
Duo Mazlinna (kiri) dan Rafiz (kanan) yang membentuk Satwo.
Sejak kali pertama diperkenalkan dengan muzik Satwo pada bulan Ogos 2020 menerusi single pertama mereka, Untok Kita (Hanya Kita), penulis terus jatuh cinta pandang pertama dengan duo Rafiz dan Mazlinna ini.
Bagi seorang peminat bunyi-bunyi suam (warm) analog era 60an dan 70an, Satwo hadir mengisi ruang-ruang yang telah lama penulis impikan daripada band-band tempatan. Formasi ini bukan sahaja benar faham tentang muzik dan sound mereka, tetapi turut hadir dengan pakej misterius, gloomy dan harmoni suara yang benar-benar menyentap sanubari.
Ulasan single pertama Satwo: ROMANTIKA JEMBALANG DALAM VIDEO MUZIK PERDANA SATWO, “UNTOK KITA (HANYA KITA)”
Kemudian bila single kedua mereka, Gelap hadir pada bulan Jun 2021, penulis terus menepuk meja. “Nah, band ni memang genius!”
Satwo bukan sahaja mempunyai daya kreativiti yang tinggi melalui eksperimentasi tatacara penulisan lagu, susunan lagu dan lirik, tetapi dalam banyak lapisan instrumentasi berkiblatkan muzik barat, mereka kekal dengan identiti nusantara yang tunduk ke bumi, ikhlas dan tiada kepalsuan. Gelap menjadi manifestasi bahawa lagu bernuansa pop juga boleh jadi begitu gelap, menggigit jiwa dan misterius. Ini adalah sesuatu yang unik dalam tawaran ratusan lagu-lagu baharu tempatan.
Ulasan single kedua Satwo: Satwo Teruskan Magis Dalam Single Kedua – Gelap
Bagi meraikan magis yang dicipta oleh duo berbakat ini, penulis mendapatkan mereka untuk satu sesi temubual yang membicarakan pelbagai topik termasuk penulisan lagu, evolusi muzik folk dan pengisian album perdana mereka yang bakal tiba tidak lama lagi. Baca di bawah.

Rafiz (kiri) dan Mazlinna (kanan).
MAMY: Dua rilisan Satwo setakat ini, Untok Kita (Hanya Kita) dan Gelap membuka mata dan telinga pendengar tempatan ke satu daerah yang jarang diteroka, bagai sebuah magis yang telah lama hilang dan kini baru ditemui. Paduan suara dan lapisan dalam muzik kalian bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi sangat berhantu. Bagaimana proses kalian menulis lagu dan membayangkan hasil akhir sesebuah naskah tersebut?
SATWO: Ketika kami dalam proses menulis dan menyiapkan sesebuah lagu kami tidak menetapkan sesebuah naskah lagu terus siap, kami akan biar lagu tersebut berkembang dari masa ke masa. Magisnya akan hadir ketika sesi rakaman.
MAMY: Album penuh Satwo pada awalnya dijangka dilancarkan pada tahun 2021, namun saya difahamkan hanya akan diterbitkan pada tahun ini. Apa yang berlaku dalam tempoh masa tersebut?
SATWO: Beberapa perkara menjadi faktor dalam pembikinan album Satwo. Dengan melalui fasa dua PKP dan momentum yang sedikit lari, apa kami boleh jawab mungkin jampi serapah ketika itu belum cukup padu.
MAMY: Pink Floyd, Radiohead, Simon & Garfunkel, The Beatles, Coldplay dan banyak lagi menjadi kiblat muzik kalian namun hasil akhirnya masih kedengaran ‘nusantara.’ Bagaimana infusi muzik barat dengan identiti lokal ini mampu dikekalkan, bukan sahaja kepada kalian tetapi juga buat pemuzik generasi baharu yang lain?
SATWO: Pada dasarnya kami mendengar pelbagai jenis muzik tidak hanya muzik daripada band-band barat. Suntikan muzik rantau ini juga kuat dalam jiwa kami. Tak kisah apa jenis muzik yang kami dengar dan suka, yang penting teras muzik itu kena kuat.
MAMY: Kalian mengkategorikan muzik Satwo sebagai folk rock/psychedelic pop. Apakah pemahaman kalian terhadap karakter dan falsafah di sebalik subgenre ini?
SATWO: Kami tak meletakkan folk/psychedelic sebagai muzik utama kami walaupun ada unsur di dalam beberapa lagu kami, kami juga mengetengahkan unsur muzik lain seperti bossa nova, dan progresif contohnya. Sedikit sebanyak kami cuba untuk memahami kehendak dan falsafah di sebalik kedua-dua genre ini.
MAMY: Gelombang muzik folk tidak kira dalam apa subgenre sekalipun sedang bermaharajalela di Indonesia dan kini perlahan mula menyusup di Malaysia. Pada pendapat kalian, apa punca ledakan ini berlaku dan adakah ia relevan dengan selera anak muda di sini?
SATWO: Pada masa sekarang kami rasa muzik folk ada tempat di hati pendengar tempatan dan luar negara. Kami kurang pasti ianya sebuah ledakan atau apa, cuma kami sedar bahawa gelombangnya masuk secara perlahan dan terus mengalir ke depan. Budak-budak sekarang lebih senang terima benda-benda deep ni, mereka suka healing jadi sedikit sebanyak mereka membantu muzik folk berkembang pesat.
MAMY: Gerakan awal muzik folk di Amerika dikenali kerana membawa suara rakyat dan protes kepada ketidakadilan sosial menerusi ikon-ikon seperti Bob Dylan, Pete Seeger, Leonard Cohen dan banyak lagi. Subgenre ini berkembang laju dan sehingga kini, lagu-lagu folk majoritinya dilatari lirik bertemakan cinta dan amat kurang yang masih membawa zeitgeist era protes di era gemilangnya. Adakah ia natural ataupun sebenarnya sebuah testamen terhadap sifat manusia yang semakin selesa dan kurang memberontak?
SATWO: Sebenarnya masih ramai yang menulis lagu folk dengan lirik protes. Cuma kita dihidangkan dengan folk yang romantis. Ada juga penyanyi-penyayi pop menyanyikan lagu protes dengan mengambil semangat penyanyi folk. Folk itu sudahpun evolve sehingga boleh didapati dalam muzik-muzik lain.
MAMY: Apakah pendapat kalian terhadap gerakan muzik bebas di Malaysia sekarang? Adakah sudap cukup bagus dari segi ekosistem dan pemahaman pendengar terhadap attitude, genre dan sebagainya ataupun masih banyak yang perlu diperbaiki?
SATWO: Gerakan muzik bebas di Malaysia kian berkembang pesat. Kita dapat kesan melaui rilisan-rilisan daripada band-band baharu yang muncul. Pada kami banyak band yang bagus, cuma mereka belum diberi peluang untuk lebih maju. Masih banyak yang perlu diperbaiki bukan saja pada band malah pada pemain-pemain scene juga. Pendengar kita sudah tiada masalah dalam mendengar muzik, pemahaman generasi sekarang lebih luas.
MAMY: Kongsikan sedikit perincian tentang album sulung kalian yang akan keluar tidak lama lagi serta harapan terhadap pendengar.
SATWO: Album kami ini berjudul Dipersembunyian, dirakamkan di studio Ronggeng, Luncai Emas. 10 lagu secara total termasuk tiga single sebelum ini Untok kita (Hanya Kita), Gelap dan Cahaya Malam. Rakaman juga melibatkan beberapa orang sessionist bersama penerbit kami saudara Ilham (Pitahati).
Harapan kami semoga album ini mendapat tempat di hati pendengar dan peminat yang sudah lama tunggu terbitnya album ini. Apa-apapun kami berserah pada yang di atas sana. Terima kasih kerana sudi menemubual kami.
Satwo bakal melancarkan single ketiga mereka, Cahaya Malam esok dan peminat muzik lokal sekali lagi bakal terpukau dengan magis duo dari Kuantan, Pahang ini.
Album perdana mereka, Dipersembunyian bakal menjengah pasaran pada bulan Oktober 2023 dan sudah pastinya bakal tersenarai sebagai salah satu album terbaik tahun 2023 pilihan penulis. Ini barang bukan sebarang. Sama-sama kita nantikan.