Sebut sahaja nama Sarjan Hassan, pasti semua kenal legenda ini. Seorang pejuang dan negarawan yang sanggup bermatian demi mempertahankan tanah air yang tercinta. Sebenarnya jika disingkap semula, banyak juga lagu-lagu tribute khas untuk mengingati peristiwa atau individu penting pernah dihasilkan. Sewaktu negara dilanda wabak COVID-19 dahulu, kita boleh dengar beberapa lagu yang ditujukan khas buat petugas barisan hadapan negara dihasilkan.
Sebuah band yang dikenali dengan nama pentas Whoinsideband telah tampil bersama single yang menjulang jasa dan kudrat pejuang kemerdekaan, Sarjan Hassan baru-baru ini yang telah dimuatnaik di YouTube mereka pada 1 April 2022. Unit yang memperjuangkan genre metal ini terdiri daripada Michael B selaku vokalis serta Mamat dan Chi di posisi gitar. Bermula sebagai sebuah hobi lama-kelamaan menjadi serius kerana kekangan seperti kewangan dan peralatan dapat diatasi. Pihak MAMY juga sempat menemubual Asmuni, selaku komposer, gitaris ketiga dan nadi utama band ini. Ayuh telusuri temubual di bawah.
MAMY: Boleh kongsikan perjalanan kewujudan Whoinsideband ini?
“Perjalanan Whoinsideband bermula dari Hafiz iaitu abang saya. Kami sebenarnya hanya bermain sebagai hobi dan mula membuat beberapa buah lagu. Akan tetapi kami tak pernah ambik langkah serius untuk rekod lagu. Jadi kami dapatkan kata sepakat daripada semua ahli band, why not kita buat album sendiri. Then kami cuba tapi perlukan masa yang agak lama kerana kos dan peralatan. Tahun berganti tahun kami sepakat bubar untuk menghormati rakan-rakan yang nak fokus pada komitmen berkeluarga. Tinggallah saya seorang masih lagi berusaha untuk menjayakan lagu yang masih belum direalisasikan.”
Sebelum ini, Whoinsideband pernah mengeluarkan sebuah lagi lagu berjudul Enjin Lama dengan nuansa muzik yang sangat berbeza berbanding lagu baharu mereka, Tali Barut. Menurut Asmuni:
“Lagu ‘Enjin Lama’ adalah susunan yang dibuat dari line up asal Whoinsideband yang pada waktu itu kami cuba variasikan gaya permainan dan mood lagu. Tentang genre lagu amat berat pada kami untuk tetapkan. Ada yang rancak ada yang slow. Memang kami letak kepercayaan semua kepada jalan cerita lagu dan juga mood. Mungkin kami masih belum punya pengalaman lebih lagi dan pada waktu itu kami lebih selesa berkongsi pendapat tentang arrangment lagu. Berbeza dengan Tali Barut di mana itu adalah hasil susunan lagu saya dan juga kawan yang banyak membantu saya iaitu Feisal Kassim. Jadi untuk lagu ni cuma tertumpu kepada dua idea sahaja dan kami nak lagu ni seperti mana sesuainya dengan jalan cerita lagu dan juga mood.”
Lagu ini dimulakan dengan petikan gitar yang disumbatkan pada awalan lagu yang terus mengingatkan penulis kepada lagu-lagu rock sekitar 90an hingga tahun 2000. Buat pengetahuan semua, band ini masih lagi mencari anggota untuk mengisi posisi dram dan juga bass tetapi lagu ini berjaya dipersembahkan dengan baik walaupun menggunakan perisisan dram dan bass yang dimainkan melalui pemprograman komputer. Kemudian lagu ini menusuk lembut yang menginzalkan sebelum irama agresif menghempas yang menerjah telinga.
Berbalik kepada Sarjan Hassan, jeritan yang dibawakan oleh Michael B kadangkala ada bahagian yang mentah namun okey sahaja secara keseluruhannya. Apa yang menarik perhatian penulis adalah sampel audio pada permulaan lagu yang mungkin diambil terus dari filem Sarjan Hassan yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham P. Ramlee suatu ketika dahulu. Lagu ini jika dibandingkan dengan lagu Enjin Lama sangat berbeza dari segi bunyi dan paling ketara adalah gaya vokal yang ditawarkan dalam lagu. Tetapi ini menunjukkan variasi Whoinsideband yang mampu membawakan gaya yang pelbagai dan penulis boleh menerima kedua-dua lagu dengan baik.
Apapun genre dan gaya yang dibawa, sekalung tahniah buat Whoinsideband yang meluncurkan lagu ini menjadi halwa telinga buat kami pentegar muzik. Kepada pemain dram dan bass di luar sana, jika anda memiliki gaya permainan instrumen yang baik, bolehlah hubungi Encik Asmuni bagi mengisi kedua-dua posisi ini yang masih lagi kosong melalui talian +6013-304 9631.