Oleh : Khaliq G
Malam minggu 26 November yang lalu, Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sekali lagi menjadi saksi kehebatan legenda seni tanah air, Datuk Jamal Abdillah dalam menghiburkan kira-kira 1,800 peminatnya pada konsert Jamal Abdillah Live In Concert.
Tepat jam 8.45 malam, konsert dimulakan dengan Kenangan Tak Bisa Dilenyapkan sebagai lagu pembuka pentas. Sorakan penonton bergema kuat ketika sosok penyanyi pujaan mereka tampil di pentas, menandakan konsert ini cukup ditunggu-tunggu oleh peminat setia beliau. Tiada mukadimah yang panjang berjela, Datuk Jamal meneruskan persembahan dengan lagu Kau Lupa Janji. Kali ini, penonton semakin tidak senang duduk, masing-masing mula bernyanyi bersama.
44 tahun unggul di arena seni tanah air, ternyata menjadi satu kelebihan buat beliau. Datuk Jamal cukup tahu apa yang peminat mahukan – persembahan hebat dari deretan puluhan lagu popular, lalu beliau sajikan pada malam tersebut.
Kehangatan diteruskan dengan segmen medley pula. Medley pertama, merupakan kombinasi lagu Kabus Di Wajahmu, Senandung Kasih dan Kerlingan, manakala medley kedua menghimpunkan dua buah lagu iaitu Berdendang Dalam Tangisan dan Cendrawasih.
Menjadi figura besar yang cukup dihormati dan dipandang tinggi oleh para karyawan, tidak menjadi halangan buat Datuk Jamal berkolaborasi dengan bakat-bakat baharu. Malam itu, Wany Hasrita dijemput untuk menghiburkan para penonton menerusi duet malar segar Kehebatan Cinta dan juga Canggung. Jamal kembali ke pentas menerusi lagu Aku Maafkan Kamu bersama Faroq (rapper). Cuma sayang sedikit kerana pada lagu tersebut, Datuk Jamal beberapa kali lupa lirik dan salah masuk pula. Tapi biasalah, persembahan live, mana boleh kita lari daripada sedikit khilaf.
Malam bertambah meriah apabila dua anak bujang Datuk Jamal – Yamani Abdillah dan Zaki Yamani tampil ke atas pentas menyertai bapa mereka. Gadis Melayu dan Aku Penghibur dipersembahkan secara trio oleh anak-beranak ini. Ke mana lagi darah seni itu hendak mengalir kalau bukan pada anak-anak, bukan? Siapa saja boleh menafikan bakat Yamani dan Zaki, walaupun mereka tetap akan dibayangi dengan stigma masyarakat yang selalu membandingkan suara mereka hampir sama dengan sang bapa.
Yamani Abdillah membuktikan dia juga mampu berdiri di atas kapasiti bakat yang dimiliki menerusi persembahan Gerhana dan Bunga Seroja. Tidak hadir kosong, beliau tampil bersama gitar di atas panggung ketika bernyanyi. Datuk Jamal kembali ke pentas lalu meneruskan persembahan bersama Yamani menerusi dua buah persembahan duet – Perjalanan dan Terharu.
Ternyata hadirin masih belum merasa puas. Masih banyak lagu favourite mereka belum didendangkan oleh juara Bintang RTM 1979 itu. Mana mungkin penonton dibenarkan pulang dengan kehampaan bukan? Maka persembahan diteruskan lagi dengan lagu Ghazal Asmara, Ghazal Untuk Rabiah, dan Samrah Mentari. Turut didendangkan ialah pop hits seperti Di Sudut Kamar Hatiku dan Kekasih Awal Dan Akhir.
Masing-masing kelihatan cukup larut dalam nyanyian Raja Pop kita itu. Di hadapan kerusi penulis terlihat sepasang suami dan isteri yang romantis bukan main menikmati konsert tersebut – berpegangan tangan sepanjang konsert dan ada masa si isteri manja melentokkan kepala di bahu suami. Macam biasa, scene ini sengaja mereka lakukan untuk membuat orang single macam penulis berasa cemburu.
Legenda berusia 64 tahun ini menutup tirai malam itu dengan Seniman Menangis. Emosi, dinamik, penghayatan yang Datuk Jamal berikan menjadi penutup manis pada malam gilang gemilang tersebut. Satu dewan ternyata terkesima dengan kehebatan beliau. Walaupun telah melepasi usia enam dekad, bisa dan tenaga Datuk Jamal seperti tidak berubah. Artis-artis muda perlu menjadikan beliau sebagai rujukan, bagaimana mahu kekal lama dan sentiasa relevan dalam entertainment business.
Ramai menjerit mahukan lebih persembahan, tapi begitulah adat dunia, semua persembahan ada penghujungnya. Konsert melabuhkan tirai tepat jam 11.00 malam, dan para peminat setia Datuk Jamal Abdillah kelihatan pulang dengan rasa gembira.
Secara keseluruhan, penulis cukup merasa puas dengan persembahan kira-kira dua jam itu. Kesederhanaan pentas yang tidak sarat tapi cukup membantu menambah mood, terutamanya dari segi permainan cahaya. Susunan muzik cukup grande di bawah pimpinan music director, Shahwal Hussing dan diiringi 18 orang pemuzik handalan cukup membantu persembahan Datuk Jamal Abdillah. Namun, audio pada malam tersebut yang kadang-kadang ada gangguan, membuatkan penulis merasa ralat berlaku pada konsert besar seperti ini, dan diadakan pula di lokasi berprestij seperti ini.
Persembahan pada malam itu turut menerima perkenan dari Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang hadir mencemar duli.