu, mereka turut singalong bunyi solo trumpet!

Indio Solari – Jijiji Live 2016

Pada tahun 2017, konsert Indio Solari berakhir dengan malang apabila dua orang pengunjung maut dan berpuluh orang lagi cedera akibat terlebih kapasiti. Sepatutnya venue ini mampu memuatkan 200 ribu orang sahaja tetapi yang hadir lebih daripada 300 ribu orang. Solari sendiri kelihatan kurang bersemangat menyanyikan lagu ini kerana risaukan keselamatan pengunjung.


Amacam? Percaya tak sekarang? Itu baru band rock. Sekarang bayangkan bagaimana ‘perangai’ mereka ini di konsert metal?

Untuk pengetahuan kalian, artis-artis popular seperti Keith Richard, Dave Mustaine, Brian Johnson, Fred Dust, Eddie Vedder, Ozzy Osbourne, Dave Grohl, Tommy Lee (Motley Crue), Johny Ramone dan ramai lagi telah menyatakan secara terbuka bahawa peminat muzik di Argentina adalah yang terbaik di dunia! Ada yang sampai melutut dan menyembah pengunjung kerana sangat terharu dengan sambutan dan sokongan luar biasa peminat muzik di Argentina terhadap mereka.

Peminat muzik di Argentina juga terkenal kerana mencetuskan fenomena global yang dikenali sebagai Aguante Megadeth. Ceritanya bermula pada tahun 1994 sewaktu Megadeth pertama kali membuat persembahan di sana.

Sewaktu riff intro Symphony of Destruction dimainkan, Dave Mustaine terganggu dengan sorakan pengunjung yang menjerit “Megadeth! Megadeth! Aguante Megadeth!” mengikut irama riff intro tersebut sehingga Mustaine terlupa lirik dan menghentikan nyanyian! Tanpa diduga, chant Aguante Megadeth ini merebak ke seluruh dunia semata-mata kerana peminat-peminat Megadeth di negara lain ingin membuktikan kepada Mustaine mereka boleh bersorak lebih kuat! Cuba bayangkan, Aguante itu sendiri adalah bahasa Sepanyol yang bermaksud Go on atau We love. Amat pelik bila ia dijerit oleh peminat dari negara lain.

Tonton video di bawah untuk mengetahui asal-usul Aguante Megadeth ini.

Asal-usul ‘Aguante Megadeth.’

Ya, begitulah hebatnya peminat-peminat muzik di Argentina. Brazil, Russia, Chile, Jepun, USA, England dan lain-lain tak akan mampu menandingi keghairahan mereka ini sehingga kini. Itulah maksud penulis bila mengatakan:

Peminat datang ke konsert untuk melihat artis,

Artis datang ke negara Argentina untuk melihat peminat.

Masih belum puas atau tidak cukup bukti untuk meyakinkan kalian bahawa peminat muzik Argentina adalah yang terbaik di dunia?

Mudah sahaja. Penulis tinggalkan pautan Youtube di bawah untuk kalian saksikan sendiri. Video berdurasi 1 jam 10 minit ini cukup lengkap dari segi visual tentang kegilaan pengunjung sehinggalah kepada kalimat Best in the world dari mulut artis-artis itu sendiri.

Dokumentari “Best Crowd Ever”

Sesungguhnya, reputasi Argentina sebagai peminat muzik terbaik dunia adalah benar dan mutlak. Datanglah band K-Pop dan Dangdut sekalipun, persembahan band tersebut akan diangkat ke tahap lebih tinggi oleh peminat-peminat muzik Argentina yang magikal.

Ricoteros beraksi.

Setlist The Rolling Stones sewaktu konsert Rolling Stones: Bridge to Buenos Aires pada tahun 1998.

Chris Martin (Colplay) memegang bendera Argentina sewaktu siri jelajah ‘A Head Full Of Dreams’ pada tahun 2017.

Kumpulan K-Pop SHINee sewaktu membuat persembahan di Argentina pada tahun 2014.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅