The Wolf Within, sebuah unit berteraskan metalcore yang berasal dari Kuala Lumpur telah meluncurkan single terbaharu yang berjudul Repentance. Karya ini menjadi bukti bahawa irama metalcore masih lagi hidup dan boleh diasimilasikan bersama unsur lain seperti rap rock. Band ini mempunyai dua orang vokalis iaitu Amir Wolf selaku screamer dan Cleo Jade selaku clean vocals. Turut dilengkapkan oleh Amber Winona serta Ethan Rozario yang baru sahaja menyertai The Wolf Within pada 2021, masing-masing berada di posisi gitar dan juga bass.
Lagu yang berdurasi 4 minit dan 50 saat ini dimulakan dengan gasakan gitar, dram dan beberapa instrumen lain yang diberi kesan khas sebelum teriakan Amir menerpa masuk ke dalam lagu. Drum line dan bass line yang ringkas. Kord progression gitar yang agak biasa kedengaran dalam mana-mana lagu metalcore. Namun, apa yang membezakan lagu ini dengan lagu yang lain adalah pada minit 3:08 yang mengingatkan penulis kepada band luar negara Eyes Set To Kill kerana mereka memiliki vokalis wanita. Sejujurnya bahagian yang menampilkan vokalis wanita ini dirasakan akan lebih berpotensi sekiranya beliau mendapat latihan vokal agar hasil akhirnya lebih mantap. Kedengaran agak mendatar, mentah dan tempo yang kurang konsisten ditambah pula dengan efek autotune yang kedengaran jelas. Walaubagaimanapun, ini bukan kelemahan utama kerana vokal Amir telah cukup perisa dari segi teknik scream yang digunakan.
Penulis juga sempat menemubual Amir selaku vokalis untuk mengetahui apakah yang berlaku di sebalik pembikinan lagu ini. Ayuh telusuri bersama di bawah.
MAMY: Repentance adalah lagu yang berpotensi, namun hasil akhirnya kurang menyerlah akibat produksinya yang penulis rasa belum sampai ke tahap memuaskan. Boleh ceritakan sedikit proses rakaman lagu ini dan peralatan yang digunakan?
Proses rakaman dilakukan secara online pada mulanya (masa itu Covid melanda dan PKP dilaksanakan). Kami melantunkan idea antara member-member band. Pada November 2021, kami berjumpa dan rakam lagu Repentance di studio Drum Asia. Peralatan yang digunakan dalam rakaman ini ialah Ibanez Gio bagi bass, Ibanez (Floyd Rose) untuk gitar dengan menggunakan setup HSS (pickup DiMarzio), mikrofon Rode dan Sennheiser untuk vokal.
MAMY: Apakah yang mahu kalian sampaikan melalui lagu ini?
Sebelum terlahirnya band The Wolf Within (dalam peringkat infansi), kami mendapat banyak kritikan daripada band-band baru dan orang ramai. Justeru, dalam 2-3 tahun lepas, kami terlibat dengan pergaduhan antara kumpulan kami sendiri yang menyebabkan kami hampir putus asa. Dengan halangan buruk yang menimpa kami, Repentance adalah lagu yang memaparkan sifat 'fuck you' kepada kritikan orang ramai serta meninggalkan masa silam.
MAMY: Apakah kelainan The Wolf Within berbanding band-band lain dalam kategori sama?
Kami tidak menumpukan kepada satu genre seperti band-band lain. Bagi kami, lagu atau band yang boleh 'genre-hop' adalah inspirasi kami kerana ia tidak fokus kepada satu genre. Ya, kami band metalcore tetapi adanya terselit unsur-unsur rap dan trap dalam muzik kami.
MAMY: Adakah terdapat sebarang perancangan untuk Wolf berkolaborasi dengan artis underground atau mainstream lain untuk meluaskan empayar?
Kami bercadang untuk berkolaborasi dengan Patriots untuk satu lagu pada masa depan tetapi kami akan rilis lagu tanpa kolaborasi dahulu buat masa sekarang.
Sebagai peminat muzik tempatan yang mahu industri ini terus maju dan ke hadapan, kita harus berikan peluang kepada band-band baharu seperti The Wolf Within kerana mereka berani berkarya mengikut cara sendiri malah mengeluarkan belanja sendiri tanpa sebarang tajaan. Mungkin kualiti di permulaan ini tidak sebaik yang diharapkan namun ia adalah usaha yang baik dan memberi seribu makna kepada mereka.
Apapun, sekalung pujian kepada The Wolf Within kerana memeriahkan lagi skena muzik kita yang kadangkala sepi kadangkala hingar. Tahniah!
Ikuti The Wolf Within dengan menekan pautan: