“Tiada Yang Kekal, Maka Berdamailah” – Umar Akmal Selami Erti Duka dan Putus Asa Dalam ‘Hei Hati Rapuh’

oleh Anome
2.5K bacaan

Penyanyi/ penulis indie folk tempatan yang baru mencipta nama, Umar Akmal baru sahaja melancar single keduanya, Hei Hati Rapuh pada tanggal 10 Disember 2021 lepas dengan jangka masa selama 4 minit 30 saat. Single ini hadir sekali bersama video muzik (MV) yang dilancarkan di saluran YouTube miliknya dengan jangka masa selama 5 minit 8 saat.

Sedikit pengenalan buat yang belum mengenali Umar Akmal; beliau merupakan seorang penulis lagu dan penyanyi alternatif indie folk yang mengangkat lagu-lagu berkenaan liku-liku kehidupan seharian dan tangis tawa dalam kehidupan mendewasa. Menekankan tema keputus asaan dan harapan, serta perkara yang menjadikan seseorang itu manusia.

Bak kata Umar Akmal, “Setiap dari kita mempunyai cabaran yang diukir khas sesuai dengan kemampuan diri masing-masing. Oleh itu tetaplah bertahan dan bernafaslah semampunya kerana hanya kita tahu akan tanah yang dipijak.”

Hei Hati Rapuh merupakan sebuah nukilan diri kepada hati yang sedang berduka.  Seakan-akan lagu yang sering diguna pakai di dalam filem-filem arahan Allahyarhamah Yasmin Ahmad, Umar Akmal membawa para pendengar menyelam ke dasar perasaan yang dicurahkan beliau. MV beliau juga menggunakan tona seperti filem-filem Allahyarhamah, memberikan pandangan nostalgia buat para pendengar dalam jangka masa yang pendek.

Sebelum kita berbicara lebih lanjut mengenai Hei Hati Rapuh, mari kita telusuri wawancara bersama Umar Akmal mengenai penulisan terbarunya:-

Seperti yang diketahui, selain menulis dan menyanyi, Umar Akmal turut  mengarahkan MV Hei Hati Rapuh. Apa yang cuba Umar Akmal sampaikan kepada para penonton melalui MV tersebut?

“Secara umumnya, MV tersebut adalah sebuah manifestasi perjalanan hidup melalui kaca mata yang ‘youthful’ (seorang budak), tapi penuh dengan perkara pelik yang merupakan anxiety budak lelaki tersebut. Dan seperti sebuah perjalanan dalam kereta sepanjang MV ini, apa-apa pergelutan yang kita hadapi ini boleh jadi adalah perjuangan seumur hidup atau ia boleh jadi ‘a long process of healing’. Kita tak tahu bila kita boleh recover sepenuhnya daripada luka-luka kita. Jadi dalam video ni, sehingga budak lelaki itu besar, dia masih dalam kereta tersebut; healing, coping, struggling, dan sentiasa mencuba untuk melalui hari-harinya.”

Apa yang mengilhamkan Umar Akmal untuk penulisan lagu serta arah tuju MV Hei Hati Rapuh?

“Setiap lagu saya tulis ni adalah berdasarkan fasa-fasa yang saya sendiri lalu sebagai seorang manusia. Saya rasa the main thesis statement lagu ni adalah “Tiada yang kekal, maka berdamailah” dan “Tiada yang kan membunuhmu, selagi yang kau genggam hanyalah Tuhanmu”. Dua bait lirik ini yang drive saya untuk tulis the rest of the song. Ilham datang pada masa saya sedar that I am no higher power. Saya tak boleh nak kawal semua benda yang terjadi pada saya. Dan lagu ni end up jadi sebuah nukilan kepada hati-hati yang berputus asa, which is diri saya sendiri pada saat itu. Pada pandangan saya, biasanya manusia putus asa kerana kita tak tahu dan tak dapat mengawal apa masa depan kita, apa yg kita akan hadapi dan segala misteri yang berkaitan dengannya. Jadi ramai yang ambil keputusan untuk menghentikan pengembaraan mereka dalam sesuatu perjalanan. Sama ada perjalanan mencari diri dan identiti, perjalanan dalam menuju cita-cita dan juga perjalanan hidup secara umum.

 

Untuk MV pula, pertamanya, mengarah MV sendiri sangat menyeronokkan kerana kita lebih kenal lagu kita, lebih tahu apa yang kita tulis. Jadi mempunyai kebebasan untuk menginterprestasi sendiri lagu dalam medium visual tu sangat menarik bagi saya. Apa yang mengilhamkan saya dalam menghasilkan MV ini ialah gabungan nostalgia dan anxiety terhadap masa silam dan perkara tak pasti.”

Apa panduan atau sumber rujukan Umar Akmal dalam penulisan lagu? Bagaimana Umar Akmal mahu mesej yang diselitkan difahami oleh para pendengar?

“Saya rasa sebagai seorang penulis, penting untuk saya sentiasa ambil jalan tengah dan memahami perspektif bukan sahaja dari saya sebagai tukang cerita, tapi juga dari perspektif pendengar yang akan mengaplikasikan lagu ini ke dalam hidup mereka. Saya suka bait-bait lirik puitis yang tidak terlalu menyuap pendengar untuk menerima mesej secara literal tapi dalam masa yang sama saya tidak mahu ia terlalu puitis atau menggunakan bahasa-bahasa yang terlalu tinggi sehingga pendengar tidak lagi rasa connected dengan apa yang cuba saya sampaikan. Anyhow, saya lebih suka apabila sesebuah lagu tu dikarang seperti sebuah filem open ended yang mana setiap pendengar boleh mengambilnya dan menyuaikannya ikut pengalaman dan perjalanan hidup masing-masing.

 

Sumber rujukan dari segi penulisan lirik pula, saya sentiasa minat dengan karya-karya awal penulisan Cat Stevens, band The National dan juga penulis/pemuzik dari Indonesia seperti Reruntuh, Kiarakelana, Banda Neira, dan Nadin Amizah.”

Kalau diberikan peluang, dengan siapa dan mengapakah Umar Akmal ingin berkolaborasi?

“Saya teringin nak berkolaborasi dengan Mafidz, dan juga beberapa penyanyi/pemuzik dari Indonesia seperti Hindia, Reruntuh, dan Banda Neira kerana nature muzik mereka yang sangat kena dengan jiwa saya.”

Apakah harapan Umar Akmal terhadap para pendengar setelah mendengarkan Hei Hati Rapuh?

“Saya harap semua dapat mengambil dan memaknai lagu ini seadanya, mengikut perjalanan hidup masing-masing kerana langit mungkin cerah tapi tanah kita sendiri yang pijak.”

Tambahnya, kedua-dua single Buat kau Yang Bakal Pergi dan Hei Hati Rapuh merupakan single promosi yang diambil daripada mini album/extended play (EP) beliau yang bakal menjengah sekitar bulan Mac tahun ini dengan tajuk Buat Kau Yang Bakal Pergi. Beliau juga akan mengumumkan cover artwork dan pra-pesan untuk CD fizikal dan cenderamata debut beliau dalam masa terdekat.

Tonton MV Hei Hati Rapuh di saluran YouTube Umar Akmal dan dengarkan juga lagu-lagu ciptaan Umar Akmal di saluran Spotify, Apple Music dan Bandcamp. Ikuti saluran media sosial Umar Akmal untuk informasi terkini berkenaan debut EP Buat Kau Yang Bakal Pergi yang bakal berkunjung tidak lama lagi.

Instagram 

Twitter

Spotify

Apple Music

Youtube 

Bandcamp 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅