‘Teriakan Merdeka’ Dari TRIFOX Bakar Semangat Patriotik Dalam Suara Punk Rock

oleh Muhammad Ridhwan Bin Sa'aya
3K bacaan

Tiap kali Bulan Kemerdekaan, sudah pasti kita akan mendengar lagu-lagu patriotik yang biasa didendangkan dalam genre balada atau irama upbeat yang bersemangat. Lagu hebat seperti Warisan – Sudirman (1982) dan Keranamu Malaysia ciptaaan Pak Ngah yang pernah dijadikan lagu rasmi Hari Kebangsaan dari tahun 2000 hingga 2006, sememangnya wajib dimainkan. Namun, pasti tidak mudah untuk kita membayangkan pula, bagaimana jika lagu patriotik dinyanyikan dalam nuansa punk rock?

Bagi mencipta kelainan dalam usaha perjuangan melandaikan jangkitan virus Covid-19, semangat patriotisme tetap perlu dipupuk bersama. Biar sambutan dalam norma baharu, ia bukan penghalang untuk kita tidak menunjukkan semangat patriotisme dalam diri.  Jadi, untuk menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan, kumpulan Trifox tampil dengan sebuah lagu patriotik berjudul Teriakan Merdeka. Membaca judulnya saja, sudah cukup menggambarkan isi lagu berkenaan.

Lirik lagu ini ditulis untuk mengajak orang ramai menghargai pejuang-pejuang terdahulu dan memelihara keamanan yang ada walaupun berbeza pendapat dan fahaman politik. Mesej utama lagu ini jelas membawa kita untuk mencintai negara. MV lagu ini turut dibintangi Oja, finalist GV7, juga merangkap pengarah MV. Kumpulan ini bertuah kerana Oja sudi bekerjasama dan membantu menggubah melodi lagu ini agar sesuai dengan semua peringkat umur walau dengan genre punk rock.

“Lagu ini diharap dapat membakar semangat kita sebagai rakyat Malaysia dan mampu memupuk semangat patriotisme dalam diri. Pemikiran kita juga harus merdeka. Kita sudah hampir ke penghujung tahun 2021, jika pemikiran kita masih di takuk lama, kita masih belum merdeka. Pesan ini saya tujukan sebagai peringatan buat diri sendiri dan generasi lebih muda di luar sana,” kata Midi mengenai lagu yang kini dapat ditonton di laman YouTube, selain boleh dinikmati di Spotify. 

Midi adalah vokalis utama Trifox yang turut bermain gitar. Selain itu kumpulan ini terdiri daripada tiga ahli lain iaitu Iskandar (gitar), Mixie (bass) dan Gbam (drum).  Kumpulan ini ditubuhkan setelah mereka berjumpa di Wavelength Studio Jalan Reko, Kajang, studio jamming yang diusahakan Iskandar dan Gbam. Di situlah mereka berkenalan dan menubuhkan Trifox. Apa yang unik adalah mereka datang dari negeri berbeza dan berkawan kerana minat pada muzik.

Midi dan semua ahli kumpulan ini sepakat mengekalkan genre Punk Rock and Roll dan belum ada perancangan untuk ke genre lain. Menurut mereka, “Trifox akan muncul dengan lagu-lagu dan MV baru selepas ini. Susunan lagu sudah tersedia cuma kami masih mencari ruang dan masa untuk menyiapkan rakaman lagu dan MV memandangkan semua dari kami ada komitmen kerja masing-masing.”

Mereka juga bersyukur proses rakaman untuk MV Teriakan Merdeka hanya mengambil masa sehari dan dapat diluncurkan dua minggu lebih awal dari perancangan yang sepatutnya. Ini adalah pengalaman baru buat mereka, memandangkan dua lagu sebelum ini, Mekar dan Hitam Kuning hanya sempat dikeluarkan dalam bentuk rakaman video lirik sahaja.

Bagi penulis sendiri, Teriakan Merdeka merupakan permulaan baik bagi kumpulan Trifox untuk menghasilkan lebih banyak lagu pada masa akan datang. Jika mereka konsisten mengekalkan konsep muzik energetik sebegini, mereka boleh menarik lebih ramai peminat terutamanya orang muda. Namun sudah pasti ada perkara perlu diperbaiki seperti gaya lontaran lirik dan vokal di sesetengah bahagian tinggi untuk membina identiti tersendiri supaya tidak dibandingkan dengan kumpulan punk rock lain.

Tahniah buat Trifox dan terus berusaha menghasilkan lagu dan karya terbaik. Semoga buah tangan  selepas ini mampu memberi impak yang lebih besar kepada khalayak pendengar muzik independen Malaysia!

Ikuti Trifox di:

Instagram

Spotify

YouTube

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅