Temubual Eksklusif Bersama Zahid Ahmad – Ulang Tahun Ke-30 ‘Hijau’

oleh Rahmat Mohd Did
2.2K bacaan

Sempena ulangtahun ke-30 album pertama Zainal Abidin, pihak Bukuku Press mengambil kesempatan merakam semula sejarah pembikinan album tersebut dari kacamata individu penting yang terbabit di dalam proses pembikinannya. Temubual eksklusif ini cuba untuk menjengah kembali momen-momen kegemilangan album Hijau nyanyian Datuk Zainal Abidin yang dihasilkan pada tahun 1991.

Saudara Zahid Ahmad merupakan penerbit bersama merangkap pemain dram dan perkusi yang terlibat sejak awal pembikinan Hijau. Zahid juga adalah tulang belakang utama dalam Roslan Aziz Production (RAP) dan individu penting di sebalik kejayaan penyanyi Sheila Majid dan Zainal Abidin.

**Temubual ini diselenggara oleh Muhammad Nazreen, pengasas Kedaibuku online Bukuku Press.

SOALAN : Pihak media, peminat dan para pengkritik menganggap album Hijau sebagai satu ‘benchmark’ baharu di dalam muzik Malaysia. Ada suara mengatakan album ini telah berjaya membawa revolusi baharu dalam muzik tanahair. Sempena penglibatan saudara di dalam album ini, mungkin saudara boleh ceritakan serba sedikit mengenai proses pembikinan album ini?

ZAHID AHMAD : Album Hijau mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan. Aku dan Roslan sudah mula melakukan kerja-kerja mencari material album dua tahun sebelum Hijau dilancarkan. Mungkin (album Hijau) boleh dikatakan antara album yang paling lama ambil masa untuk disiapkan di Malaysia.

undefined

Proses pembikinan Hijau bermula seawal tahun 1989 dan berjaya disiapkan pada tahun 1991. Pada mulanya kami sendiri tidak pernah menyangka sejauh mana Hijau boleh pergi dan bagaimana Hijau akan mengubah industri muzik di Malaysia. Pada fikiran kami, album Hijau dibuat untuk kepuasan kami sendiri dalam bermain muzik. Soal untung atau rugi itu jatuh nombor dua. Yang penting setiap individu yang terlibat ada ‘passion’ tertinggi untuk menghasilkan muzik yang baik untuk didengari semua.

Ada dua fasa dalam proses pembikinan album Hijau. Fasa pertama adalah fasa untuk mencari ‘sound setup’ yang baik. Aku masih ingat lagi bahawa Scat Studio, tempat di mana proses rakaman dijalankan sudah menjadi rumah untuk kami. Rutin harian kami adalah buat rakaman setiap waktu sehingga aku sendiri lupa waktu siang dan malam.

Aku dan Roslan selalu tidur di bawah ‘mixer board’, bangun pagi aku balik rumah sekejap untuk mandi dan tukar baju, makan dan balik semula ke studio. Aku buat rakaman drum dan perkusi sehinggalah malam. Kemudian pemuzik lain akan datang ke studio lakukan perkara yang sama seperti aku buat.

Untuk nak dapatkan ‘spot’ untuk drum sahaja ambil masa hampir 2 minggu. Roslan akan ‘decide’ di mana untuk letakkan akustik drum. Kami kena bertukar tempat dan alihkan drum setiap kali Roslan tak jumpa ‘sound’ yang sesuai.

Walaupun rakaman dah nak hampir tamat, jika Roslan tak dapat apa yang dia nak, kami kena berpindah ‘spot’ drum ke tempat lain dan buat semula miking setup. Waktu itu semua orang menyampah dengan Roslan. Kasihan juga aku lihat pekerja Scat Alvin dan Miko kena alihkan drum dan pasang semula.

Kami dapat 4 lagu awal daripada komposer utama di dalam Hijau, Mukhlis Nor. Lagu tersebut adalah Inayah, Manis, Telaga dan Baba. Kami masih kurang jelas mengenai arah tuju album tersebut. Jadi kami ambil masa untuk berehat seketika untuk mencari bahan untuk Hijau. Selalunya aku dan Roslan akan habiskan masa ke rumah Mukhlis di Jalan Turi, Bangsar jika dia pulang bercuti.

Ketika itu, Mukhlis masih lagi menuntut di Louisiana State University (LSU), Amerika Syarikat. Jika Mukhlis balik Malaysia semasa cuti semester, aku dan Roslan akan ke rumahnya dan pergi menggeledah stor Mukhlis untuk mencari lagu-lagu ciptaan Mukhlis yang dirakam menggunakan kaset.

Seingat aku ada lebih kurang 2 atau 3 kotak penuh dengan kaset lagu-lagu ciptaan Mukhlis. Selepas itu, kita dapat rakam lagu Insaf, Hijau, Senang-Senang (ciptaan Mac Chew), Damai iv dan Ikhlas Tapi Jauh (ciptaan Amir Yussof) dan akhir sekali Debu-Debu Liar (Headwind).

Fasa kedua pula adalah proses yang paling renyah dan sulit. Fasa kedua adalah fasa yang amat getir dalam menentukan ke mana arahnya konsep album ini. Perbincangan demi perbincangan telah kami lakukan sehingga kami berjaya dapatkan hasil yang memuaskan. Fasa ini agak memakan masa yang agak panjang juga.

Sesudah kami nampak cara bagaimana untuk siapkan album tersebut, kami akan buat proses rakaman balik berulang-ulang sehinggalah Roslan berpuashati. Kami kerap ‘miss the deadline’ yang telah ditetapkan oleh syarikat rakaman menyebabkan album ini mendapat banyak tentangan dan halangan oleh ramai pihak.

Jadi, kami akan rakamkan balik 4 lagu awal (Inayah, Manis, Telaga dan Baba) untuk sesuaikan gubahan dengan lagu-lagu yang disiapkan pada fasa yang kedua (Senang-Senang, Insaf, Hijau, Damai iv dan Debu Liar). Inilah yang membuatkan proses rakaman album Hijau mengambil masa yang lama iaitu sekitar 3 tahun.

SOALAN : Maestro Jazz, Michael Veerapen dalam temubual beliau bersama portal The Vibes baru-baru ini mengatakan resipi kejayaan Hijau sehingga menjadi suatu fenomena luarbiasa adalah kerana visi dan falsafah yang mengangkat darjat seni dan passion terhadap muzik itu lebih utama daripada mengejar keuntungan. Bolehkah saudara kupas hal ini dan apakah visi dan falsafah yang dimaksudkan oleh Michael Veerapen tersebut menurut perspektif saudara?

ZAHID AHMAD : Memang kami dapat rasakan kelainan pada album Hijau. Asasnya album ini dibikin untuk memberikan kepuasan sebagai seorang pemuzik. Kami fikirkan bahawa Hijau perlu dibikin supaya kami dapat hasil seperti mana yang kami kehendak. Kami tak ada fikir untuk meletakkan keuntungan terlebih dahulu kemudian barulah muzik. Album Hijau seperti yang saya ungkapkan, dicipta atas kehendak untuk memuaskan kami semua. Terus terang ketika itu, lagu-lagu yang ada di Malaya amat cliché dan membosankan buat pemuzik. Tiada cabaran baru yang disandarkan pada bahu pemuzik yang terlibat dalam proses rakaman.

Sebagai pemuzik yang masyhur, aku rasa Michael mahu lihat apa yang kami lakukan di dalam album Hijau ini dapat dipersembahkan secara live. Dia juga tertanya-tanya ke mana arah tuju yang cuba dibawa dan sejauh mana idea Roslan ini boleh dipersembahkan. Michael banyak menolong dengan memberikan kepercayaan kepada Roslan untuk membayar sewa studio bila Roslan mampu untuk membayarnya.

Hijau tidak akan menjadi realiti sekiranya Michael tidak percaya dengan visi dan idea Roslan. Memang sebelum ini tidak pernah ada mana-mana produser tempatan yang berani menyewa studio secara ‘block’ dalam tempoh yang lama, iaitu studio tidak boleh disewakan kepada orang lain kerana Roslan tidak mahu ‘setup’ yang telah kami lakukan diganggu oleh orang lain. Jasa Michael besar dalam kejayaan album ini. Michael percaya pada apa yang sedang kami lakukan masa itu. Terima kasih galangan budi buat Michael atas kepercayaan dan komitmen yang telah diberikan.

SOALAN : Salah satu kejayaan terbesar Hijau adalah album ini berjaya menyangkal persepsi umum bahawa muzik yang dibawa RAP ini bersifat elitis, eksklusif dan sesetengah pihak melihatnya sebagai muzik golongan bangsawan. Betulkah anggapan ini? Apa pandangan saudara?

ZAHID AHMAD : Muzik yang popular dan digemari peminat ketika itu adalah muzik yang boleh dikatakan muzik ‘kampung’ ala-ala lagu Hindustan dan dangdut. Muzik begini popular di kawasan luar bandar dan dangdut misalnya mempunyai ‘support base’ yang agak besar di kawasan kampung. Muzik Rock ketika itu pula lebih popular didengari oleh orang yang lebih muda.

Zaman itu, lagu-lagu nyanyian Jamal Abdillah dan Alleycats menjadi siulan ramai dan sangat popular. Manakala lagu-lagu melayu dangdut yang popular dinyanyikan oleh Ramlah Ram. Ramai artis lain yang cuba meniru dan membawakan stail muzik yang sama seperti yang kita lihat pada Iwan dan Amelina.

Pada awalnya, muzik yang Zainal cuba bawakan lebih ke arah muzik fusion ‘etnik Melayu’. Tetapi sebagai produser, Roslan mahukan lebih elemen POP dimasukkan ke dalam album Zainal. Pada mulanya kami memang agak bercelaru dan berbeza pandangan.

Tapi akhirnya kami dapat menjadikannya satu kenyataan dan terhasillah album Hijau. Album ini dapat merapatkan jurang di antara muzik yang diminati oleh peminat bandar dan luar bandar. Menariknya adalah Hijau juga amat diminati oleh peminat bukan Melayu.

Show-show besar selalu diadakan di pesta awam seperti funfair dan expo. Kebanyakan show besar pun akan dibuat di pesta, expo dan funfair di kawasan luar bandar. Selalunya memang tak ada artis yang berani untuk buat ‘show’ sendirian dan berbayar. Kebanyakan pemuzik bergantung dengan penganjur expo dan funfair untuk survive. Kelainan yang kami fikirkan ketika itu adalah kita kena cuba mulakan sesuatu yang baru dan segar. Apa yang Roslan dan pasukan RAP cuba bawa adalah untuk ubah trend ini.

Kami mulakan strategi lain yang berbeza dengan kebiasaan ramai orang ketika itu. Roslan mulakan strategi ‘club crawl’ untuk mempopularkan Sheila Majid dan Zainal Abidin di mana kami akan membuat persembahan secara persendirian tanpa bantuan penganjur expo. Album Hijau mula mendapat perhatian ramai apabila Roslan membuat pendekatan ini. Kami juga bergerak sendiri secara independen untuk membuat persembahan.

Aku masih ingat lagi Roslan siap bawak ‘Bass Sub’ untuk satu show dalam Pasar Kering di Ipoh. Jadi, sound setup untuk persembahan memang meletop dan luar biasa. Ada seorang peminat memberitahu aku tentang ‘sound dram’. Dia kata, “Hang main cucuk dadaq..cucuk dadaq!

Naskhah autobiografi Zahid Ahmad berjudul Tuk Tak : Cerita Zahid Ahmad tentang Muzik Malaysia, Drum dan Proses Bikin Lagu sedang dalam proses suntingan akhir. Buku ini dijangka akan beredar di pasaran pada penghujung Ogos 2021. Naskhah ini merupakan terbitan sulung Bukuku Press Publishing. Pra-pesan akan dibuka tidak lama lagi.

Untuk membaca lebih banyak petikan-petikan sebegini, ikuti:

Zahid Ahmad Tuk Tak

Bukuku Press

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅