Pertaruhan Alternative J-Rock Oleh Re:life Yang Serba DIY!

oleh Mohd Asyraf Firdaus
2.7K bacaan

Re:life, sebuah band yang berasal dari Kelantan ini tampil berani dan berbeza seperti sekutu senegerinya iaitu No Good yang kian menempa nama. Re:life telahpun menerjah segenap ruang skena muzik tempatan dengan memperjuangkan irama J-Rock/Alternative Rock dengan jayanya dan menyajikan kejutan dengan melancarkan EP pertama mereka yang berjudul Mimpi.

Apa yang membuatkan Mimpi lebih unik dan wajar diberikan perhormatan adalah kerana proses rakaman dan juga mastering yang sepenuhnya dilakukan secara DIY oleh mereka sendiri! Fuh, tabik la bro! Bukan sesuatu yang mudah. Untuk pengetahuan semua, pembikinan EP ini pernah terhenti seketika proses rakamannya dek wabak COVID-19 yang masih melanda negara.

EP yang memuatkan sebanyak enam buah lagu ini memberikan penulis pelbagai perasaan dan reaksi. Berikut adalah sedikit temubual MAMY bersama Haiqal selaku pemain gitar utama Re:life. Ayuh kita telusuri bersama.

MAMY: EP pertama Re:life ini sepenuhnya dihasilkan sendiri dari rakaman hingga mastering. Mengapa tidak memilih untuk menyerahkan kepada pakar seperti Kamar Seni, Nash Muhandes dan lain-lain? Adakah kerana kekangan bajet atau memang ingin cuba DIY sendiri?

Pertama, kami kekurangan bajet dan memang kami ingin mencuba recording DIY sendiri. Di situ kami ada sedikit sebanyak ilmu pengetahuan tentang waktu recording (Jika kami cukup bajet untuk pergi ke studio professional) jadi tak rasa kekok waktu recording pada masa hadapan nanti.

MAMY: Boleh ceritakan sedikit cabaran sepanjang rakaman memandangkan Re:life masih mempunyai tempat kosong di posisi pemain bass dan drummer.

Cabaran kami adalah tiada yang boleh main bass dan drum, memang inilah yang paling memenatkan, sebab kami buta tentang drum dan bass. Kami sudah mencari yang boleh bermain alat muzik berkenaan tapi tak bertahan lama. Jadi kami hanya menggunakan “MIDI” untuk recording sebagai pemain bass dan drum dalam kumpulan Re:life. (Kami masih lagi mencari jika ada yang berminat).

MAMY: Selain Spotify, adakah Re:Life bercadang untuk mengeluarkan EP Mimpi dalam format fizikal juga?

Untuk EP MIMPI kami tidak akan keluarkanya secara fizikal, hanya digital sahaja pada masa ini tapi sekiranya pada masa hadapan apabila kami dapat peluang untuk bermain di gig dengan lebih kerap untuk berjumpa dengan komuniti atau cukup yakin dengan fanbase yang ada, mungkin kami akan keluarkan dalam format fizikal juga. Untuk Album yang pertama mungkin ada tapi belum dipastikan lagi.

Jadi buat mereka yang berminat untuk mengisi kekosongan pemain bass dan dram, bolehlah hubungi mereka di laman sesawang rasmi mereka. Seusainya temubual tadi, ayuh kita teruskan pengembaraan bersama menelaah dengan lebih mendalam lagi trek demi trek yang merealisasikan EP Mimpi ini.

1.Mimpi

Seperti tajuk EP ini juga, lagu Mimpi menjadi pembuka irama dalam EP ini. Walaupun dramnya hanya menggunakan bunyian “MIDI”, tetapi masih lagi boleh diterima kerana mereka berjaya menjahit bunyian dram ini bersama dengan adunan gitar dan vokal dengan baik.  Tidaklah ketara sangat dram ini adalah sampel dari set bunyian “MIDI”. Dari segi penulisan lirik, sememangnya straight-forward. Vokal yang dilontarkan juga sesuai, memberikan penulis suatu vibes yang memang syok untuk dilayan sewaktu kesesakan lalu lintas kerana petikan gitar pada permulaan lagu yang agak soothing sebelum instrumen lain bermula.

2. Zombie

Trek kedua yang berjudul Zombie, secara jujurnya chord gitar pada awal lagu ini mengingatkan penulis kepada lagu “Mirage” yang pernah dipopularkan oleh band indie tempatan sekitar tahun 2009, iaitu Pesawat. Vokal Zaheyr mungkin memerlukan latihan yang lebih kerana lagu ini kedengaran bagus dan catchy cuma vokal macam malu-malu pula. Penulis juga tertarik dengan elemen gitar solo yang ada di dalam trek ini, ringkas dan easy-listening.

3. Ku Tunggu Kamu

Penulis merasakan inilah trek yang berjaya membawa mood paling sedih. Vokal Zaheyr yang agak mendayu-dayu sememangnya rasa seolah dah putus harapan seperti ingin terjun bangunan. Bait lirik yang digemari penulis adalah “..aku mencintaimu sayang, aku merindumu sayang..walau aku tahu dirimu sudah berpunya..”. Potongan lirik ini menyebabkan penulis turut berasa sedih bersama-sama Re:life kerana mereka benar-benar menjiwai lagu ini baik dari lirik, vokal dan juga instrumen.

4. Luahan Hati

Buat anda yang ingin membuat luahan (confession) kepada seseorang yang anda suka, cinta, dan sayang tetapi malu atau risau ditolak, inilah trek paling tepat untuk dihadiahkan buat si dia. Lagu yang mendayu ini terdapat juga bait lirik yang menambat hati penulis iaitu “..dalam tangis selalu berdoa agar kau menjadi melengkapi dalam hatiku..”. Penulis berpendapat trek ketiga dan keempat ini merupakan satu kisah yang diasingkan kepada dua lagu.

5. Cahaya

Cukup dengan irama mendayu dan sendu, Re:life kembali menghidupkan mood pendengar dengan lagu yang lebih jelas dan nyata unsur Alternative J-Rock yang dibawakan oleh mereka. Corak permainan dram yang lebih dinamik dan vokal bertenaga dari Zaheyr memberikan lagi cahaya kepada trek kedua terakhir ini.

6. Separa Nota Mati

Trek ini merupakan trek yang menjadi kegemaran penulis, kerana pada awal lagu terdapat kesan khas pada vokal Zaheyr dan juga permainan bass yang lebih berbunga yang diiringi gitar bersama ride cymbal yang konsisten sebelum masuk kepada korus. Pada pandangan penulis, lagu ini kekuatannya ada pada permainan dramnya yang lebih pelbagai. Jadi, barulah nampak jelas elemen J-Rock sepertimana yang diperjuangkan mereka sejak awal lagi.

Maka, begitulah perjalanan Mimpi yang telah dihamparkan oleh Re:life kepada pendengar. Ada suka dan ada dukanya, walau apapun kita semua terus berdoa agar kita boleh melaksanakan gig secara fizikal yang mana penulis pasti semua tidak dapat sabar lagi untuk bersama-sama menonton Re:life secara langsung di gig nanti!

Ikuti Re:life dengan klik pautan di  bawah:

Facebook

Instagram

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅