Secara jujurnya aku bukanlah die hard fans Avenged Sevenfold seperti penonton-penonton lain di dalam acara ini. Tetapi aku memang cukup suka apabila penganjur mengambil band-band keluaran bawah tanah untuk diketengahkan di dalam acara seperti ini.
Aku tertarik kepada satu posting di Facebook yang berbunyi begini – “Tak payah la jual nama band ternama. Baik kau promote band yang nak main lagu Avenged Sevenfold tu. Takut nanti orang keliru datang nak tengok Avenged Sevenfold bayar RM60. Tapi yang main band busking Sungai Seget.”
Biar aku ulas sedikit statement ini sebagai mukadimah bicara. Tribute dalam Bahasa Melayu bermaksud Penghormatan. Acara tribute atau penghormatan kepada penyanyi asal seperti ini bukanlah satu acara asing di dalam industri bawah tanah. Di sinilah tempat untuk kita melihat betapa berbakatnya band yang belum ada nama besar untuk menunjukkan kebolehan mereka mempersembahkan seni muzik mereka. Bukan mudah ya untuk pemuzik menyampaikan lagu orang lain, apatah lagi nama besar seperti Avenged Sevenfold.
Acara anjuran Atas Angin ini tidak melengah-lengahkan masa dan memulakan acara tepat jam 7.30 malam dengan lagu Negaraku. Band Defoulters mendahului sepak mula dengan penuh bertenaga. Penonton sudah mula panas dan mula membuat formasi circle pit mengikut alunan lagu yang mantap dan garang. Antara lagu Avenged Sevenfold yang didendangkan mereka ialah Second Heartbeat, Almost Easy, Beast and Harlot dan Unholy Confession. Defoulters juga tidak melepaskan peluang memperkenalkan lagu mereka sendiri seperti I H4te Me dan Dagger. Pada akhir persembahan mereka, penonton sporting melakukan aksi Wall of Death.
Pentas bertukar tangan kepada band Dial M for Murder. Satu pujian diberikan kepada mereka kerana pandai mengawal keadaan pentas dan menjaga keselamatan penonton. Penonton enjoy bersama-sama sing-a-long dan menari mengikut alunan lagu yang keras. Lagu-lagu Avenged Sevenfold yang didendangkan oleh band ini ialah Buried Alive, Hail to the King, So Far Away dan Nightmare. Dial M for Murder juga mendendangkan lagu mereka sendiri antaranya Compassion dan beberapa buah lagu lagi.
Acara diteruskan dengan band Sweet Revenge. Band ini menjadikan penonton tak tentu arah dengan lagu-lagu tribute yang mereka dendangkan seperti Shepard of Fire, Critical Acclaim, Welcome to the Family, Danger Line, M.I.A, Bat Country, Fiction dan Sieze the Day di samping lagu mereka sendiri. Penonton bagai dirasuk semasa lagu terakhir, Afterlife. Gelanggang acara semakin hangat dengan moshpit yang ekstrim bagai melepaskan segala bebanan hidup yang terpendam.
Tidak silap percaturan Atas Angin memilih Modread sebagai band terakhir yang dipertanggungjawabkan untuk mempersembahkan Tribute Avenged Sevenfold JB ini. Mereka berusaha keras untuk memberikan yang terbaik demi tanggungjawab yang diberikan kepada mereka untuk menyanyikan lagu-lagu tribute Avenged Sevenfold. Modread membuatkan mood penonton bertukar lebih agresif dengan aura dinamik yang dibawa. Mereka mendendangkan lagu Gunslinger, Scream, Dear God, Lost dan A Little Piece of Heaven serta lagu mereka sendiri.
Acara berakhir lebih kurang jam 11.15 malam. Penonton keluar dengan membawa seribu satu kenangan yang dibawa dari Educity JB ini. Di gelanggang acara seperti inilah mereka berjumpa dengan rakan-rakan baru yang mempunyai minat dan selera yang sama tentang muzik.
Mungkin di luar sana ramai yang tidak memahami budaya Mosh Pit, Circle Pit, Wall of Death, Crowd Surf dan pelbagai gerakkan ekstrim semasa menikmati muzik keras ini seperti yang berlaku di sebuah acara yang menjadi perdebatan di media sosial baru-baru ini. Tetapi bukankah lebih baik sekiranya kita saling menghormati minat, selera dan tradisi masing-masing daripada menjadi jaguh papan kekunci menghentam tanpa melihat sejarah awal gerakan ekstrim dan muzik keras ini. Muzik itu terapi, terpulang kepada kita untuk memilih genre yang mana atau nikmati sahaja semuanya tanpa prejudis.