Di sebalik kemeriahan skena muzik Malaysia yang berwarna-warni, progressive rock tidak pernah mendapat tempat sewajarnya dalam kalangan peminat muzik, malahan masih ramai anak muda yang masih kurang faham falsafah di sebalik genre yang amat popular di British dan Amerika ini.
Menggelar diri mereka sebagai Polaris, formasi ini memulakan tahun baharu 2021 dengan sebuah single berjudul Arpeggio Tryst yang diharap dapat memeriahkan kembali jenisan muzik sebegini, agar generasi kini tidak hanya memandang ke barat untuk mendengar muzik-muzik prog rock.
Polaris bukanlah band baharu. Melihat sosok-sosok di dalamnya sahaja kita sudah tahu bahawa mereka ini terdiri daripada sekumpulan pemuzik matang yang sudah lama berkecimpung dalam industri dan menurut mereka, unit ini sudah bergiat aktif sejak awal 2000 lagi. Mungkin ada yang terkeliru dengan nama mereka yang sama dengan sebuah band metalcore Australia, itu kena tanya tuan badan sendirilah. Sebab memang banyak band nama Polaris ni.
Anak-anak jati Petaling Jaya, Selangor ini menggarap melodi lagu-lagu mereka bukan sahaja dari akar prog rock tetapi turut memasukkan elemen post-rock, grunge, classic rock hinggalah ke metal seterusnya menghasilkan sebuah nuansa bunyian berindentiti yang sangat unik dan mudah diterima umum.
Melalui Arpeggio Tryst, Polaris meneroka pengalaman bertemu dan berpisah, hubungan sebab dan akibat serta pelbagai kaitan antara manusia, di mana setiap not yang dimainkan mewakili turun naik sebuah perhubungan dan saat romantik antara pencinta. Menarik, bukan?
Lagu ini dirakam sepenuhnya di iSeekMusic Studio di bawah kendalian Mokhtar Rizal dan seperti kita biasa dengar, ia merupakan mecca bagi bunyian seperti ini. Semua instrumen kedengaran sangat bernyawa, lebih-lebih lagi dram yang sangat “hidup” memacu keseluruhan melodi. Tahniah diucapkan kepada Polaris dan semoga karya selepas ini lebih matang kerana penulis mengharapkan lebih banyak perubahan time signature dan eksperimentasi disertai permainan instrumen yang lebih teknikal.
Barisan anggota Polaris:
Shahrul: Gitar
Saiful: Gitar utama
Arif: Dram
Azmir: Bass
Ikuti mereka di: