Mungkin ada yang sudah mengenali Adib Zahar atau nama penanya, Kuroyy. Beliau yang memperjuangkan genre berirama nasyid dan Pop Islamik ini terus mewarnai industri muzik tempatan dengan lagu-lagu yang berunsur positif dan ketuhanan. Biarpun jika dilihat dalam skena tempatan kita, minat kepada lagu-lagu sebegini seakan suram setelah melalui zaman fenomenanya suatu ketika dahulu, namun ia masih mendapat sambutan yang tersendiri dalam kalangan pengikutnya. Adib yang pernah tampil bersama single pertamanya yang berjudul “Akur,” konsisten menerbitkan single keduanya iaitu “Waktu” dan kini terus konsisten membawa rentak ini dengan single terbaharu iaitu “Sinar.”
Pada pandangan penulis, lagu ini menjadi sebuah game-changer kerana perubahan genre yang agak ketara. Irama R&B mula diperkenalkan yang juga menjadi perkara baharu dalam keseluruhan karier muzik Adib. Waktu kali pertama penulis mendengar lagu ini, penulis merasakan trademark yang dilakukan oleh Adib melalui potongan kata-kata positif pada intro lagu sepertimana dalam lagu-lagu sebelum ini membuatkan penulis tahu ini adalah lagu daripada Adib Zahar. Lagu yang berdurasi selama 3 minit dan 57 saat yang diterbitkan di bawah label Karya Positif ini menjadi lebih menarik kerana turut mendapat sentuhan Fadzli daripada kumpulan Fareast.
“Sinar” menceritakan tentang kesilapan yang pernah dilakukan sesorang sehingga dia menjadi putus asa dengan hidup sebagai khalifah di muka bumi. Namun kita sering alpa bahawa pintu pengampunan masih terbuka luas untuk kembali ke Maha Pencipta. Peluang sentiasa tersedia dan gunakanlah ia sebaik mungkin agar kelak tidak menyesal andai kematian datang menjemput.
Pembawaan vokal Adib kali ini dilihat semakin matang dan menampilkan diversiti dalam teknik nyanyiannya, sesuai dengan rentak yang sebegini. Jika ditanya penulis, inilah lagu yang paling matang dan terbaik dari segi susunannya jika dibandingkan dengan lagu-lagu sebelumnya. Adanya high and low dalam lagu ini. Tidak juga terlalu mendatar. Kadangkala terasa seperti mendengar runut bunyi drama di kaca televisyen. Ringkas dan catchy.
Penulisan lirik lagu ini mudah untuk dihayati kerana ditulis secara straightforward, namun pada tanggapan penulis adalah kerana Adib ingin membuatkan pendengar terus memahami apa yang ingin disampaikan oleh beliau.
Tuhan
Hadirku dengan harapan
Atas diri yang kehilangan
Arah kehidupan
Aku tahu semua silap ku
Tuhan ku
Sinar Mu ku damba
Bagi perspektif penulis, ini merupakan lagu yang paling berjaya dibawa oleh Adib Zahar kerana iramanya yang lebih segar dan lebih menarik untuk didengari. Jutaan tahniah kepada Adib Zahar dan seluruh kru yang terlibat sepanjang pembikinan lagu ini. Penulis berharap Adib Zahar akan dikenali ramai sepertimana kumpulan-kumpulan atau penyanyi lagu Islamik popular yang lain.
Adib juga tetap dengan pendiriannya mengapa membawa genre yang berunsurkan Islamik.
Selaras dengan pendirian saya yang ingin perkenalkan nilai dakwah melalui lagu . Maka saya tetap memilih untuk membawa lagu yang berunsurkan islamik kerana kaedah ini merupakan salah satu daripada usaha kita untuk menyebarkan kebaikan . Maka saya tampil pembawakan lagu berunsurkan islamik . Sambil menyelam minum air . Sambil kita berhibur, matlamat untuk menyebarkan kebaikan tetap dijalankan .
Selain itu, perspektif Adib dari segi persembahan secara langsung jika diberi peluang.
Buat masa ni saya tidak terfikir lagi untuk buat persembahan secara langsung . Namun seandai diberi peluang untuk persembahan secara langsung, keyakinan saya mungkin dapat dibina melalui matlamat saya yang ingin sampaikan kebaikan . Tetapi buat masa ini, mungkin saya lebih selesa untuk perkenalkan karya saya melalui alam maya dahulu . Seandainya diizin Allah dapat mencapai tahap yang lebih tinggi, saya akan pertimbangkan semula . Maklumlah saya biasa biasa sahaja . Hahaha . Ramai lagi hebat . Lagipun matlamat saya bukan lah ingin mencipta nama sangat . Cuma lebih kepada manfaat dan sematkan nilai dakwah dalam industri muzik
Ikuti laman sosial Adib Zahar dan saluran YouTube Karya Positif dengan menekan pautan di bawah: