Sebuah entiti projek bergelar BER_ baru sahaja meluncur naskah world music yang sangat segar dan mencengkam berjudul Senja Temu Lelah, menampilkan Leaism pada 17 Julai 2021 lepas dan ia adalah sesuatu yang amat kita perlu di kala ini, bukan sahaja dari segi isi lagunya, malah hala tuju muzikalnya yang memberi dimensi dan variasi baharu ke dalam gelanggang seni Malaysia yang semakin tepu dengan produk-produk separuh masak yang berbunyi seakan-akan sama.
BER_ dibarisi tiga jejaka; Ruvi, Izhar dan Afif. Kesemuanya punyai latar belakang dan kekuatan berbeza, namun apabila disatukan menjadi kolektif, penulis dapat rasakan mereka punyai masa hadapan cerah untuk membuka lembaran baharu (atau mungkin menyambung legasi yang ditinggalkan oleh Roslan Aziz Productions?). Senja Temu Lelah adalah sebuah lagu yang sangat ‘kaya’ dengan bunyi-bunyian dan disusun dengan amat cantik dan dinamik dari awal sehingga ke penamat. Kehadiran Lea pula menyumbang kekuatan vokal dan lirik yang amat bermakna. Tak boleh bayangkan suara lain yang lebih ‘ngam’ berbanding ini. Sebuah kolaborasi yang amat manis dan menjadi! Menurut mereka:
Senja Temu Lelah menceritakan tentang kita yang berjuang seharian. Dan akhirnya bila tiba senja, pulang ke zon selamat kita. Zon selamat mungkin bukan rumah kita sendiri. Mungkin keluarga, anak, kucing, lagu, kopi dan biskut kering. Walau sepenat mana, bila tiba ke zon selamat, kita kuat semula, dan lebih menghargai apa yang kita ada.
Penulis harap BER_ bukan hanya sebuah band projek yang akan pudar tiba-tiba. Industri ini perlukan pemuzik-pemuzik dengan idea dan visi kreatif seperti kalian dan harapnya naskah selepas ini akan lebih hebat lagi!
Diterbitkan oleh Radiycal Production dan mendapat sentuhan Anwar dari Hazardgeek Records, Senja Temu Lelah kini boleh dinikmati di semua platform-platform strim digital. Oh ya, animasi untuk video lirik rasmi di YouTube dihasilkan oleh Zuliana Eusoff.
Ikuti mereka di Spotify: