Unit Death Metal Johor, Purbawara baru sahaja melancarkan single ketiga dalam bentuk lirik video di Youtube berjudul Shaheed War, dipetik dari album ketiga mereka yang bakal muncul tidak lama lagi iaitu Withering.
Sebelum ini, Purbawara pernah mengejutkan penulis dengan dua single iaitu World of Nifaq yang menceritakan tentang hipokritnya dunia zaman kini dan Servants of Alamin yang menyeru kita agar melakukan ibadah solat lima waktu. Kali ini mereka kembali dengan lagu yang menceritakan tentang peristiwa perang yang berlaku pada zaman dahulu dan perang di zaman kini.
Trek ini dimulakan dengan tulisan Jawi yang membuatkan penulis memberhentikan video dan membaca sebentar seolah-olah mereka memberi amaran apa yang akan berlaku selepas ini dan boom! Keluarlah cap mohor dari Purbawara yang kedengaran semakin laju. Tak letih ke kome? Laju beno mainnya yeop!! Namun kali ini penulis tertarik dengan bunyi ambience, strings dan piano yang disampaikan kerana kedengaran seram dan tepat pada sasaran di setiap susunan lagu. Namun penulis berpendapat bahawa bunyi gitar yang dipersembahkan agak sebu dan tenggelam. Tidak pasti di mana silapnya tetapi tidak mengapa kerana keseluruhan trek ini dari aspek adunan dan mastering telah dilakukan dengan agak baik. Tiga minit 16 saat yang dihidang terasa tidak cukup! Pasti ramai yang akan mengulangnya banyak kali untuk mendapatkan kepuasan maksimum.
Mana satu pujaan hati kalian? Antara World of Nifaq, Servants of Alamin dan Shaheed War? Penulis suka semua tapi itu pilihan penulis. Kalian bebas membuat pilihan sendiri.
Buat peminat Purbawara, penulis tidak melepaskan peluang untuk menghubungi Ziddy iaitu vokalis Purbawara di Discord untuk mengetahui lebih lanjut tentang album mereka yang bakal keluar pada hujung tahun ini atau selewatnya pada awal tahun 2022.
Menerusi perbualan penulis dengan Ziddy:
For the next album, Withering, kita akan share tentang situasi dunia yang semakin tenat dan aku ada inside joke pasal ni. Korang carilah sendiri kenapa tapi hint dia “Imbuhan Layu” hehe! Dan inshaaAllah akan ada 10 lagu dalam album ini. Kitorang sengaja buat lagu pendek sebab kitorang lebih suka buat lagu yang ringkas dan senang diingati serta lagu pendek ni pendengar susah nak expect apa nak jadi lepas tu dan mereka akan mengulanginya kembali banyak kali.
Untuk proses album pula kita still menggunakan modus operandi yang sama seperti album sebelum ini namun kali ini aku lebih banyak mencuba beberapa teknik dan vokal yang lebih baik untuk suits dengan lagu yang kitorang siapkan. Sebenarnya semua lagu dah siap tinggal nak adjust sikit je lagi dan cuba mencantikkan beberapa bahagian. Dan untuk album ni kitorang ada satu lagu featuring tapi tidak boleh dinyatakan di sini so tunggulah siapa (dengan nada berseloroh).
Impian Purbawara adalah untuk memastikan muzik metal tempatan dapat tembus ke seluruh dunia selain menyampaikan mesej positif. Metal bukan muzik yang negatif dan pendengar juga perlu membuang persepsi bahawa muzik metal adalah muzik syaitan. Muzik itu seni dan kita tidak seharusnya ada isu genre-racism.
Lantak la nak kata poser ke apa tapi janganlah kita menjadi bodoh kerana genre.
Tahniah dan selamat maju jaya buat Purbawara. Semoga kalian boleh teruskan perjuangan dan penulis menanti muzik video terbaru mereka selepas isu Covid 19 ini berakhir. Adios!
Ikuti Purbawara di
Facebook
Instagram
Twitter
Bandcamp
Spotify