Setelah sekian lama, aku diberitahu oleh seorang kenalan bahawa band Riverside telah melancarkan EP pertama mereka, Path and Journey baru-baru ini.
Riverside bermula pada 2017 dan asalnya band ini hanya projek suka-suka di mana mereka jamming dan busking di Kota Tinggi, Johor. Menjadikan Modern Rock/Pop Punk sebagai genre utama, unit ini dianggotai oleh Hazim (vokalis & gitar kedua), Haziq (gitar utama), Hidayat (bass), Hakimi (keyboard), dan Hanafi (dram). Sehingga kini, mereka telah berkecimpung dengan pelbagai siri gig di sekitar Johor dan menjadi pilihan para penganjur sebagai band tuan rumah jika ada acara besar di selatan tanah air.
Setelah enam tahun penubuhan, mereka akhirnya melancarkan EP Path and Journey pada tahun 2023 dan segala proses produksi telah dikendalikan oleh Farhan Isa dari Sorme Studio. Mengandungi empat buah trek, Riverside ini dalam usaha untuk memastikan EP ini sampai ke halwa telinga para pendengar. Menurut Ajim sebagai tunjang utama:
“The reason kami memilih Farhan Isa kerana beliau sememangnya faham arah tuju muzik kami dan kena dengan bajet. Selain itu, Farhan banyak ajar kami juga selok belok rakaman dan memberi pelbagai tips untuk memastikan produk ini mempunyai identiti tersendiri. Best gak ah buat kerja dengan dia.
“As band dari Johor Bahru, aku faham susah gak nak tembus pasaran sebab apa-apa memang kena ke Kuala Lumpur dulu, tapi kami peduli apa sebab kami nak siapkan material, marketing kaw-kaw dan make sure semua orang dalam Malaysia dengar hasil kerja kami dan jika ada rezeki, inshaaAllah kami akan ke sana juga.”
EP ini dimulai dengan lagu Skies Memories yang menceritakan tentang cinta yang tidak kesampaian. Permulaan EP yang bagus di mana mereka bermain dengan dinamik bersama rentak yang santai. Cuma lagu ini boleh diperbaiki lagi di bahagian pronounciation kerana kedengaran masih “Melayu” walaupun dalam bahasa inggeris.
Trek kedua, Haboh!S. Punk Rock betul lagu ni. Sekali lagi, aku tertarik dengan susunan lagu dan permainan instrumen mereka. Cuma sedikit janggal di korus lagu ini di mana Hazim menyanyikan Happy Birthday! Oh Shima. Siapa Shima? Istimewanya beliau di mata penulis lirik ini. Walaupun liriknya sedikit janggal, tiada isu di situ namun vokal Hazim aku rasakan boleh ditambah baik lagi dan aku berpendapat jika diletakkan sedikit reverb atau double track mungkin tampak lebih padat.
Trek seterusnya, Lumrah. diinspirasi dari petikan “Hablum Minallah, Hablum Minannas” iaitu hubungan dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia. Jika didengar dengan teliti, lirik lagu ini menitikberatkan tentang kesedaran untuk kembali menjaga hubungan dengan Sang Pencipta. Bunyian sebegini aku memang nantikan dari dahulu lagi. Gabungan permainan instrumen serta vokal bersahaja Hazim menjadikan trek ini easy listening ditambah lagi suntikan solo gitar akustik yang jarang aku dengar di mana-mana trek membuatkan aku lebih tertarik dan patut diberi perhatian lebih oleh pendengar lain.
Trek terakhir, Sedar. Lagu ini telah dijadikan soundtrack dalam drama One Million Dollar Voice di Astro Ria dan aku rasakan lagu ini merupakan lagu hit dalam EP Path and Journey. Selain susunan lagu yang mempunyai kekuatan tersendiri, trek ini juga turut disuntik dengan bunyian synthesizer yang cukup sifat dan tidak melebih-lebih. Aku sejujurnya tertarik dengan lagu ini dan ingin mereka lebih banyak menghasilkan karya dengan stail sebegini.Keseluruhannya, EP ini telah dipersembahkan dengan baik. Susunan lagu, permainan instrumen dan penyampaian boleh dikatakan bagus dan boleh didengari banyak kali. Cuma untuk lagu bahasa Inggeris, aku menyarankan supaya berhati-hati dengan pronounciation dan harus belajar bagaimana untuk menyampaikan lagu berbahasa Inggeris. Untuk produksi pula, aku sejujurnya tiada masalah, hanya di bahagian dram aku merasakan bunyi snare agak kurus kering. Selain itu, cemerlang.
Tahniah buat Riverside. Semoga kalian terus maju dan aku mengharapkan kalian dapat datang ke Kuala Lumpur satu hari nanti membuat persembahan di hadapan penonton. Sampai jumpa lagi.
Ikuti perkembangan Riverside di: