Tujahan Energi ‘Musibah’ Oleh PREDICATE NOT DEFINED Yang Menginzalkan

oleh Mohd Asyraf Firdaus
3.3K bacaan

Predicate Not Defined.

Sebut sahaja nama Predicate Not Defined (PND), para metalhead khususnya yang telah berusia 30-an dan ke atas pasti akan mengenali formasi ini. Band yang memperjuangkan irama fusion metal ini pernah menempa nama di republik Singapura pada 2004 bersempena gig tribute kepada Iron Maiden dan menujahkan energi yang teramat dahsyat. Ini dibuktikan melalui album mereka yang lepas iaitu Cosmosis Indulgence. Namun, apabila suku keempat 2021 menjengah, PND menerajang pintu terowong endemik dengan menerbitkan projek cover iaitu Musibah. Lagu yang dipopularkan oleh Sweet Charity  dan cukup terkenal dengan laungan serak basah Papa Rock Ramli Sarip ini telah berjaya diresap dan disebatikan untuk dipaparkan dalam gaya lebih ganas sesuai dengan muzik PND.

Musibah telah selamat disiarkan ke tatapan awam pada 8 Oktober 2021 yang lepas melalui saluran Youtube rasmi Predicate Not Defined. Walaupun penulis lebih cenderung kepada muzik metal generasi baharu, projek saduran PND kali ini benar-benar memikat hati dan meremangkan bulu roma penulis.

Istimewanya lagu PND kali ini ialah mereka berjaya menampilkan Tam dari Blind Tribe yang membuatkan penulis seakan-akan terpaku kerana kehebatan growl yang dibawakan beliau. Growl yang cukup deep dan ganas serta gabungan “guitar chugging” yang berat memberikan perspektif orang lama masih berbisa. Kepada yang tidak tahu, Blind Tribe sendiri pernah terlibat dalam kompilasi The Underground Tribute To Sweet Charity (2001) dengan membawakan lagu Berita Gempa.

Tam (Blind Tribe).

Permulaan lagu yang terus menerpa masuk menjadikan ia sangat bertenaga. Vokal Azwi juga sangat tidak disangka-sangka, ini kerana penulis menjangka beliau akan membawa lagu ini dengan gaya serak basah sepertimana Ramli Sarip. Akan tetapi jangkaan penulis meleset kerana vokal ala-ala high pitch yang dilaungkan dengan gaya rock dan metal ini amat mengujakan dan tidak membosankan. Versatiliti tempo double pedal oleh Fazi juga menjadikan lagu ini cukup perisa fusion metal yang dihidangkan mereka.  Selain itu, suapan harmoni gitar yang cukup teknikal  memiliki pelbagai paten harmonis oleh Damaq dan diiringi bassline yang menarik oleh Iskandar menjadikan durasi 4 minit 15 saat lagu ini cukup puas dek permainan mereka yang dinamik dan konsisten.

Skala 5. Dalam situasi pandemik COVID-19 menghalang kami meneruskan aktiviti muzik seperti gig dan tour, rasa ‘syok’ apabila semua ahli memberi komitmen 110% dalam penghasilan lagu ini, dari segi masa, idea, video dan paling penting sokongan moral dan promosi kepada Predicate Not Defined sendiri.

Begitulah jawapan Azwi apabila penulis tanyakan tentang skala kepuasan mereka untuk proses rakaman kali ini. Skala 5 bro! Pandemik atau tidak memang tidak menghentikan mereka untuk terus memperjuangkan muzik.

Buat peminat di luar sana, nantikan kemunculan mereka di platform digital Spotify. Anda juga boleh mendapatkan CD album sebelum ini dengan menghubungi mereka melalui laman Facebook dan Instagram. Menurut Azwi juga, PND kini sedang giat menyiapkan material dan merchandise terbaharu bagi tahun 2022. Ayuh sama-sama kita nantikan.

Akhir kata, jutaan tahniah dan penghormatan buat semua anggota Predicate Not Defined dan Tam dari Blind Tribe kerana menyuntik pesanan buat kita semua yang  masih berperang dengan musuh halimunan melalui lagu ini serta juga tidak lupa pada seluruh kugiran S.A.S (Indonesia) dan Sweet Charity yang pernah mempopularkan lagu ini suatu ketika dahulu.

Ikuti Predicate Not Defined di:

Facebook
Instagram
Youtube

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅