Bernaung di bawah payung Luncai Emas, mereka dikenali dengan nama Ramayan. Sebuah band psikedelia nusantara dengan imej awalan Rock N Roll. Band yang ditubuhkan pada 2014 ini perisanya mungkin kelihatan agak sama jika hendak dibandingkan dengan himpunan band yang sebumbung dengan mereka seperti Pitahati dan Margasatwa. Tetapi sebenarnya masing-masing mempunyai identiti sendiri dalam memperjuangkan muzik melayu era ini.
Memperkenalkan diri mereka melalui EP swatajuk pada tahun 2016 yang dirakam secara langsung menunjukkan kredibiliti anak muda ini berpotensi besar dengan penghasilan yang sangat natural. Mereka gunakan apa sahaja instrumen di dalam studio tanpa elemen tambahan menjadi cerminan sikap Rock N Roll yang cekal. Cebisan-cebisan ketidaksempurnaan itu yang mencantumkan visual yang sempurna pada karya mereka.
Ramayan meletakkan “Oh Dewiku” sebagai single taruhan permulaan karier mereka. Komposisi muzik yang easy-listening dan mudah dicerna tetapi dilatari dengan kerja-kerja gitar dan organ yang kompleks. Tak boleh lari dengan pengaruh muzik mereka, lagu ini juga terpalit dengan rangsangan alunan “Don’t Let Me Down.” Bahagian itu paling berhantu dalam nukilan jiwa-jiwa remaja bercinta ini.
Secara peribadi, trek pemula EP ini yang paling disukai penulis. “Akhir Kalam” berjaya membuat salam perkenalan Ramayan terus diajak bercinta tanpa suai kenal yang lama. Intro bass line yang berdetak dan berselang-seli dengan solo ringkas memukau seolah-olah menonton Ramayan secara live. Trek yang panjangnya lebih dari 7 minit ini benar-benar mengagumkan di sebalik lirikal mengagungkan Yang Satu.
Dari sudut penulisan pula, mereka dilihat cerewet dan sangat teliti. Sukar untuk kita hadam dan bersifat dalam. Ternyata DNA Dato’ M. Nasir yang diserap menjamin kreativiti mereka sebagai pemegang taruh harapan pelapis muzik tanah air. Itupun jika industri berbisnes dengan cara mencari karya, bukan mencari kaya.
Rakaman magis yang dilakukan selama 3 hari ini turut diterbitkan oleh saudara kandung vokalis, Acin Pukul (Yasin Pitahati).
Selain itu, turut mengandungi tiga buah lagu lain yang dimuatkan dalam EP ini iaitu “Gemalai,” “Hantu” dan “Sepintas Sastera Hati.” Unsur-unsur gabungan pop, balada, rock dan blues disatukan oleh pemuda yang bergelar Syafi’i (vokal/gitar), Amin (gitar utama), Que (dram), Nadz (piano/organ) dan Omar (bass).