Ketika bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 yang lalu, pemuzik mula sedar betapa pentingnya memiliki peralatan untuk melakukan rakaman dari rumah. Penulis juga mendapat tahu pada ketika itu, majoriti pemuzik di Malaysia melakukan “panic buying” dengan membeli pelbagai peralatan rakaman seperti audio interface, studio monitor, headphones dan tidak dilupakan juga, membeli komputer yang bagus. Boleh dikatakan barang-barang di kedai muzik dan kedai komputer laris dijual seperti cendol durian.
Bukan itu sahaja, pihak Music Addicts Malaysia juga pernah diajukan soalan melalui Facebook dan Instagram tentang apakah alatan yang sesuai untuk melakukan rakaman dan platform untuk belajar melakukan rakaman. Oleh itu, di sini penulis ingin kongsikan senarai alatan yang harus dimiliki oleh pemuzik jika ingin melakukan rakaman dari rumah. Ini bukan sebuah paksaan tetapi hanyalah cadangan yang boleh disesuaikan dengan bajet kalian.
P/S: Artikel ini untuk golongan amatur dan jika ada kesilapan mungkin golongan professional boleh tegur dan beri input agar kita sama-sama belajar. Terima kasih!
- Komputer
Mungkin ramai yang memiliki komputer mahupun komputer riba namun spesifikasi penting yang perlu diberi perhatian adalah RAM dan Solid State Drive(SSD) yang boleh memudahkan kerja rakaman kalian. Penulis boleh cadangkan untuk semua yang ingin mencari:
- Cari komputer/ komputer riba dengan kapasiti RAM 8GB ke atas atau 16GB optimum.
- SSD wajib ada dan minimum 240GB.
- Processor yang baik.
Di sini kosnya mungkin mencecah RM 4,000 ke atas, namun jika tidak cerewet dengan jenama dan kondisi, boleh dapat semurah RM2,500 sahaja. Jika sudah mempunyai komputer, kalian hanya perlu menaiktaraf RAM dan SSD sahaja kerana kedua alatan ini sangatlah penting untuk melancarkan kerja rakaman dan percayalah, ini akan menjadi perkara yang berbaloi.
- Audio Interface
Nak rekod? Mestilah kena ada audio interface. Ramai akan cadangkan beberapa audio interface yang harganya melebihi harga satu set tayar kereta. Namun penulis boleh cadangkan beberapa jenama audio interface yang harganya berpatutan iaitu:
- Behringer UM-2
- Behringer UMC 22
- Behringer UMC 202HD
- Focusrite Scarlet Solo
- Focusrite Scarlett 2i2
- Audient ID4 MK2
Keenam-enam audio interface ini adalah pilihan terbaik penulis namun kalian ada pilihan tersendiri. Pilihlah dengan sebaiknya.
- Speaker Monitor
Buat yang berkemampuan, penulis cadangkan kalian untuk cari speaker monitor yang berkualiti dengan harga berpatutan contohnya Presonus Eris 3.5. Ada juga speaker lain yang lebih bagus namun setakat ini Presonus Eris sahaja yang menambat hati penulis jika dilihat dari sudut harga, fungsi dan output yang dipersembahkan.
- Studio Headphones
Jika tiada bajet untuk speaker monitor, kalian boleh beli studio headphones dan pilihan penulis di sini ialah:
- Behringer HPS3000
- Behringer HPS5000
- OneOdio Pro 10
- AKG K52
- Superlux HD-668B
- Samson SR 950
Pilihan di tangan anda.
- Mikrofon
Jika anda seorang vokalis, anda perlu mencari mikrofon yang berkualiti untuk merakamkan demo anda. Mikrofon mempunyai dua jenis dalam aspek rakaman iaitu Condenser Microphone dan Dynamic Microphone. Dynamic Microphone berfungsi secara pasif dan tidak memerlukan sebarang sumber kuasa luaran. Condenser Microphone ini biasa digunakan di studio rakaman kerana bunyi yang dihasilkan lebih jelas (jangan sesekali melepaskan angin dengan bunyi yang kuat, pasti akan dapat ditangkap bunyinya). Mikrofon jenis ini juga sesuai untuk merakam bunyi ambient atau bunyi sekeliling. Jarak bunyi dengan mikrofon ini bukanlah satu masalah, kerana mikrofon ini memang dicipta supaya mampu memerangkap sumber bunyi yang jauh daripadanya. Dan hasilnya lebih sedap didengar.
Perbezaan utama Condenser Microphone dan Dynamic Microphone ialah, Condenser Microphone memelukan kuasa tambahan untuk membolehkan ianya beroperasi. Dan biasanya kuasa tambahan tersebut boleh didapati daripada bateri ataupun dengan cara menghidupkan Phantom Power +48v di Mixer anda.
Di sini ada beberapa mikrofon yang harganya berpatutan dan kualitinya baik iaitu:
- Behringer C1 Condenser Microphone
- Superlux E205 Condenser Microphone
- Behringer C3 Condenser Microphone
- Presonus M7 MKII Condenser Microphone
- Behringer XM1800s Dynamic Microphone
- Shure PGA-58 Dynamic Microphone
- Shure SM-58 Dynamic Microphone
Terserah pada kalian untuk beli Condenser Microphone or Dynamic Microphone asalkan bunyinya ada dan dapat digunakan sebaiknya.
- DAW
Digital Audio Workstation (DAW) ini diibaratkan seperti kuali di dapur. DAW merupakan sebuah production software untuk merekodkan segala permainan instrumen dalam komputer anda tak kira Windows atau MAC. DAW ini ada pelbagai jenis seperti Cubase, Ableton, Presonus Studio One, Cakewalk by Sonar, Reaper, dan lain-lain. Secara peribadi, penulis menyukai Reaper atas beberapa sebab iaitu percuma, mudah digunakan dan lebih kemas walaupun hanya ada plugin yang asas. Kalian juga boleh melihat kepada Cakewalk by Sonar kerana DAW ini merupakan sebuah perisian percuma dan sempurna dengan adanya kelengkapan VST seperti Guitar Amplifier Simulator, Bass instrument MIDI dan Drum MIDI. Jika ada bajet, kalian boleh membeli Cubase, Logic Pro X (MAC), dan lain-lain DAW berbayar.
- VST Plugins
Virtual Studio Technology (VST) merupakan sebuah audio plug-in software yang digunakan untuk melakukan rakaman. VST ini ada pelbagai barang seperti EQ, Compressor, Limiter, Saturator, Guitar/Bass Amp Simulator, Drum Machine, Synthesiser dan lain-lain. Ada yang percuma, dan ada yang harus dibeli. Jika berkemampuan, kalian boleh membeli VST. Jika tidak, apa salahnya gunakan barang percuma. Berikut merupakan senarai VST yang percuma dan bagus untuk digunakan:
- Drums
- MT Powerkit Drum 2 Free
- Steven Slate Drums 5 Free
- Guitar/Bass
- Amplitube Free
- Guitar Rig Free
- ML Soundlab
- Nembrini Audio
- STL Tones Emisarry with NadIR
Semua yang penulis senaraikan ini adalah untuk gitar/ bass dan drum. Untuk instrumen lain, kalian boleh teroka sendiri di internet.
Itu sahaja nukilan penulis pada kali ini dan kita akan bertemu lagi pada siri yang seterusnya. Selamat melakukan rakaman kalian. Semoga berjaya!!!