Bermula secara solo dengan nama INSECURE semasa zaman darurat moden sekitar tahun 2020, sebuah projek yang dipelopori oleh figura yang bernama Ku Azri telah mengevolusikan projek kendirinya kepada sebuah kugiran iaitu Aktadiri.
Mempertaruhkan muzik bergenre alternative shoegaze, pendengar akan disajikan dengan paduan muzik yang membawa ke awangan. Kumpulan yang terdiri daripada sang penciptanya, Ku Azri (vokalis, gitar), Izzat (bass), Al Fayyed (dram), dan Hilman (gitar utama) ini telah menghasilkan beberapa material yang berkualiti pada tahun-tahun sebelumnya dan mereka tidak memperlahankan perjalanan muzikal mereka seperi perlahannya wabak pandemik gila, malah mengorak langkah menghasilkan lagi karya-karya bermutu untuk EP mereka yang akan penulis kupas sebentar lagi. Sebelum itu mari sama-sama kita layan self-titled EP mereka yang telah diterbitkan pada tahun 2022.
Sekitar awal Januari yang lepas, EP kedua Aktadiri, “Imaginasi” telahpun diluncurkan dengan rasminya di semua platform pengstriman. Kumpulan yang berpangkalan dir Rawang, Selangor ini memuatkan lima lagu dengan purata durasinya adalah sekitar tiga ke empat minit dan lagu-lagu ini dicipta, ditulis lirik, disusun dan diterbitkan sendiri oleh Ku Azri. Penulis sempat menjalankan sesi soal jawab bersama beliau untuk mengetahui lebih lanjut mengenai mini album ini.
Penulis : Tahniah sebab dah release EP kedua awal tahun ni. Boleh saya tahu berapa masa yang diambil untuk hasilkan EP kedua kalian?
Thank you bro. EP kedua ni ambil masa untuk composed, record, mix n master (secara DIY) dalam 2 tahun (2021 – 2023). Actually ada lagu-lagu yang dah lama ditulis sebenarnya, tapi dalam tahun 2021 saya mula balik arrange macam mana yang bro dah dengar dalam EP kedua tu.
Penulis : Macam mana anda pastikan that every music produced dalam EP ini berada dalam kualitinya yang tersendiri?
Untuk make sure quality dalam EP kedua sebenarnya saya agak banyak kali try n error dari segi tone bunyi, mix & master. Jadilah kualiti bunyi yang ada sekarang ni, harap-harap memuaskan hahaha.
Penulis : IMO bunyinya memanggil dan mengimbau nostalgia. EP baru ni lebih bright and positive compared to previous EP (which is also good) dan boleh ‘nampak’ perubahan tu. Any specific reason why ke arah itu?
Dari vision yang saya nampak, EP kedua ni bersambung perjalanan wataknya dari yang pertama untuk move on ke arah yang lebih positif tapi sebenarnya masih dalam fasa depresi. So watak untuk EP kedua ni dia bermain dengan imaginasi dia untuk dia terus survive dari masalahnya.
Kita lanjut berbicara tentang buah tangan baharu Aktadiri. Bagi penulis ia sebuah pertaruhan yang berani dalam zaman muzik yang serba eklektik. Komposisi lagu yang sarat dengan distortion dan efek yang memanggil dan mengimbau selaras dengan perjuangan mereka berkarya dalam genre alternative shoegaze yang senang mendapat tempat di hati pendengar. Tambahan pula mereka turut menyuntik elemen nostalgia 90’an ke dalam komposisi mereka yang menjadi permis untuk menyokong penyataan penulis di atas.
Pembukaan ringkas trek pertama, Cuaca yang telah dijadikan single keluaran tahun lepas memberikan satu penanda aras kepada kualiti muzik yang dihasilkan komposer kugiran ini sendiri. Walaupun DIY, bukan menjadi asbab untuk tidak menjaga kualiti komposisi muzik yang ditawarkan.
Setelah diteliti dan didengari, Kabus (trek dua) dan Selamatkan Diri (trek lima) menjadi pilihan peribadi penulis. Kedua-dua lagu ini unik dalam liga mereka yang tersendiri dan mempunyai kekuatan yang jelas. Kabus istimewa dalam pembinaan dinamik riff gitar dan bass dan dikawal selia oleh bunyi dram yang membina momentum dan mood lagu. Susunan vokalnya kena dengan genre yang dibawa kumpulan ini.
Selamatkan Diri pula mempunyai kekuatan susunan muzik yang disokong dengan efek khas suara latar yang terhasil daripada suara google translate yang selalu digunakan oleh ramai orang dasawarsa ini. Kata Ku Azri, ‘bebelan’ wanita AI intiaptinya tidak di ambil dari mana-mana dialog atau artikel, hanya nukilan sendiri. Keistimewaan lagu ini diperkuat dengan penulisan lirik yang membina walapun komposisi lagunya kedengaran depressing (in a good way).
Kekurangan EP ini bagi penulis adalah vokal. Ada beberapa lagu yang pada penulis meskipun kena dengan tema Shoegaze / dream pop yang kaya dengan reverb dan efek yang membawa ke awangan tetapi kejelasan vokal itu sedikit kurang memuaskan. Seperti mendengar lagu yang tenang tetapi harus fokus untuk mendengar intipatinya.
Secara amnya, Imaginasi mampu menempatkan ‘diri mereka’ dalam playlist pilihan pendengar untuk tahun 2024. Karya yang matang dan bervisi. Ku Azri di akhir soal jawab juga mengharapkan agar pendengar terhibur dengan perjalanan muzik yang diterbikan pada tahun ini.
Anda juga boleh dapatkan EP fizikal mereka dengan merujuk posting instagram mereka di bawah:
Selamat maju jaya buat Aktadiri. Jangan berhenti berseni dalam ruang muzik!
Ikuti mereka di :