Search Megah Membakar Salju!

oleh Khaliq G
861 bacaan

Kredit: MIC Entertainment

Penulis: Khaliq G


Kira-kira 4,000 penonton menjadi saksi kehebatan legenda rock tanah air, Search menghangatkan suasana di Arena of Stars, Genting Highland pada malam 12 Ogos 2023. Konsert Fantasia Bulan Salju membuktikan tiada apa yang mampu menghentikan peminat kumpulan rock nombor satu tanah air ini daripada hadir memberikan sokongan, walaupun negara sedang sibuk dengan Pilihanraya Negeri (PRN) di enam buah negeri. Rockers tetap rockers, walau apa halangan yang datang, konsert tetap harus diteruskan!

Panggung dibuka tepat jam 8.45 malam, ketika penonton sudah tidak sabar-sabar untuk menantikan apa yang akan kumpulan Search sajikan kepada mereka pada konsert kali ini. Bencana menjadi lagu pemanas acara, memberi petanda awal bahawa konsert ini tidak mungkin akan mengecewakan peminat mereka. Kemunculan Amy di pentas menerima sorakan padu daripada peminat setia mereka. Amy tetap Amy, persona beliau sebagai rockstar tak pernah pudar dan langsung tidak dimamah usia.

Kredit: MIC Entertainment

Die hard fans Search tentu sekali tiada masalah untuk singalong dengan deretan lagu dari koleksi album di awal kemunculan mereka. Derap Komando, Langit dan Bumi, Menawan Rasa, Gelora Cinta dan Honky Tong Kosong – kesemuanya disajikan tanpa henti. Peminat yang hadir, rata-ratanya penonton dewasa, seakan dibuai perasaan dan terasa seperti kembali ke zaman muda. Namun, usia bukan penghalang untuk penonton bersorak dan juga headbanging sepanjang konsert berjalan.

Momentum konsert menjadi lebih panas apabila Search memainkan lagu Fantasia Bulan Madu. Satu Arena of Stars bersorak sakan, dan yang hadir dengan pasangan romantis berpegangan tangan dan ada juga yang berpelukan sambil menyanyi beramai-ramai. Penulis yang masih lagi single ni terpaksa memandang sajalah dari jauh dengan penuh rasa cemburu. Heh. Seperti tajuk konsert ini, Fantasia Bulan Salju, gimik salji turun dan menghujani lokasi konsert, menambahkan feel penonton. Masing-masing cukup larut dalam muzik.

Kredit: MIC Entertainment

Search bijak menyusun lagu dan menghidangkan apa yang fans mahukan. Rozana, Laila Namamu Teratas, Nigina, Tiada Lagi, Seteleh Hujan, Meniti Titian Usang, Gadisku, Kejora – semuanya disambut dengan sorakan kuat peminat. Satu dewan menyanyi beramai-ramai, membuatkan suasana bertambah gamat. Amy macam biasa, cukup bijak berhubung dengan penonton. Ketika chorus part, Amy sengaja mendiamkan diri sambil mendepakan tangan, membiarkan penonton pula yang menguasai lagu ketika itu.

Selepas 16 buah lagi dimainkan tanpa henti, non-stop, baru konsert berehat sebentar kira-kira 10 minit. Oh Tuhan, dari mana datangnya tenaga mereka! Amy bukan muda, tahun ini beliau berusia 65 tahun! Dan anggota lain juga semuanya berusia 60-an (kecuali Arthur Kam), namun tenaga dan kudrat di atas pentas, tidak langsung selari dengan usia. Benarlah orang cakap, age is just a number. Sebenarnya, tidak ada batasan dalam hidup ini, selagi mana kita ikhlas dan lakukan benda yang kita cintai. Kumpulan Search menjadi bukti!

Kita harus memaafkan Amy ketika dia ada sedikit terkucil lagi-lagi di lagu Tiada Lagi, dia juga manusia biasa, dan itu adalah lagu ke-13 dalam konsert yang dinyanyikan tanpa henti. We can’t expect too much perfection. Lagipun, itu sekadar kucilan yang cukup sedikit, kalau hendak dibandingkan kehebatannya dalam lagu-lagu yang lain!

Kredit: MIC Entertainment

Kembali dari segmen Interlude, Search menyajikan persembahan yang lebih keras dan ganas. Tidak mahu membuang masa dan membuat penonton tertunggu-tunggu, Amy dan bala tenteranya terus membuatkan penonton tak senang duduk, dan yang berdiri, tak boleh diam. Dimulakan dengan lagu Embun, disusuli dengan Diari Habil & Qabil, Ying & Yang, dan Gothic Malam Edan – penonton hanyut dan larut sekali lagi dalam muzik. Gorengan gitar dan bass yang memukau dari Nasir, Hillary, Man Kidal, bersatu dengan pukulan dram daripada ahli terbaharu dan paling muda dalam kumpulan ini, si gadis berusia 17 tahun bernama Naimi Daini, dan tentu sekali lontaran vokal Amy, ternyata cukup jahat dan kejam. Arthur Kam ibarat passing baton (atau passing drum sticks?) kepada Naimi untuk menyambung perjuangan mereka pada malam itu. Dan jangan dilupakan kehebatan Rie Tsuji – pianist jelita dari kota Jepun. Masing-masing mengeluarkan taring dan bisa!

Tiada ruang untuk mereka berehat, semuanya seperti tidak mahu kalah di atas panggung. Lighting pada slot ini cukup membantu mood konsert, ditambah dengan sound system bertaraf antarabangsa Arena of Stars.

Cakap Memang Murah, Fenomena, Paranoid, Isi Atau Kulit, Pelesit Kota, dan Pawana – meneruskan kehangatan Search di puncak kota Genting. Peminat bersorak mahukan lagi dari Search selepas Pawana tamat dimainkan, kerana untuk fans mereka, 27 lagu dalam satu konsert, masih tidak cukup. Mereka tetap mahu lagi. Gila!

Tidak mahu menghampakan peminat, kesemua pemuzik tampil ke pentas sebelum tirai panggung dilabuhkan, dan Search sekali lagi menyanyikan Fantasia Bulan Madu. Salju yang bertaburan, sekali lagi tidak sempat mencecah ke bumi, terbakar dengan kepanasan aura khazanah negara yang satu ini – kumpulan Search! Peminat semestinya pulang ke rumah dengan perasaan puas hati dan bahagia.

Search tetap Search, kemas berada di atas takhta tanpa mampu digugat dan diganti sesiapa.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅