Sarat dengan elemen penggalak semangat, menongkah arus dan mesej positif untuk keluar dari kepompong gelap sisi sosio ekonomi terendah masyarakat. “Rebel” yang cuba disampaikan pada tanda album ini bukan bermaksud negatif, malah lebih kepada sifat bangkit melawan. Berjuang melawan kemiskinan bukan lagi isu yang tertumpu di kawasan pedalaman, ia juga berat kepada kawasan berkemajuan yang dipagari konkrit hutan.
Aman RA yang juga dilabel pro-budak flat telah melancarkan “Rebel” pada Ogos 2018 menjadikan album ini bagaikan koleksi ceramah motivasi kehidupan versi hip-hop. Mengandungi 10 buah lagu yang 7 daripadanya dihasilkan oleh Navigator dan selebihnya dari Trip Disz, DJ Biggie bersama Kidd Santhe serta dirinya sendiri.
Dibuka dengan lagu berjudul “Bangun,” lagu yang berjaya menjadikan Aman RA berada di kelompok hadapan rapper tanah air apabila dijulang dengan kemenangan tempat kedua Anugerah Juara Lagu ke-34. Ia juga merupakan kesinambungan dari single “BudakFlat” yang dilancarkan tahun 2016.
Karya yang jujur dalam memperkenalkan dirinya dari budak flat yang punya cita-cita besar. Energi laungan “Bangun” yang ditujukan betul-betul memberi aura dan motivasi kepada masyarakat dengan pembuktian di persembahan live final AJL – audiens bernyanyi bersama serta dihadiahkan dengan standing ovation di penghujungnya. Perkara sukar yang berlaku ke atas persembahan bergenre ini diangkat sebegitu sekali.
Kalau jatuh sekali aku bangun tiga kali – Bangun
Kalau jatuh dua kali bangun tiga kali – Tabah
Tutup satu pintu aku pecah masuk lagi sepuluh pintu – Malu Tanya Sesat
Jangan engkau cuba pandang belakang Jika ada jodoh masanya bukan sekarang – Saat Baru
Gaya dan corak kata-kata hikmat yang digunakan dalam penulisan Aman. Ringkas dan mudah hadam, tetapi ia menyalurkan satu semangat tidak putus asa yang menebal. Dalam penyampaian mesej mudah hadam inilah yang paling berkesan pada masyarakat. Ia tak perlu digali dalam kerana masyarakat yang ingin dibina juga dari kalangan keciciran pendidikan. Yang tak handal bahasa juga boleh terima.
Semua tengah cuba lari dari sini
Tidak mahu terjerumus dalam mimpi ngeri – Kita Cara Kita
Gaya penulisan “Kita Cara Kita” dilihat paling ‘gelap’ sekali. Tak banyak memberi nasihat tetapi menggambarkan situasi dan sebuah pengharapan untuk menongkah arus dengan memetik beberapa tokoh berjaya dalam negara. Gejala-gejala negatif sememangnya mudah disasar kepada anak orang tiada-tiada – dadah dan samseng menjadi jalan pintas mencapai ‘kejayaan.’ Ini semua mimpi ngeri yang mereka semua tak ingin lalui.
Dengan selamba meletakkan diri sendiri pada aras tinggi, selera mewah Rarri (Ferarri) dijadikan visi. Budaya optimis dan firm juga perlu untuk memotivasi diri sendiri mencapai sesuatu yang kita cita. Aman RA cuba tonjolkan pada rangkap;
Aku kombinasi Altimet, Malique dan Joe
Cukup aku seorang untuk terbalikkan show – YeDowh
Aku bukan nombor 1 jangan tersalah kira
Aku nombor 1, 2, 3, 4 dan 5 – Rap Tak Ingat
Ini semua bahasa Aman dalam menaikkan nama sendiri. Tampak angkuh tetapi sebenarnya merangsang kehidupan kita menjadi berani bersuara. Kalau tak berani cuba, kita tak akan berjaya.
Album ini juga turut menampilkan beberapa artis termasuk Altimet dan Noh Salleh dalam “Berada” serta Kaka Azraf dalam “Saat Baru.” Yang pastinya nuansa yang disajikan agak berbeza dari yang lain. Ia seolah-olah bukan lagu milik Aman RA.
Harus dipuji, penghasilan album yang terisi dengan banyak pengajaran ini sangat memberi impak positif kepada masyarakat. Juga mampu mengubah stigma masyarakat dengan kebobrokan ‘miskin akan tetap miskin.’ “Rebel” merupakan kolektif yang baik dengan konsep material yang bukan klise. Ia bukan perjuangan Aman RA seorang, tetapi seluruh masyarakat perlu mengambil tempat bagi menghadapi survival kehidupan dalam letusan revolusi perindustrian keempat (IR 4.0) ini.
Apabila ditanyakan kepada Aman RA dalam satu bicarawara tentang sampai bila tempoh beliau akan terus rap?
“Saya rasa saya akan rap sampai mati.”