Penulis : ZAINLRR
Foto : FIKRI AMIN
Tahun 2010 merupakan kali terakhir penulis menonton persembahan kumpulan legenda ini beraksi bersama Wings dan Ella dalam Konsert Red On Black Double Trouble yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang. Kini, selepas 13 tahun berlalu, Search kembali ke bumi Kuantan demi merealisasikan siri jelajah ‘ Rock ‘N’ Roll Pie Kuantanamo’ mereka.
Walaupun penulis telah dicap dengan watak antagonis sebagai ‘Pengutuk Search Paling Lancang Di Kuantan’, saya tetap tak lepaskan peluang untuk hadir seawal jam 6.30 petang untuk merasai suasana sambutan peminat di Kuantan untuk kumpulan teragung dalam arena rock tanah air ini. Namun Stadium SUKPA hanya mula dibanjiri penonton bermula jam 7.30 malam walaupun venue ini mempunyai fasiliti surau yang selesa dan sangat berdekatan dengan Masjid Besar UIA Kuantan yang hanya sepelaung jauhnya.
Satu sosok yang tidak asing bagi peminat muzik rock berdiri di atas pentas ketika lampu dinyalakan. DJ Ismahalil Hamzah memulakan penguasaan pentas dengan upacara cabutan bertuah bagi pembeli tiket dengan hadiah utamanya dua buah gitar yang ditandatangani oleh Search.
Penonton mula bersorak apabila intro Pelesit Kota dimainkan sebagai ritual buka panggung. Tiga lagu pembuka benar-benar menguji vokal Denden sama ada ia dapat diterima oleh warga Pantai Timur pada kali ini dengan membawakan lagu Bencana dan Mentari Merah Di Ufuk Timur selepas itu. Ternyata Denden telah mendapat restu besar oleh peminat Search malah nampaknya Denden kini lebih selesa membuat persembahan dengan ahli kumpulan yang lebih senior daripada beliau berbanding di awal persembahan mereka dahulu. Denden Nampak lebih nakal di Kuantanamo!
Aksi dua gitaris bersaudara yang saling melengkapi dalam kumpulan ini usah penulis hendak pertikaikan lagi. Malah, bagi peminat Search jika perihal bunyi asli Search, cop mohornya adalah dari petikan Kid dan Din. Nampak seperti terlalu ‘overclaim’ tapi kalau itu yang dikatakan oleh majoriti, penulis sudah tiada daya hendak mempertikaikannya umpama seekor gajah melawan 100 ekor serigala pasti akan tumbang. Apatah lagi dengan kehadiran Yantoi sebagai bassist mereka dalam kumpulan ini melengkapkan bunyian yang terhasil. Yan ada personanya tersendiri sebagai pemain bass untuk kumpulan Search. Hypernya di pentas tidak sedondon dengan usia… Yantoi sentiasa muda dan bertenaga bila bass melekat di badannya. Minn walaupun anggota yang paling muda, beliau tetap dapat mengikut arus notasi-notasi bunyian Search dengan ketukan bertenaganya. Malah dengan kehadiran Daus sebagai pemain keyboard melengkapkan lagi persembahan. Into Pembakar Perasaan berjaya menarik pendengar ke era album Mentari Merah di Ufuk Timur.
Pujaan tinggi buat Rahmad Kamikaze sebagai sound engineer dan krew bertugas kerana berjaya memberikan kualiti bunyi yang baik di SUKPA kerana kami warga Kuantanamo sudah sedia maklum betapa hiruk-pikuknya kesan feedback di dalam stadium yang dibina untuk tujuan bersukan ini. Level Gandalf punya sound engineer! Malahan penataan cahaya sejajar dengan bunyian, berjaya membangkitkan tenaga kepada penonton.
Cuma kehadiran penonton yang lebih memilih tempat duduk berbanding berdiri untuk menikmati konsert ini agak sedikit memberi kesan terhadap vibe konsert. Kita semua faham rata-rata peminat Search majoritinya agak berusia malah ada yang hadir bersama keluarga. Mereka rasa lebih selamat berada di tempat duduk berbanding di kawasan berdiri yang penontonnya tidaklah agresif sangat… bukan ada moshpit pun dalam konsert Search!
Namun penulis sangat hormat pada seorang peminat yang hadir di kawasan berdiri. Beliau yang bertongkat dua sangat insist berdiri sepanjang persembahan dengan bantuan tongkatnya. Inilah semangat rock sebenar, mencabar diri sendiri tanpa basa-basi atau kompromi. Usia bukan alasan untuk menyerap jiwa yang dihamburkan oleh lirik indah dengan bunyian yang penuh distorsi. Sayangnya rata-rata penonton terlihat sedikit ralat kerana konsert ini tamat tanpa encore paling tidak satu lagu pun jadilah. Search Rock ‘N’ Roll Pie Kuantanamo benar-benar menguji energi ‘Rockers’ di Pantai Timur!
*Penulis merupakan seorang kutu berahak yang sering dianggap suka mencerca Search padahal mereka semua cemburukan penulis ada baju Rampage original… apa barang pakai bootleg!