Pertembungan Dua Gergasi: Clash of the Titans Bukti Cromok dan A.C.A.B Kekal Relevan

oleh Hamizan Hamsan
1.6K bacaan

Jika diselak kembali jalur masa dua figura yang bermula di arena bawah tanah ini, usia penglibatan mereka telah pun mencecah lebih 30 tahun. Satu jangka masa yang cukup panjang untuk kemenjadian sesebuah band dan diangkat ke status legenda. Tidak perlu diperkenalkan dengan panjang lebar, Cromok dan A.C.A.B telah membuktikan mereka masih relevan dan mempunyai signifikan muzikal yang berada dalam kelasnya tersendiri apabila berjaya melangsungkan sebuah konsert gabungan buat julung kalinya pada 9 Mac 2024.

Kredit: A.C.A.B. Productions & Karl Legacy

Konsert Clash of The Titans yang bertempat di Zepp KL bermula tepat pada jam 8:15 malam apabila para hadirin disajikan kejutan pertama dengan layaran skrin kiraan detik untuk meneka band pertama yang akan mengambil pentas. Tatkala habis gimik pengiraan detik pelancaran, berkumandang alunan intro Ulek Mayang menandakan Cromok yang akan memulakan pertarungan. Tanpa berlengah Sam, Karl, Shah dan Apis mengambil tempat masing-masing lantas menghunus senjata mengalunkan lagu pertama Unicorn, diikuti dengan Little One dan Misty menjadikan acara semakin panas di dalam kesejukan penghawa dingin dewan agam Zepp.

Usai lagu Prophecy, Sam dan Karl sempat memenuhi sela masa dengan mengajak penonton untuk mengenang dan berdoa di atas pemergian bekas pemain dram dan pengasas Cromok iaitu Miji yang baru sahaja meninggal dunia pada hari Rabu sebelumnya.

Kredit: A.C.A.B. Productions & Karl Legacy

Another You, salah satu lagu instrumental keramat Cromok dimulakan membuatkan penonton terpukau dengan gaya dan skill Cromok yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Persembahan mereka kemudiannya disusuli oleh Apis yang menyerang dengan drum solo hampir tiga minit dengan gayanya tersendiri menjadikan dewan gamat dengan sorakan penonton.

Set Cromok berakhir dengan lagu The Other dan sebuah lagu instrumental paling berhantu di Malaysia, I Don’t Belong Here sebagai encore. Jelas terpancar kegembiraan penonton yang headbanging dan bodysurf sepanjang set kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1987 di Australia ini.

Kredit: A.C.A.B. Productions & Karl Legacy

Acara berehat seketika memberikan ruang kepada A.C.A.B untuk bersiap mengambil alih pentas. Mungkin juga untuk memberi peluang kepada penonton untuk menarik nafas dengan normal selepas terinjak dengan adrenalin tinggi semasa persembahan Cromok sebelumnya.

Kredit: A.C.A.B. Productions & Karl Legacy

Tidak menunggu lama, A.C.A.B yang dibarisi Megat, Edy, Zul dan Andy segera mengangkat senjata memulakan set mereka. Skintro dan We Are A.C.A.B dipertaruhkan untuk membuka gelanggang. Acara semakin hangat membara bila Skinhead 4 Life dimainkan lantas mencetuskan aktiviti pogo berskala besar. Pihak pengawal acara nampak tidak senang duduk bila A.C.A.B terus memainkan lagu-lagu popular mereka seperti Unfairground, A.C.A.B dan On Saturdays. Kali ini tidak kira Cromers atau Skinhead dari depan hingga ke belakang dewan semuanya berpogo sakan. Bagaimana pun, keadaan terkawal dan semuanya aman. Terima kasih buat abang-abang sekuriti yang berjaya menyantuni hadirin dengan cemerlang.

Kredit: A.C.A.B. Productions & Karl Legacy

Dalam kehangatan acara, Megat sempat mengambil peluang untuk mengenang kembali zaman awal kemunculan A.C.A.B bermain gig dan perihal gig yang diserbu pihak berkuasa dan bermacam ragam anak-anak muda ketika itu berekspresi.

Seakan tidak cukup dengan lagu-lagu awalan yang dimainkan, A.C.A.B terus menghadiahkan lagu-lagu terbaik mereka seperti Unite & Fight, Streets of Uptown dan juga Racial Hatred 2 membuat dewan bergema dengan suara-suara penonton yang menyanyi bersama. Sebuah lagu Melayu berjudul Malapetaka juga mendapat sambutan hebat dari penonton. Sebagai penutup set, lagu bertaraf sakral We Are The Youth dimainkan.

Kredit: A.C.A.B. Productions & Karl Legacy

Tibalah saat yang dinanti-nantikan semua hadirin di mana kedua-dua band bergabung memainkan lagu secara bersama di set ketiga. Unsur kejutan seterusnya sangat-sangat menjadi bila Megat dan Karl bersama bermain guitar solo untuk lagu Ulek Mayang dan bersambung dengan lagu Journey secara medley. Dewan sekali lagi gamat dengan sorakan bila Sam dan Megat bersilih ganti berduet menyanyikan lagu Freedom & Justice. Lagu terakhir Berganding Tangan menamatkan puncak acara dan simbolik gandingan mereka pada malam itu.

Kredit: A.C.A.B. Productions & Karl Legacy

Secara keseluruhan, walaupun ada sedikit ralat pentas yang terjadi di sana sini (semoga skru hi-hat Zul yang hilang dijumpai), konsert epik ini pasti akan terpahat dalam memori dan sejarah muzikal negara. Tidak kira Cromers ataupun geng Skinhead, masing-masing ternyata puas dan enjoy. Raja Thrash dan Three-Chord Hero Malaya ini mudah sahaja mengawal pentas dan menyajikan lagu-lagu yang mengusik jiwa keras penonton.

Jutaan tahniah dan terima kasih dizahirkan buat penganjur A.C.A.B Productions, A.C.A.B, Cromok serta kru-kru yang terlibat. Terus mekar dan signifikan!

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅