Komen Corey Taylor Berkenaan Rock & Roll Hall Of Fame
Sewaktu ditemubual dalam racangan Lazer 103.3, vokalis Slipknot, Corey Taylor telah memberikan pendapatnya berkenaan Rock and Roll Hall of Fame yang dianggap sebagai sampah. Ketika ditanya kemungkinan untuk Slipknot dicalonkan untuk Hall Of Fame pada tahun hadapan, Corey Taylor menjawab,
“Aku cuma nak beritahu,aku langsung tidak kisah dengan Rock and Roll Hall of Fame, ia adalah sampah-sarap. Mereka tidak menghargai apa-apa pun kecuali muzik pop sebenarnya. Dan mereka hanya akan mencalonkan band rock yang sebenar, semata-mata apabila mereka ditekan oleh banyak pihak. Mereka biadap terhadap banyak legenda terutama kepada band-band yang layak selayak-layaknya. Aku mungkin akan melakukan apa yang Sex Pistol pernah lakukan. Aku akan katakan, kamu pihak Rock and Roll Hall of Fame adalah pemalsuan, aku tak peduli aku akan dicalonkan atau tidak, kamu Rock and Roll Hall of Fame langsung tidak tahu apa itu semangat rock and roll. Aku memang begini, dan jelas, aku tak akan peduli. Mungkin aku tak akan pernah dicalonkan, tapi aku tak kisah sangat.”
Hal berkaitan Rock and Roll Hall of Fame ini menjadi semakin kontroversi dari tahun ke tahun. Ianya tidak pernah lekang dari diperkatakan tentang masalah pencalonan atas nama Rock and Roll. Untuk tahun 2021 ini, sekali lagi dunia muzik rock antarabangsa menjadi bising apabila band gergasi berstatus elit iaitu Iron Maiden dan Judas Priest tidak terpilih dalam senarai akhir meskipun pada awalnya kedua buah band ini berjaya dicalonkan untuk undian.
Corey Taylor Tidak Mahu Slipknot Dicalonkan Untuk Rock & Roll Hall of Fame
Atas kontroversi yang semakin membahang, Presiden Rock and Roll Hall of Fame yang juga CEO, Greg Harris telah memberi jawapan bagi mewakili pihaknya.
“Para pengundi awal Rock and Roll Hall of Fame ini terdiri dari 1000 orang artis, sejarawan, ahli dalam industri muzik, dan juga peminat melalui undian peminat. Seperti Judas Priest dan Iron Maiden, pada awalnya kedua band ini memang telah diundi, namun keduanya tidak terpilih selepas undian mereka cukup dihitung.”
Apabila ditanya tentang peninggalan Iron Maiden pada tahun ini, Harris menjawab,
“Itu yang menarik. Sebabnya kami memang meraikan muzik metal. Kami meraikan kesemua genre di dalam rock and roll. Mereka memang dicalonkan. Kami juga mencalonkan Judas Priest, kami tidak lupa mencalonkan Def Leppard. Mereka semua dicalonkan, lebih 80 peratus dari mereka sebenarnya berjaya dipiliih dalam Rock and Roll Hall of Fame. Jadi, mari kita undi mereka. Undian ini adalah untuk 16 orang artis, tak semua mereka yang boleh dimasukkan.”
Rock and Roll Hall of Fame diperkenalkan pertama kali pada tahun 1986, dengan pensyaratan artis yang dimasukkan atau dicalonkan mestilah berusia lebih dari 25 tahun selepas rilisnya album pertama mereka. Setiap tahun seramai 6 orang artis akan dimasukkan ke dalam Fame. Slipknot pada tahun hadapan sudah cukup syarat dengan mencecah usia 25 tahun.
Pada awalnya, acara ini hanya memfokuskan kepada artis-artis fasa awal rock n roll pada era 40’an, 50’an, dan 60’an. Sebelum akhirnya mereka membuka peluang kepada artis-artis moden. Terutama kepada pemuzik metal memandangkan heavy metal merupakan antara genre yang dikira masih baru berbanding genre lain di dalam dunia rock and roll. The Who dipilih pada tahun 1990, The Jimi Hendrix Experience pada tahun 1992, Cream pada 1993, dan Led Zeppelin pada tahun 1995 yang mana mereka merupakan pemuzik rock berat terawal berjaya menjadi Rock and Roll Hall of Fame.
Sehinggalah pada tahun 2006, Black Sabbath menjadi artis metal pertama diangkat dalam Rock Hall. Ia diikuti band-band Hard rock seperti Van Halen pada 2007, Metallica pada tahun 2009, Alice Cooper tahun 2011, Guns N Roses pada 2012, KISS dan Nirvana pada tahun 2014, Deep Purple pada 2016, Bon Jovi tahun 2018, Def Leppard di tahun 2019 dan Nine Inch Nails pada tahun 2020 lepas.. Sehingga kini hanya Black Sabbath dan Metallica merupakan wakil dari heavy metal yang berjaya di dalam Rock and Roll Hall Of Fame.
Untuk tahun 2021, 6 artis yang terpilih dimasukkan ke dalam Rock and Roll Hall of Fame adalah Foo Fighters, The Go Go’s, Jay Z, Carole King, Todd Rundgren dan Tina Turner. Yang dipersoalkan adalah Jay Z dan Tina Turner dipilih melebihi Iron Maiden dan Judas Priest. Desakan telah dibuat agar nama muzium ini ditukar kepada Music Hall Of Fame, jangan ditunggang lagi dengan nama Rock and Rocll. Namun pihak Rock and Roll Hall of Fame menyatakan rock and roll itu tidak terlekat kepada sebarang jenis muzik tertentu, sebaliknya ia adalah semangat.
Barangkali benar pihak pengurusan Rock and Roll Hall of Fame berpegang kepada mazhab music is universal. Seperti di Malaysia, festival muzik yang menggunakan nama rock saban tahun pun turut disertai oleh artis dan band pop atas semangat penganjur yang music is universal, bukan semangat rock and roll, sedangkan masih berlambak band rock yang tidak diberikan peluang untuk beraksi. Masih lagi nak menunggang nama rock. Teringat dahulu, Vans Warped Tour menjemput Black Eyed Peas dan Katy Perry di pentas mereka pun, sampai ke hari ini menjadi bahan ejekan. Hahaha… Sekian…