PORT dengan berbesar hati ingin mengumumkan bahawa Ipoh Music Symposium kali ke-5 akan dilangsungkan pada 6 hingga 8 Oktober 2023 dengan tema “Muzik Pop Malaysia 1975–1985: Meraikan Kepelbagaian.”
Satu perkara yang cukup signifikan berhubung dengan muzik popular Malaysia sepanjang tahun 1970-an hingga 1980-an ialah wujudnya “kepelbagaian,” bukan sahaja dari sudut beraneka genre muzik yang dimainkan tetapi juga kehadiran artis yang datang dari pelbagai latar belakang etnik. Sebelum dan selepas dekad ini persada muzik popular Malaysia pada umumnya dikuasai oleh pemuzik Melayu: Pop Yeh Yeh (1965–1971) rock Melayu (bermula sekitar 1985).
Sepanjang tempoh ini, terdapat banyak kumpulan berbilang kaum, seperti Carefree, Sweet September, Revolvers, Alleycats, Kenny, Remy & Martin dan Francissca Peter & Roy Stan Maria, serta penyanyi solo bukan Melayu, seperti Andre Goh dan DJ Dave, berjaya menempa nama bersama-sama penyanyi popular Melayu seperti Sharifah Aini, Uji Rashid, Sudirman Haji Arshad dan Jamal Abdillah. Fenomena ini secara tidak langsung mencerminkan bahawa semua kaum utama di Malaysia turut sama meraikan dan merancakkan industri hiburan tanah air, khususnya dari segi mempopularkan lagu-lagu berbahasa Melayu.
Seperti pada era sebelumnya, pengaruh muzik barat masih mendominasi cita rasa sebahagian besar pemuzik dan pendengar. Genre hard rock, blues, underground, funk, R&B dan disko mula mendapat tempat pada awal dan pertengahan 1970-an, sebelum muncul punk, new wave, rap/breakdance dan metal pada hujung pertengahan 1980-an. Di samping itu, genre muzik bukan Barat, khususnya nasyid, dangdut dan irama Hindustan, juga mendapat sambutan hangat. Tatkala disko kelihatan menjadi sub-budaya penting di kawasan bandar di Pantai Barat, dikir barat pula menjadi sub-budaya yang dinamik di Pantai Timur, terutamanya di Kelantan.
Pertumbuhan ekonomi telah merancakkan sektor perkhidmatan sehingga muncul banyak hotel, kelab malam dan pub di bandar-bandar besar yang membuka ruang pekerjaan kepada pemuzik. Pengalaman bermain di ruang-ruang ini membantu meningkatkan kemahiran pemuzik dan penyanyi seperti Black Dog Bone, Blues Gang dan Sudirman Haji Arshad.
Perkembangan muzik popular Malaysia pada tempoh masa ini mungkin juga menerima tempias daripada beberapa peristiwa besar yang berlaku sebelumnya, seperti pemisahan Singapura daripada Malaysia pada 1965, rusuhan kaum pada 1969, penggubalan Rukun Negara pada 1970, dan penyusunan Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada 1971. Garis masa ini turut menyaksikan pemergian dua orang tokoh dan ikon utama muzik tanah air: P. Ramlee pada 1973 dan Saloma pada 1983.
Ipoh Music Symposium 2023 (IMS2023) dengan ini mempelawa para ilmuwan, penyelidik, pemuzik, pengamat budaya, penggiat seni dan sesiapa sahaja yang berminat untuk menulis dan membentangkan kajian, pengalaman dan pemerhatian mereka seputar tajuk “Muzik Pop Malaysia 1975–1985: Meraikan Kepelbagaian,” Penulisan dan pembentangan boleh menyentuh pelbagai aspek, dari sejarah, estetika, budaya dan agama sehinggalah sosial, politik dan ekonomi, yang merangkumi, tetapi tidak semestinya terhad kepada, tema-tema berikut:
1) Kemajmukan dan Representasi Kaum
2) Pemuzik Hotel, Kelab Malam dan Sub-budaya Disko
3) Pengaruh Muzik Pop Indonesia
4) Dakwah Islam dan Nasyid
5) Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK)
6) Pemasaran dan Komodifikasi
7) Teknologi dan Infrastruktur
8) Penciptaan Lagu dan Lirik
9) Orkestra RTM, Televisyen dan Pertandingan Bakat
10) Pendidikan
11) Muzik dan Filem
12) Fesyen dan Seni Tampak
13) Sejarah dan Legasi Tokoh/Kumpulan Muzik
14) Pop Daerah: Sub-budaya Kelantan, Sabah dan Sarawak
PENGHANTARAN & PEMBENTANGAN MAKALAH
(Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris)
1. ABSTRAK/SINOPSIS:
1.1. Tidak melebihi 250 patah perkataan dengan tajuk yang bersesuaian dan menepati tema.
1.2. Tarikh tutup penghantaran: 31 Mac 2023.
1.3. Pemberitahuan penerimaan: 10 April 2023.
2. BIO RINGKAS:
2.1. Tidak melebihi 150 patah perkataan yang mengandungi latar belakang pendidikan, kerjaya, pengalaman, bidang kajian, nama dan nombor telefon.
2.2. Tarikh penghantaran: 31 Mac 2023.
3. MAKALAH:
3.1. Antara 1500 dan 2500 patah perkataan.
3.2. Tarikh penghantaran makalah lengkap: 4 September 2023.
4. PEMBENTANGAN:
4.1. Tarikh pembentangan: 6–8 Oktober 2023.
4.2. Tempat: Akan dimaklumkan nanti.
Sila hubungi En. Zulhamizan (019-4567248) untuk maklumat lanjut.