Setelah Pelbagai Versi, Akhirnya Monoloque Lepaskan Versi Rasmi ‘Mengapa Dikenang Mengapa Difikir’

oleh Muhammad Ridhwan Bin Sa'aya
642 bacaan

Setelah lebih satu dekad bernada dan bereksperimen dengan muzik, monoloQue lahir semula dengan “Bunyi Baru.” Tindak balas kimia petikan gitar utama oleh LoQue yang dipanggil “unsur baru,” dibantu Harry ‘Misteri’ serta penggunaan kembali unsur gendang/rentak yang dihidupkan oleh “orang lama” Loko (yang bersama LoQue sejak Butterfingers juga awal era MonoloQue) telah merombak semula secara menyeluruh, memecah ruyung bunyi MonoloQue, untuk menyusuri era baru landskap bunyi bunyian kini, dan masa depan.

Baru-baru ini, formasi ini melepaskan satu lagu saduran (nyanyian semula) bertajuk Mengapa Dikenang Mengapa Difikir (MDMD). Lagu ini merupakan penghormatan tertinggi mereka untuk penyanyi asal Pak Herman Tino dan sang komposer kreatifnya Pak S. Atan.

Proses untuk bikin semula lagu Mengapa Dikenang Mengapa Difikir ini sudah bermula sekitar akhir tahun 2018 lagi. Akhirnya, setelah lama diperam, versi akhirnya siap “digaul” dan telah dikeluarkan pada hari Jumaat tanggal 4 Ogos 2023 di semua Platform Penstriman Digital (DSP) seperti Spotify, Apple Music dan Deezer.

“Mengapalah dikenang, mengapalah difikir, jangan membuang waktu, oleh kenangan lalu. Biarkanlah ia pergi..” kata-kata perangsang bijak dari abang Legenda Nusantara, Herman Tino.

Untuk pengetahuan, Herman Tino adalah seniman yang mempunyai pola pemikiran yang amat berbeza. Dari awal penglibatan beliau dalam bidang seni, Pak Herman Tino telah memilih untuk mengetengahkan identiti Nusantara dalam semua karyanya. Walaupun pada waktu itu, sekitar tahun 1980 an, muzik lebih berpaksikan glam pop. Selain daripada berkarya melawan arus, Pak Herman juga pernah melakukan beberapa aksi tunjuk perasaan. Yang pertama adalah apabila beliau berjalan kaki dari Kuala Lumpur ke Ipoh, Perak pada tahun 1989. Sehingga kini, tujuan Pak Herman melakukan perkara tersebut masih manjadi rahsia. Cukup memberi inspirasi!

Rakaman dan gubahan semula kali pertama Mengapa Dikenang Mengapa Difikir oleh LoQue adalah di Makmal Kampung Batu pada tahun 2020. Seterusnya turut ada dilepaskan rakaman semula Versi live show dan Versi Sesi Bilik Bedah yang dianggap lebih ‘masak ranum.’

Kata LoQue,

“Kalau dikira, Versi Studio Sesi Bilik Bedah tersebut sudah cukup untuk jadi versi yang “sedang-sedang sempurna” dan boleh dicop sebagai interpretasi/belasungkawa MonoloQue antara semua versi. Ini kerana, sifat bunyi-bunyiannya sudah 360 darjah dengan elemen gubahan muzik yang lebih padu namun masih tetap jadikan versi asal tidak lusuh ditelan arus globalisasi zaman”

Untuk Versi Rasmi yang telah dilepaskan pada 4 Ogos 2023, mereka juga ada merancang untuk adakan “Versi Istimewa” / ‘Versi Akhir.”

 

“Untuk versi ini, sudah tentu kami berharap dapat bergandingan dengan penyanyi asal, Seniman Pak Herman Tino. Dengan harapan dapat berkarya bersama untuk memuaskan halwa telinga para pendengar semua. Cuma, kami masih tunggu ‘lampu hijau” dari Pak Herman Tino jika beliau ada kelapangan, kami berlapang dada untuk bermula.”

Seloroh LoQue berjenaka dan mengakhiri perbualan.

MonoloQue juga menyeru semua untuk jemput menonton video Mengapa Dikenang Mengapa Difikir Versi Nusafest di laman YouTube Pancasona sebagai ‘ejekan’ (teaser) singgah yang telah dilepaskan pada tanggal 1 Ogos 2023, tiga hari sebelum Versi Rasmi dilepaskan.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅