Revenge Tuntut ‘Hutang’

oleh Rahmat Mohd Did
3.1K bacaan

Bersempena pengeluaran duit i-Sinar baru-baru ini, Revenge ‘bangkit’ kembali untuk tuntut hutang lama.

Revenge 2020. Dari kiri: Syafrizal Sharif, Hafiz Yaakop, Faizal Razali dan Ade Hasnoor Ibrahim (Wak).

Setelah 10 tahun menghilang, band heavy metal yang pernah menjadi fenomena sekitar 2005 hingga 2011 dahulu kembali ke sirkit muzik bawah tanah tempatan dengan single baharu berserta video lirik yang telah dilancarkan di YouTube mereka pada 10 Januari 2020.

Ditubuhkan pada tahun 2005 oleh Farith Jamal (Ayed) dan Arul, Revenge pernah popular dengan lagu-lagu seperti Legends of Rock & Roll dan Ready to Roll. Kumpulan ini juga pernah diundang sebagai pembuka tirai untuk Wings dan Search, serta menyertai beberapa festival muzik tempatan seperti Rock the World 7 dan ROTTW Convention Concert.

https://www.facebook.com/watch/?v=1746124925543011

Revenge 2020 menyaksikan barisan anggota baharu di mana hanya Ade Hasnoor (Wak) satu-satunya anggota asal yang tinggal dan menukar posisi daripada pemain dram kepada gitaris manakala anggota lain adalah Hafiz Yaakop selaku vokalis, Syafrizal Sharif sebagai pemain bass dan Faizal Razali menggantikan tempat Wak di bahagian dram.

Menurut Wak, Hutang Bayarlah Woi ditulis berdasarkan pengalamannya sendiri.

“Lagu ni memang kisah benar mengenai seorang kawan yang pernah pinjam duit aku, lepas tu dia buat bodoh sampai sekarang.”

Lagu ini dirakamkan di Studio Merah, Ampang pada awal tahun 2020 sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia.

“Kau dah berhutang dengan orang, settlekan hutang tu. Takkan aku nak jadi pengemis nak minta duit sendiri?”

Penulis secara peribadi mengikuti rapat era rock kangkang revival dan ledakan venue One Cafe suatu ketika dahulu dan menyaksikan sendiri kelahiran band-band hebat seperti Nuclear Strikes, Firasah, Reptilia, Tornado, Rusty Rabak, Corncake, Aisunam, Qabul dan banyak lagi. Salah satu faktor meriahnya scene ketika itu adalah kerana mereka mengembalikan semula fesyen, attitude dan sound heavy metal 80an atau lebih dikenali di sini sebagai rock kangkang yang garang, longgar dan bingit.

Tahun 2005, filem Rock arahan Mamat Khalid turut menyerang pawagam membuatkan gerakan ini benar-benar meletus di seluruh pelusuk negara. Pemuda-pemuda berjiwa rock berlumba-lumba mencari kasut Aliph, menyimpan rambut gondrong, membikin jaket jeans dan seluar koyak/ PVC/ kulit. Pengaruh ini paling terkesan dalam kalangan pemuda-pemuda Sabah yang sehingga kini masih setia dengan penampilan mereka dan boleh dilihat di konsert-konsert rock/ metal negara.

Kemuncak kegemilangan mereka adalah penganjuran gig Tribute to Rock Kangkang sebanyak tiga siri bermula 2008 hingga 2010 yang turut menjemput legenda-legenda rock kapak Malaysia dan Singapura seperti SYJ, Junctions, Sons of Adam, Meditasi dan Rockers.

Malangnya, nyawa gerakan ini terlalu singkat dan mula tenggelam setelah lima tahun kerana terpaksa bersaing dengan gerakan indie yang melanggar negara bagai puting beliung ketika itu.

Dikepalai oleh Ayed, Revenge berjaya menerbitkan sebuah EP berjudul Legends of Rock & Roll pada tahun 2007 yang menggabungkan elemen heavy metal dan glam rock klasik. Line up ketika itu adalah Ayed (vokal), Doddie (gitar), Alex (gitar utama), Arul (bass) dan Wak (drum).

Revenge 2020 bersama pengasas band, Ayed (tiga dari kiri).

Berbalik kepada Revenge 2020 dan lagu Hutang Bayarlah Woi. Dari sudut kualiti bunyi, ia ternyata lebih baik berbanding EP 2007 dan single R.E.V.E.N.G.E mereka dahulu. Liriknya pula mengingatkan penulis kepada lagu SYJ – Teruskan yang tepat ke muka dan tidak berkias. Namun, secara pakej, penulis merasakan lagu ini masih belum mampu mendahului opus-opus terdahulu kerana terlalu straightforward dan berulang-ulang. Keterujaan penulis adalah untuk mendengar single mereka yang seterusnya, 1.9.8.0 yang berpotensi mengganti antem R.E.V.E.N.G.E sekaligus mencorak visi baharu REVENGE 2020 dan mungkin juga mengembalikan kegemilangan mereka sekali lagi.

https://www.facebook.com/watch/?v=3586908618088255

Single Hutang Bayarlah Woi juga kini berada di platform muzik utama seperti Spotify, Apple Music, Google Play dan Amazon.

Revenge juga telah menerbitkan dokumentari selama 25 minit yang menampilkan proses disebalik tabir sesi rakaman lagu ‘Hutang Bayarlah Woi’ dan juga temubual ahli-ahli Revenge yang lain.

Ikuti Revenge di:

Facebook

Instagram

YouTube

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅