Nak buat kugiran memang senang, tapi nak mengekalkannya tak semudah itu. Banyak perkara yang perlu dipelajari bukan sekadar teknik bermuzik namun erti persahabatan dan saling memahami satu sama lain. Dan itu semua aku pelajari daripada sebuah kugiran diberi nama Torque Six di mana mereka baru sahaja melancarkan album dalam versi digital booklet kini boleh didengarkan di semua platform strim digital bermula 31 Julai 2023 berjudul Pun Intended.
Ditubuhkan pada tahun 2015, kugiran yang sudah berusia lapan tahun ini kini dianggotai oleh Akmal (vokal), Kamal (Gitar Utama), Sham (Gitar Kedua), Imran (Bass) dan Paqa (Dram). Menjadikan beberapa kugiran rock terkenal seperti My Chemical Romance, Linkin Park sebagai pengaruh utama, semestinya mereka telah menyertai banyak acara, festival dan siri gig di sekitar semenanjung Malaysia dan akhirnya hadir dengan album dalam bentuk digital booklet. Sebelum ini Torque Six dikenali dengan single mereka iaitu ‘Terbang’ dan muncul pula beberapa single lain seperti ‘Liabiliti’ dan ‘Layang-Layang’
“Kenapa sekarang baru release album? Sebab sepanjang lapan tahun bermuzik, kitorang dah lalu pelbagai fasa seperti keluar masuk ahli, hilang fokus, masalah peribadi dan macam-macam lagi. Dan start 2019, kitorang dah decide nak selesaikan album (itu pun dah macam-macam hal), dan alhamdulillah segalanya telah selesai dan kitorang gembira dengan rilisan ni.”
Selepas menerima digital booklet, aku diberitahu yang mereka mendapat ilham daripada sebuah kugiran yang turut melancarkan album dengan cara sama namun terdapat komik di dalamnya dan dari situ juga Torque Six mendapat idea. Akusempat bertanya tentang proses produksi album dan bagaimana mereka memilih jurutera adunan dan mastering.
“Kita pilih jurutera adunan dan mastering berdasarkan perjalanan band kami sendiri. Pada awalnya kami lakukan dengan Ucop Classmates untuk Terbang dan Hari Ini, tapi selepas beberapa lama kami decide untuk pergi kepada Zahar dari Ruang Irama untuk proses rakaman dan Epul dari Bunkface Rockstation untuk proses adunan dan mastering. Tidak dilupakan M Show untuk proses synthesizer dan sequence. Kami juga berpeluang untuk bersama Epul dalam proses tersebut dan banyak input kami dapat sepanjang sesi.”
Cukup sudah penceritaan, aku ingin berkongsi rasa untuk album ini dan aku juga telah memilih 5 trek terbaik untuk pembaca sekalian.
Sickening
Permulaan trek yang baik, aku rasa seperti dibawa ke zaman 2000 di zaman kanak-kanak dan mengangkat kembali nuansa seperti Creed, MCR dan Linkin Park (sedikit). Kredit diberi untuk kerja instrumen dan semestinya vokal Akmal yang baik ditambah pula jeritan amarah namun aku merasakan mereka mengambil cara selamat untuk trek ini, macam ada kurang garam tapi masih di atas par.
Liabiliti
Masih menggunakan formula sama seperti Sickening, membawa kembali ke zaman kanak-kanak. Walaupun trek ini kedengaran bagus dari sudut susunan lagu dan kredit lebih diberi kepada pemain bass, namun di sini aku mula mempersoalkan kredibiliti Torque Six di bahagian gitar kerana berpendapat boleh ditambah baik dari segi tone.
Layang Layang
Okay, di sini mereka seperti mengubah sedikit corak permainan dan tampak lebih mesra pendengar arus perdana. Untuk trek ini aku rasa boleh dijadikan soundtrack untuk drama televisyen. Untuk vokal pula di sini aku berpendapat jika ditambah voicing mungkin trek ini tampak lebih efisyen.
Hari Ini
Masih mengekalkan nuansa rock, cuma aku tertarik dengan trek ini di bahagian melodi yang tidak terlalu berat.Aku juga berpendapat kualiti adunan dan mastering di trek ini lebih baik.
Terbang
Trek ini aku dah dengar dari 2016 lagi bila kali pertama menonton mereka di Garage Studio Taman Melawati. Bila aku dengar trek ini teringat Green Day dari sudut permainan gitar dan vokal (cari la lagu apa ya). Cuma aku berpendapat trek ini kalau letak dalam anime Jepun pun baik juga.
Secara keseluruhan, aku berpendapat album ini mempunyai potensi yang tersendiri namun mereka mengambil jalan selamat dan kurang bereksperimen. Aku juga mempersoalkan kualiti adunan dan mastering kerana tampak tidak sekata dan akhir sekali, tone guitar boleh ditambah baik di masa hadapan. Yang pasti, aku ingin mereka pergi jauh dan Torque Six harus memberi perhatian kepada beberapa bahagian supaya mereka tahu apa yang perlu dilakukan dan memperbaiki ‘the missing puzzle.’
Tahniah kepada Torque Six di atas kelahiran album ini. Semoga terus bermuzik. Kekal positif dan kekal kacak!
Ikuti perkembangan Torque Six di: