Sejak akhir-akhir ini, banyak kugiran baharu yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan dan bersaing secara sihat untuk memastikan mereka menghasilkan karya terbaik dan dikenali ramai.
Untuk tujuan tersebut, mereka harus mengeluarkan single, EP atau album yang memberi impak kepada khalayak.
Baru-baru ini, aku didatangi oleh 4 orang anak muda diberi nama Kalms yang baru sahaja melancarkan album perdana mereka iaitu “Worst Chapter” pada 21 Oktober 2023 di semua platform strim digital.
Kugiran yang berasal dari selatan tanah air ini ditubuhkan pada 2021 oleh Hadi (Vokal/Gitar) dan Adib (Gitar). Kemudiannya mereka bertemu Yamin (Bass) dan seterusnya Zaim sebagai pemain dram setelah beberapa kali menggunakan khidmat pemain dram undangan. Persoalannya, kenapa nama Kalms?
Menurut Hadi, Nama “Kalms” diberikan oleh Adib di dalam group Whatsapp sejurus mereka mencipta group WhatsApp. Hanya cadangan yang rawak daripada beliau dan penjelasannya perkataan “Kalms” hanya ditukarkan huruf “C” iaitu perkataan asal “Calms” juga membawa maksud “Tenang” dan juga selari dengan genre asal yang ingin dimainkan iaitu Indie Pop pada ketika itu.
Sepanjang ditubuhkan, mereka sudah melahirkan 3 buah single, sebuah EP dan akhirnya muncul dengan naskhah lengkap pertama.
Kenapa Worst Chapter? sebab album ni straight forward dan aku memang nak cuba sesuatu yang baru. Plus aku tak suka benda cringe, aku try tukar ke general. It’s all about everything.
Cukup sudah pengenalan. Aku ingin menyelami cerita di sebalik album ini dan ingin berkongsi rasa dengan para pembaca di luar sana serta sedikit kesempatan menemuramah Hadi dan Adib dalam sesi ini.
Trek 1: Intro
Pada mulanya agak menyeramkan juga permainan synthesizer dan bunyian suara-suara yang muncul namun tidak mengganggu rasa ingin tahu aku tentang apakah yang mereka ingin sampaikan dalam album ini.
Trek 2: Pessimist
Momentum dari trek 1 disambung ke trek ini, aku hampir mengantuk dengan petikan gitar yang mendayu namun kembali terjaga apabila bertukar rentak di mana bunyian gitar yang diisi overdrive dan phaser menusuk ke telinga. Permulaan trek yang baik, aku agak teruja dengan susunan lagu yang mudah difahami dan tidak kompleks. Sewaktu mendengar, aku seperti cuba ditarik ke alam mimpi oleh vokal Hadi yang bersahaja namun cukup rencah dan dinamik lagu ini juga agak bagus.
Trek 3: I Don’t Mind
Trek ini mengingatkan aku kepada Iqbal M kerana korus mereka seakan-akan lagu Kota Memujuk dan aku terus membayangkan jika Iqbal menyanyikan lagu ini. Aku tidak mempunyai isu yang besar pada trek ini, hanya aku sedikit terganggu dengan bunyian dram yang tampak sedikit lompong di bahagian drum rolling. Walaupun begitu, lompong itu telah ditutupi dengan baik dengan petikan gitar yang cukup sifat dari sudut gain dan clarity.
Trek 4: Those Days
Trek yang sedikit laju, straight forward indie rock dan sedikit melayang (haha). Bayangkan kalau trek ini menjadi runut bunyi untuk drama remaja, memang menjadi. Aku sempat membayangkan kisah aku di zaman cinta monyet di universiti. Sehingga di trek ini, aku dapat merasakan impak dan mesej yang ingin mereka sampaikan.
Asalnya nak bunyian lain, tapi Marzuki (produser) banyak ubah kitorang dan ajar macam2, aku tak boleh nak pinpoint genre apa tapi kita clarify as pop. Aku tak nak jadi macam band yang sedia ada dan aku nak buat cara sendiri. Even tak puas nak go to shoegaze tapi kitorang puas dengan input beliau.
Trek 5: Informasi Pelepasan
Makin lama makin kotor pula. Tu pendapat aku sepanjang lagu ini diputarkan. Bunyian kotor yang terhasil itu menampakkan Kalms semakin nakal dan cuba untuk menarik jiwa setiap pendengar untuk menyelami lagu ini. Semakin dalam aku mengamati, semakin kuat tarikan yang Kalms cuba beri. Trek ini walaupun dalam Bahasa Malaysia, aku berpendapat trek ini boleh dikembangkan lagi dari sudut penulisan lirik untuk menampakkan lebih bersahaja.
Trek 6: Dreary
Trek ini dimulakan dengan permainan bass yang malas namun penuh dinamik kemudiannya diganti dengan bunyian penuh instrumen yang memberi penuh sifat dalam diri Kalms. Trek ini sejujurnya mengingatkan aku kepada Boy Pablo dari sudut vokal dan penyampaian Hadi dan aku berbangga dapat dengar trek ini.
Untuk proses rakaman, aku banyak kena kerah especially kat vokal, aku kena fokus kat suara di dada dan aku kena banyak beralun. Aku bersyukur sebab Marzuki banyak bantu aku dari sudut suara dan dia tak nak band ni jadi tak bagus. Plus dalam banyak-banyak band, Kalms paling lain dan dia nak pastikan semuanya bagus.
Trek 7: Lost Paradise
Trek Indie Rock. Itu sahaja yang mampu ku katakan. Dan aku masih berminat untuk mendengar kerana elemen Boy Pablo dari Dreary itu dibawa ke trek ini. Aku agak melayang ketika proses mendengar kerana bunyian penuh yang ditampilkan agak bagus. Betul orang cakap, kalau produksinya bagus hasilnya akan datang dengan lebih bagus. Kredit diberikan kepada Spunkdok atas produksi yang hebat.
Trek 8: You Did This
Trek ni aku suka. Kerana apa? Kerana permainan gitar yang nampak kompleks tapi mudah difahami. Sehingga ke trek ini aku masih merasakan keseluruhan lagu dalam album boleh dijadikan runut bunyi rasmi untuk filem remaja seperti Dunia Baru. Lagi satu perkara aku nak tambah ialah pertukaran beat dan tempo lagu mereka nampak natural dan tidak terlalu laju.
Trek 9: Peleburan Kisah
Untuk trek ini, aku masih dalam rentak yang sama dari trek sebelumnya. Mungkin aku agak bias, tapi trek ini nampak ranggi dan mengingatkan aku kepada zaman belajar (lagi sekali). Dengan vokal bersahaja dan permainan gitar kotor, aku boleh mendengar banyak kali pada setiap hari terutamanya ketika memandu ke tempat kerja.
Trek 10: Outro
Pengakhiran trek yang bercampur baur. Elemen traditional dan moden itu disatukan serta membuatkan ku terfikir apakah mereka akan buat di masa hadapan? Siapa sahaja tahu? Hanya Kalms yang tahu.
Dari sudut marketing, kitorang dah start push ke media dan still pakai apa yang ada di sekeliling. Kitorang skrg cuba untuk masuk ke market singapore dan alhamdulilah mendapat sambutan yang baik. Kitorang skrg buat connection untuk make sure lagu kitorang sampai. Of course kitorang skrg cuba nak masuk ke siri gig.
Secara keseluruhannya, album “Worst Chapter” merupakan percubaan berani mati yang hebat dari Kalms. Dengan proses penulisan lagu yang bagus, ditambah pula proses rakaman, proses adunan dan mastering dari Spunkdok, aku merasakan kugiran ini mencapai standard yang sepatutnya. Aku memuji kesungguhan Kalms dalam menyiapkan album perdana ini. Bukan senang sebuah kugiran untuk menyiapkan album dan menjadi yang terbaik. Tahniah Kalms, teruskan berkarya.
Ikuti perkembangan Kalms di: