Ulasan Pencalonan Kategori Rock dan Metal di Grammy Award 2022
Rock dan metal bertumbuh dengan sangat baik sepanjang tahun 2020 hingga ke tahun 2021 ini, namun mengecewakan apabila melihat senarai pencalonan untuk kategori rock dan metal di dalam Anugerah Grammy 2022, ia seolah tidak menggambarkan realiti kemeriahan sebenar yang berlaku sepanjang tahun ini. Acara ini dijangka akan diadakan pada 31 Januari 2022 nanti.
Setelah membaca beberapa ulasan dari pengkritik muzik luar dan menonton video Finn McKenty berkenaan isu ini, penulis bersetuju kerana sudah lama perhatikan pemikiran kolot sebahagian besar orang industri terhadap scene muzik rock yang sangat terkebelakang.
Ini kerana pemilihan calon-calon untuk setiap kategori adalah dari orang-orang dalam Recording Academy sendiri. Jadi kita boleh lihat, bagaimana sudut pandang mereka terhadap genre rock dan metal. Jauh berbeza dengan apa yang mereka tampilkan melalui kategori lain seperti pop, hip hop, country dan lain-lain yang dipenuhi oleh artis-artis baru dan muda.
Apa, di dalam genre rock tidak ada artis-artis muda yang menghasilkan karya yang menarikkah?
Lihat senarai ini, ia dipenuhi dengan nama-nama lama yang tidak hairan jika sebahagian besar peminat generasi baru tidak berapa mengenali mereka. Contohnya Paul McCartney, sudah berapa lanjut usia dewa rock n’ roll ini? Di mana muka-muka baru rock n’ roll?
Best Rock Performance
AC/DC – Shot In The Dark
Black Pumas – Know You Better
Chris Cornell – Nothing Compares 2 U
Deftones – Ohm
Foo Fighters – Making A Fire
Best Metal Performance
Deftones – Genesis
Dream Theater – The Alien
Gojira – Amazonia
Mastodon – Pushing The Tides
Rob Zombie – The Triumph of King Freak
Best Rock Album
AC/DC – Power Up
Black Pumas – Capitol Cuts
Chris Cornell – No One Sing Like You Anymore
Foo Fighters – Medicine At Midnight
Paul McCartney – McCartney III
Best Rock Song
Weezer – All My Favourite Song
King Of Leon – The Bandit
Mammoth WVH – Distance
Paul McCartney – Found My Way
Foo Fighters – Waiting On A War
Best Alternative
Fleet Foxes – Shore
Halsey – If I Can’t Have Love, I Want Power
Japanese Breakfast – Jubilee
Arlo Parks – Collapse In Sunbeams
St. Vincent – Daddy’s Home
Jangan cakap bahawa muzik lama lagi bagus, artis-artis baru ni sampah saja. Ohhh.. itu pemikiran lapuk yang menagih kepada nostalgia sehingga akhirnya menjahanamkan scene rock itu sendiri. Sedangkan bersepah muzik yang bagus di luar sana cuma kita yang malas nak meneroka dan selesa melayan jiwa yang sentimental.
Tidaklah salah melayan nostalgia dengan band-band yang kita membesar bersama lalu menolak muzik-muzik baru, itu terpulang. Namun ia sama sekali tidak memberi lesen untuk kita mengecam anak-anak muda yang berhempas pulas memberi nyawa kepada genre ini untuk terus hidup.
Jika anda rasa artis dan muzik di zaman anda adalah yang terbaik di alam semesta, itu adalah hak anda. Tetapi secara logiknya, anda adalah orang yang sama pemikirannya dengan orang yang membuat pencalonan dalam Grammy ini.
Bukan tidak menghormati nama- nama besar yang dicalonkan dalam kategori ini, ya, mereka memang legenda dan penulis sendiri meminati sebahagian dari mereka yang merupakan band idola sepanjang zaman. Siapa yang boleh menafikan kehebatan Deftones, Gojira ataupun Foo Fighters, bukan?
Namun di sini kita boleh melihat bagaimana hal seperti ini boleh kita anggap sebagai cubaan membunuh genre rock secara perlahan-lahan. Dengan menafikan karya anak-anak muda tanpa kita sedar.
Bayangkan contohnya di Malaysia, jika ada satu kategori untuk genre rock lalu yang dicalonkan adalah Wings, Amuk, OAG, Metalasia ataupun Butterfingers. Kita hidup di tahun 2000 ke ni? Mana band-band zaman ini? Yang sepanjang tahun meriliskan lagu atau album, dan setiap minggu bermain gig. Kemudian kita lakukan seolah mereka tidak wujud dengan mengatakan band hari ini sampah, band dulu juga yang bagus. Tahi bukan?
Bukan tidak ada nama-nama baru dan segar yang boleh kita angkat. Rasanya anda di luar sana pun lebih mengetahui band-band yang lebih sesuai untuk di calonkan. Dan dalam masa yang sama diharapkan agar tidak menggantikan pula dengan band-band pop rock seperti Coldplay, Imagine Dragon, The 1975, Twenty One Pilot yang sering diulang-ulang terutama pada acara Anugerah MTV saban tahun.
Mana sensasi muzik rock masa kini? Machine Gun Kelly yang baru memenangi kategori rock dalam American Music Award, MTV Music Award dan Billboard Music Award sepanjang tahun 2021 ini langsung tidak dimasukkan ke dalam Grammy? Meskipun MGK ni memiliki attitude yang menjengkelkan, tetapi kita kena akui, dia menjadikan muzik rock kembali sensasi pada hari ini.
Begitu juga artis-artis seangkatan MGK seperti Mod Sun, Lil Lotus, Smrtdeath, Jxdn, Lil Aron, Yungblud dan seumpamanya yang menjadikan muzik pop punk sebagai wadah baru di bawah kelolaan Travis Barker. Bukankah mereka menjadikan alternative rock kembali segar di arus perdana? Kenapa mereka tidak dicalonkan?
Ini adalah pendapat penulis sendiri. Menaikkan nama-nama penyanyi-penyanyi solo dari scene hip hop yang membawa genre pop punk ini jauh lebih baik dari melihat kategori rock menjadi lemau dan tua menunggu mati. Baiklah, kalau menyampah dengan generasi hip hop yang bermain pop punk ini, kita ke dunia rock sebenar.
Kita ada Spirit Box, Maneskin, Poppy, From Ashes To New, DED, Holding Absences, Orbit Culture, Greta Van Fleet, Royal Blood, Starset, Fever 333, As Everything Unfolds, ERRA, Wolf Alice, Bad Wolves, Tettrach dan sebagainya boleh dianggap sebagai bakat muda yang segar dan moden.
Dengarkan karya-karya terbaru mereka sepanjang 2021 ini. Mereka membawakan muzik rock dan metal tetap terus hidup dengan gaya yang lebih menepati tahun 2020’an tanpa perlu menjadi pop seperti sebahagian besar band popular lain.
Malah nama-nama besar yang masih segar dan usia mereka pun masih lagi muda penulis kira boleh saja dimasukkan. Kita ada siapa? Nama-nama yang gempak. Bring Me The Horizon, Don Bronco, The Pretty Reckless, Trivium, Architects, Ice Nine Kills, Dirty Honey, Jinjer, Bullet For My Valentine, Beartooth, Wage War, A Day To Remember, dan lain-lain. Dan ya, mereka menghasilkan album pada tahun ini.
Jika hendak dibandingkan album baru Foo Fighters, ia langsung tidak dapat menandingi album Post Human : Survival Horror dari Bring Me The Horizon atau pun album The Silver Scream 2 : Welcome To Horrorwood dari band Ice Nine Kills yang jauh lebih bersifat revolusi dan eksperimental. Meski Foo Fighters adalah band legenda, tetapi kita perlu jujur, taring mereka sudah semakin tumpul dari album ke album.
Penulis mahu saja menamakan Brand Of Sacrifice, Lorna Shore, Slaughter To Prevail ataupun Shadow Of Intent sebagai pencalonan untuk metal. Namun kita faham band-band ini terlalu ekstrim untuk acara umum seperti Grammy, jadi penulis merasakan Spirit Box selayaknya diletakkan sebagai calon. Meski mereka ada sisi ekstrimnya, dalam masa yang sama ada nilai komersial dalam muzik mereka. Ini adalah masa depan muzik metal.
Bayangkanlah, sudah tahun 2021, masih meletakkan AC/DC dan Paul McCartney sebagai top 5? Dalam kategori pop elok saja mereka letak nama-nama pelapis muda seperti Billie Eilish dan Olivia Rodrigo. Paling otai pun mereka letak Justin Bieber dan Ariana Grande. Nampak bentuk halus perlekehan di situ?