Search Dilanda Kontroversi Sekali Lagi
Bukan lagi rahsia berkenaan peselisihan yang terjadi di dalam band legenda kebanggaan kita, Search. Konflik yang terjadi antara dua pihak iaitu Amy dan Nasir dengan satu lagi pihak Home Of Champions yang turut melibatkan dua gitaris Search, Kid dan Din sudah tidak dapat dibendung lagi. Konflik ini bermula dengan pengunduran Amy pada tahun lepas yang dikatakan akibat perselisihan faham dengan Nasir, pemain bass Search. Dan sejak dari itu, Search cuba menggunakan khidmat Awie dari Wings sebagai vokalis jemputan untuk beberapa siri konsert yang dirancang namun kerana pandemik yang melanda negara kita, ia tertangguh beberapa kali. Sehinggalah tahun ini, Search mengumumkan Akim dari band The Majistret untuk mengisi posisi vokal. Yang menghairankan, Nasir tidak kelihatan untuk line up terbaru Search ini.
Pertanyaan demi pertanyaan berpusu-pusu masuk menaikkan keganjilan yang tidak terhitung. Tiba-tiba pihak media melaporkan berita yang menggemparkan. Amy dan Nasir telah bersama-sama memberi amaran kepada Mozylir Mokhtaruddin dari syarikat Home of Champions untuk menghentikan perniagaan barangan merchandise yang menggunapakai nama Search. Home Of Champions merupakan sebuah syarikat yang menjual barang-barang yang menggunakan brand Search seperti t-shirt dan aksesori rasmi yang menggunapakai nama fenomenasearch.com di laman web mereka dan juga emel yang memakai domain fenomenasearch.com. Ia aktif bersama jenama Search sejak Febuari 2020 lagi.
Paling gempak adalah Home of Champions turut sedang mempromosikan keluaran kasut Aliph x Search edisi 2021 yang dikatakan terhad sebanyak 999 unit sahaja. Sudah tentulah ia mendapat liputan meluas memandangkan kasut berjenama Aliph yang terkenal di kalangan rocker satu ketika dahulu sudah lama pupus ditelan zaman. Dengan harga yang agak tinggi, kasut itu dijangka mendapat sambutan hangat. Mozylir Mokhtaruddin yang merupakan pengurus Home of Champion ini sebenarnya bukan orang asing, dia juga adalah individu yang sudah lama berkawan dengan Search. Dan buat masa ini, Nordin dan Kid yang masih merupakan anggota rasmi band Search masih berada di pihak Mozylir dan Home of Champions.
https://www.facebook.com/watch/?v=488990129103823
Serangan dari Amy turut mendapat sokongan dari Nasir, pemain bass yang secara rasminya masih lagi kekal sebagai anggota band Search. Ya, Nasir masih lagi anggota rasmi Search. Namun entah kenapa, menurut Nasir, sudah setahun dia cuba menghubungi Nordin (gitaris) namun panggilannya tidak berjawab. Ia seolah-olah bertentangan dengan kenyataan Nordin sebelum ini yang mengatakan Nasir tidak dapat menyertai aktiviti Search buat sementara waktu kerana sibuk menumpukan perhatian terhadap perniagaan barunya. Sekali lagi, peminat tertanya-tanya, siapa yang bercakap benar? Siapa pula yang cuba berhelah?
Menurut Amy pula, brand Search sudah menjadi harta intelek yang melibatkan nama kelima-lima anggota Search iaitu Amy sendiri, bersama Nasir, Kid, Nordin dan arwah Yazit yang meninggal dunia pada tahun 2019. Maka waris keluarga arwah Yazit akan mewakili arwah untuk sebarang kepentingan yang melibatkan Search. Maka dalam hal ini, Amy, Nasir dan wakil waris arwah Yazit memulakan tuntutan ke atas Home of Champions. Mereka mengatakan, Home Of Champions telah menjalankan operasi perniagaan dengan menggunapakai nama Search tanpa bertanyakan persetujuan dari mereka bertiga terlebih dahulu. Maka perniagaan berkenaan perlu dihentikan atau berdepan dengan tindakan mahkamah. Di dalam media sosial, Amy berkali-kali menegaskan bahawa dia tidak mahu menjadi seperti arwah P. Ramlee yang sehingga saat ini tidak mendapat hak yang sepatutnya melalui hasil karya-karya beliau. Maka hak Amy dan rakan-rakannya, ia perlu dipertahankan daripada diambil kesempatan oleh pihak luar.
Pada sidang media secara maya pada 28 Mei lepas, Mozylir dan Nordin akhirnya tampil menjawab segala persoalan dan kekeliruan bersama bahan-bahan bukti ke atas semua dakwaan Amy.
Bermula dengan Konsert Apologia yang dirancang untuk menggandingkan Search dan Awie selepas pengunduran Amy, Home of Champions telah dijemput oleh Nasir sendiri untuk terlibat sama dengan penjualan t-shirt konsert berkenaan. Disebabkan konsert Apologia tertangguh kerana PKP, lambakan stok t-shirt yang lebih kurang sebanyak 1000 unit terpaksa dijual secara online.
Home of Champion turut mengambil inisiatif mencetak 100 unit CD Apologia Jamming Edition daripada Fenomena Music dan menjual secara kombo (tshirt, CD, Sticker, dan poster). Ini adalah usaha untuk menampung kembali pendapatan mereka di sepanjang PKP berlangsung. Dan semua itu ditegaskan, sudah dimaklumkan kepada Nasir. Jadi kenapa hari ini, Nasir mempertikaikan tindakan Home of Champions? Dan sejak penglibatan Home of Champions, Amy sudah tidak bersama dengan Search lagi. Jadi kenapa Amy yang paling lantang mempersoalkan setiap penglibatan Home of Champions?
Mozylir juga mendakwa beberapa perancangan perniagaan sudah disiapkan atas nama usaha sama antara Home of Champions dan juga Search. Mereka telah menyiapkan kertas cadangan yang dinamakan Search Blueprint 2021-2022. Antara rancangan mereka adalah Rokumentary Search dan Branding Partnership dengan jenama-jenama antarabangsa seperti produk dan aksesori rasmi Search. Malah Mozylir mengatakan pernah beberapa kali cuba menghubungi Amy untuk membincangkan perkara tersebut tetapi gagal. Begitu juga dengan Nordin, segala usaha untuk menghubungi Amy tidak mendapat respon. Nordin masih menghormati persahabatan dengan Amy yang telah terjalin selama 40 tahun, kerana itu dia tetap masih mahu Amy turut terlibat sama.
Maka projek tersebut terus dilaksanakan meskipun tanpa penglibatan Amy. Nasir pula akan cuba menyampaikan segala info sekiranya dia berjaya menemui Amy dan waris arwah keluarga Yazit. Bagaimanapun, siapa sangka, Nasir dan Amy kemudiannya mula menyerang pihak Home of Champions dan kedua rakan band mereka, Nordin dan Kid.
Imbas kembali, tahun 2015 dahulu Search juga kecoh dengan isu perselisihan faham antara anggota-anggota band Search dengan drummer mereka, arwah Yazit sehinggakan arwah merajuk hati lalu menubuhkan band projeknya sendiri yang bernama Rampage.
Apa pun kesudahan pertelingkahan ini, kita sebagai peminat mengharapkan perdamaian kepada kesemua mereka yang terlibat. Search adalah band paling besar di Malaysia sepanjang zaman, memiliki ribuan dan mungkin jutaan peminat sepanjang karier mereka dalam industri. Scene muzik rock sangat terhutang budi kepada mereka. Tanpa Search mungkin dunia rock n roll di Malaysia tidak seperti yang kita kenali hari ini. Semoga mereka mendapat kata putus untuk meluruskan kembali kekusutan mereka hari ini.