Temasya Gendang Pati : Pengalaman Yang Tak Terbeli!

oleh Boes!
1.1K bacaan

Kredit: Khalil Makata

 


Menghampiri penggal terakhir tahun ini, deretan konsert pelbagai skala diadakan oleh artis luar dan dalam negara dalam pakej pelbagai rupa. Yang berjaya, yang hampa dan yang kecewa telahpun diceritakan selepas berlabuhnya tirai persembahan itu sendiri. Biarkan yang berlalu pergi dan kita fokus pada perkara terkini.

Untuk edisi tahun ini, Tuhan sekali lagi telah permudahkan urusan penyanyi kebanggaan kita, Dato’ M. Nasir untuk mengadakan konsert solonya, Gendang Pati pada malam Sabtu, 18 November 2023, bertempat di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) . Kali ini MND Sports & Event diberi mandat untuk menggalas tugas menganjurkan temasya gilang-gemilang ini dan bagi penulis, penganjur memainkan peranan yang sangat baik dalam mempromosikan konsert ini. Good job!

Kelainan konsert kali ini bertepatan dengan namanya. Lagu-lagu yang didendangkan pada malam itu mengangkat unsur-unsur perkusi sebagai tunjang utama kepada dinamik dan momentum persembahan. Tanpa elemen tersebut, seri sesebuah lagu tidak naik, apatah lagi didengarkan. Lagu-lagu M. Nasir meluas spektrumnya dan bunyian gendang menjadi elemen penting, menghiasi setiap album yang pernah dihasilkannya sebelum ini. Cuba bayangkan lagu Hijab Kekasih berkumandang tanpa gemaan rebana, pastinya hilang sakti!

Kredit: Khalil Makata

Konsert bermula sekitar jam 8.30 malam. Dewan mulai gelap dan alunan pembukaan muzik bermula. Kelibat sosok seorang penari yang berpakaian menyerupai unggas muncul dari bawah pentas. Sebagai peminat album Phoenix Bangkit, penulis sudah dapat meneka akan lagu pembukaan ini. Dan memang benar, tatkala muzik di mainkan, lagu Phoenix Bangkit Dari Abu didendangkan sebagai ‘pembuka selera’ disusuli dengan lagu Semakin Nyata dan Inang Pulau Kencana. Sebuah ritual buka panggung yang bertenaga!

Usai lagu pembukaan, beliau menyapa kesemua hadirin yang menyaksikan konsertnya. “Tak menyesal tak pergi konsert Aina Abdul?,” selorohan yang membuatkan seisi dewan tertawa. Sempat juga beliau menyelitkan jenaka berkenaan pakaian dan isu Wahab yang hangat diperkatakan sekarang. Terdengar suara berdekatan dari kerusi penulis yang menyatakan tidak menyesal. Manakan tidak, semuanya ingin meraikan lagu-lagu beliau dan berpesta bersama!

Tidak berlengah lagi, lagu Secangkir Kopi Semanis Puan berkumandang. Bunyian Inang dan Dangdut memeriahkan suasana dengan tingkahan marwas dan kompang. Seisi dewan bertepuk tangan bersatu dengan lagu. Momentum Gendang Pati diteruskan dengan lagu Bila Rumi Menyanyi, Kias Fansuri dan Dah Lagu Tu! yang dimulakan dengan pembukaan pukulan gendang oleh Awe.

Pandero solo dan freestyle oleh Awe dan Rock. Kredit: Khalil Makata.

Menghampiri jam kedua konsert, di mana rata-rata penonton mula tak duduk diam dan berpesta tatkala lagu keramat beliau didendangkan bermula dengan Langgam Pak Dogo, disusuli pula dengan selingan pandero solo dan freestyle oleh Awe dan Rock sebelum disambung ke lagu Tanya Sama Itu Hud-Hud dan Raikan Cinta. Daripada kerusi VIP sampaikah ke tingkat atas, hampir kesemuanya berdiri dan menari, bertepuk tangan dan melaungkan hook berulang-ulang kali. Gamat gila wei!

Lagu Hijab Kekasih dan medley lagu Mustika, Sentuhan Listrikmu dan Suatu Masa juga didendangkan pada malam itu. Seleksi dan susunan lagu yang menarik setelah seisi dewan cergas menari pada lagu-lagu sebelumnya. Bunyian perkusi yang menemani vokal beliau yang padu membawa penonton masuk ke dimensi syahdu dan sendu sebelum dewan digelapkan untuk memberi laluan untuk satu persembahan istimewa.

M. Nasir bersama kumpulan koir Sam Tet Voices dari SMJK Sam Tet, Ipoh. Kredit: Kusha

Dewan digelapkan dan montaj dimainkan di skrin LED menceritakan tentang kunjungan beliau ke satu sekolah menengah yang terletak di Ipoh untuk meluangkan masa mendengar koir. Siapa sangka dari montaj muncul ke atas pentas, Kumpulan koir Sam Tet Voices dari SMJK Sam Tet, Ipoh membuat kemunculan mendendangkan lagu Bagaikan Sakti. Kumpulan yang pernah mencipta kejayaan pada World Choir Games ini menyanyikan lagu magis itu dengan baik sekali. Dari mata turun ke hati, M. Nasir memuji tinggi bakat kumpulan ini.

Kredit: Khalil Makata

Kehangatan malam Gendang Pati diteruskan dengan dendangan lagu-lagu popular ciptaan beliau yang membawa penonton ‘kembali’ ke zaman 80-an. Dinyanyikan secara medley, lagu Gadisku, Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi, Kabut Serangkai Mawar, Tiara, Fantasia Bulan Madu, Hukum Karma dan Pawana menjadi seleksi untuk slot lagu popular ini. Masa ini, tidak perlu diceritakan kerana kedengaran hampir kesemua penonton singalong bersama!

Mengakhiri slot terakhir, beliau menyanyikan lagu-lagu keramatnya seperti Apokalips, Sahabat Gua, Mentera Semerah Padi dan Ada. Dan siapa sangka lagu Masirah didendangkan sebagai encore untuk konsert ini. Sambil berhibur, diselitkan sedikit peringatan kepada penonton untuk sentiasa peka tentang konflik yang berlaku di Palestin. Lagu dimulakan dengan bacaan Qunut Nazilah dan diakhiri dengan deklamasi sajak yang dilaungkan Amerul Affendi yang penuh penghayatan dan keinsafan. Laungan ‘Beroh Bedem Nafdiq Ya Syahid’ dan takbir mengakhiri konsert epik yang berlangsung selama 3 Jam ini.

Deklamasi sajak oleh Amerul Affendi. Kredit: Khalil Makata

Pada pandangan penulis, penganjur konsert – MND Sports & Event dan penerbit – Roman Abadi Sdn. Bhd berjaya merancang dan mengendali konsert ini dengan baik sekali. Dari penataan cahaya sehingga ke kualiti bunyi yang dihasilkan, kesan kehebatan konsert ini masih lagi ‘menghantui’ diri penulis yang masih lagi tak boleh nak move on dan murung sejurus tamat temasya.

Pujian juga harus diberikan kepada pemuzik yang bertungkus lumus menjayakan konsert ini. Sekalung penghargaan kepada mereka yang terdiri daripada pengarah muzik dan pemain gitar- Nan Alias, gitar rhythm – Rafi Mohd, bass – Norman , keyboard – Firdaus Mahmud dan Eddie Slam, dram – Ujang Exists serta penyanyi latar vokal – Eja, Widy, Yuaz & Awe. Tidak lupa juga pemain perkusi utama- Paang, perkusi tradisional- Mat Din, pemain perkusi – Che Long dan Anas yang berjaya mengekalkan momentum dari awal sehingga ke akhir konsert.

Namun, ada juga beberapa perkara kecil yang membuatkan pengalaman konsert sedikit terganggu dan janggal. Transisi rakaman visual yang dipaparkan di skrin LED kadangkala mengganggu perjalanan muzik itu sendiri. Ada babak penting yang ditunjukkan semasa persembahan tidak ditonjolkan dengan baik dan berkesan.

Tutup pentas. Kredit: Kusha

Akhir kata, Gendang Pati merupakan sebuah lagi edisi temasya M. Nasir yang berjaya dilaksanakan dengan cemerlang. Sebuah pesta yang meraikan, mengasyikkan dan mengkhayalkan. Sebuah siri perjalanan yang hanya boleh dirasai dengan menghadiri dan merelakan diri untuk mencapai klimaks berulang kali. Sebuah edisi yang mampu mengubah diri untuk lebih menghargai dan mencintai.

Panjang umur dan makmurlah seribu tahun lagi, Dato’ M Nasir!

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅