Baru-baru ini telah tersebar satu berita dari co-founder Pink Floyd, Roger Waters yang menghentam pengasas Facebook dan juga kini pemilik Instagram, Mark Zuckerberg. Dengarnya Mark telah menawarkan amaun yang maha besar untuk menggunakan lagu Another Brick In The Wall Part 2 di dalam iklan kempen Instagram yang bakal diluncurkan tak lama lagi.
Waters yang sememangnya terkenal dengan sikap lantang dan mulut lancangnya membidas tawaran tersebut dengan menyelar pengasas Facebook itu sebagai salah seorang manusia paling bodoh di dunia walaupun mempunyai kuasa/pengaruh besar. Sebelum ini Waters dengan galaknya menyuruh semua pemuzik untuk memboikot Israel, pernah mencantumkan muka Trump dengan badan babi di konsert jelajahnya, penentang kuat Brexit (beliau mempunyai kerakyatan British), membantah penangkapan pengasas WikiLeaks – Julian Assange dan banyak lagi.
Menurut Waters lagi, beliau menolak tawaran tersebut kerana ‘halatuju’ lagu tersebut bertentangan 100% dengan misi dan visi Mark dan sememangnya tidak akan berkompromi dengan jutawan tersebut. Malah beliau mengatakan bahawa berita ini sengaja dikeluarkan oleh team Facebook semata-mata ingin mengalih perhatian dunia dari kes Assange ini. Walaupun Mark mempunyai pengaruh besar dan mampu berbuat apa saja untuk mendapatkannya tetapi Waters juga mempunyai hak kata putus ke atas lagu-lagu popular hasil ciptaannya yang masih lagi memberi royalti sejak hampir 50 tahun yang lepas.
Pada pendapat penulis, Waters telah mensia-siakan peluang untuk menjadi lebih kaya dengan menolak tawaran Mark itu. Tambahan pula, lagu tersebut akan lebih popular jika dipromosikan dalam iklan itu dan secara tak langsungnya dapat memperkenalkan Pink Floyd dengan generasi Y dan Z yang kebanyakannya tidak mengenali band ini. Malah lagu ini akan menjadi trending di Tik Tok dan juga akan menambahkan pulangan masuk royalti ke dalam akaun bank beliau. Rugi betul.
Apapun penulis tabik hormat akan keputusan degil beliau untuk tidak bekerjasama dengan Mark dan konco-konconya. Terbuktilah beliau sememangnya memiliki figura seorang legenda yang layak dihormati dan dicontohi oleh pemuzik-pemuzik baru di luar sana.