ULASAN: SAYONARA, BOYS – MINE

oleh Music Addicts Malaysia
1.3K bacaan

Band: Sayonara, Boys
Tajuk Single: Mine
Tarikh Pelancaran: 28 Februari 2020
https://youtu.be/L7lL9cDiU_0

Dari bunyi “Silversun Pickups” hingga “Editors” dan perjuangan muzik alternatif rock nostalgia yang sedang mereka anuti, Sayonara Boys! sepertinya menemukan titik tengah.

Band beranggotakan Hakim Mazlan (Vokal), Aqif Shahir (Lead Guitar), Azif Shahir (Drums) dan Akmal Borhan (Bass) ini telah meramu bahagian-bahagian terbaik dari karya Silversun Pickups, Catfish dan band sealiran dengannya melalui permainan muzik alternatif rock sederhana. Hasilnya adalah sebuah lagu manis berjudul “Mine” yang boleh didengari di saluran-saluran digital seperti YouTube, Spotify dan Apple Music.

Muzik Sayonara, Boys! terasa sangat natural, bukan cuma terikut dengan band kesayangan mereka. Dengan nada vokal sederhana yang dihasilkan terdengar tanpa dibuat-buat, mereka tidak perlu meletakkan tekanan yang tinggi untuk menghasilkan kata-kata yang dalam untuk menjadikan lagu ini terasa kuat.

Mereka hanya memulai band ini pada tahun lepas, 2019 dan khabar baik bakal muncul apabila EP baharu menyusul nanti.

Okay. Berbalik kepada single “Mine.” Kalau boleh jujur, dari segi teknik vokal banyak yang perlu dikritik, ditambah penggunaan bahasa Inggeris yang sedang-sedang. Namun, temponya masih teratur.

Seringkali penulis melihat, mendengar dan menemui band di mana susunan muziknya mantap, tetapi liriknya tidak mencapai piawaian minimum yang sepatutnya.

Apa yang ditekankan di sini ialah, tatabahasa bahasa Inggeris-nya tidak sepadan dengan lagu, membuatkannya sedikit aneh jika didengar berulang kali.

Band seperti Sayonara Boys! ini sebenarnya jelas mempunyai gaya muzik yang sedap, komposisi lagunya juga menarik dan jauh dari teruk. Kepada pencinta muzik alternatif rock, pasti akan jatuh cinta pertama kali mendengar muzik mereka. Dari sudut struktur lagu, memang tiada masalah untuk mereka pergi lebih jauh.

Sayangnya, setelah mendengar lirik lagu “Mine,” banyak yang tidak kena. Bahkan gaya lontaran lirikal sudah ada yang salah. Ini merupakan bahagian yang paling penting untuk diperbaiki pada masa hadapan.

Bahasa Inggeris memang bukan bahasa ibunda kita. Tetapi itu bukanlah alasan lirik lagu sebegitu sedih jadinya.

Contohnya jika anda mendengar band luar negara yang menyanyi dengan bahasa Melayu yang teruk, pastinya akan rasa geli hati, bukan?

Sayonara, Boys! seharusnya mencontohi sejumlah band tanah air yang menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan berjaya. Jadikan Prasasti, Toko Kilat, Jemson dan banyak lagi sebagai contoh.

Masih belum terlambat buat Sayonara, Boys! untuk menggunakan bahasa Melayu dalam berkarya. Mungkin untuk karya-karya yang seterusnya.

Mereka sebenarnya sudah mampu bermain genre alternatif rock dengan sempurna dan benar. Rakamannya juga sedap untuk didengar.

Dalam pada itu, pengaruh muzik yang terlalu sama juga perlu dielakkan. Jangan pernah anggap “Wah, korang ni (band luar negara) versi Malaysia!” sebagai sebuah pujian.

Penulis sendiri misalnya menyarankan agar Sayonara, Boys! mencipta identiti sendiri namun tidak perlu statik kepada agenda menggayakan bunyian yang sudah familiar.

Selepas ini, penulis berharap Sayonora Boys! menghasilkan lagu baharu dalam bahasa Melayu pula. Penggunaan bahasa Melayu mempunyai citarasa dan nilai estetikanya yang tersendiri meskipun gaya muziknya masih kedengaran seperti band luar dari tanah air.

Jangan salah sanggap. Penulis bukan tidak menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris, namun band/ penulis lirik perlulah benar-benar bersedia dan mampu menulis dengan baik sebelum mempersembahkannya dalam bentuk lagu. Jika mahu juga, rujuk kepada yang lebih pakar terlebih dahulu agar tidak dikritik kemudian hari.

Di samping itu, penulis sempat bertanyakan beberapa hal mengenai Sayonara, Boys! dan antaranya adalah bagaimana tercetusnya nama band dan apa yang mahu disampaikan melalui cara bermuzik di masa hadapan.

“Sayonara, Boys! ini sebenarnya tak ada real meaning. Idea tu datang daripada kata sepakat kami yang dalam life ni there’s no memorable “hello” or “hi” cuma “goodbyes” yang kita ingat so Sayonara Boys! aim to be memorable.”

“Sayonara, Boys! cuma nak enjoy main live shows, buat lagu yang best translates diorang punya life experience and also untuk listeners relate to their songs.”

Dan memetik lagi kata-kata Sayonara, Boys!,

“Sayonara, Boys! tidak dinafikan mempunyai influence yang agak pelbagai dan kuat, namun bukan untuk bermain seperti mereka tapi sekadar untuk membentuk inspirasi dari segi sound dan feel yang lagu-lagu diorang bagi kepada para pendengar.”

Kesimpulannya, muzik itu memerlukan ruang untuk diperdengarkan, dikenali, dilihat dan dinikmati sebagaimana seharusnya pemuzik itu sendiri berkongsi karya kepada peminat dan sebaliknya. Kita saling memerlukan dan simbiosis itu akan terus kekal hingga bila-bila.

Tidak hanya sekadar menciptakan muzik dan karya yang mantap, sebaiknya karya itu juga disalurkan ke pelbagai platform agar ia mampu sampai ke telinga pendengar.

Music Addicts Malaysia akan terus bersama kalian bagi mencorak masa hadapan muzik Malaysia yang lebih utuh dan gemilang. Oleh sebab itu, kritikan perlu disampaikan dengan jujur dan jelas agar setiap kelemahan yang ada dapat diperbaiki di masa hadapan.

Kepada Sayonara, Boys!, single “Mine” adalah pemula yang sangat baik. Harapnya kelahiran EP pertama nanti akan memeriahkan lagi industri muzik tanah air kita. Teruskan berkarya dan hasilkan lagu-lagu yang lebih baik selepas ini!

Ikuti Sayonara, Boys! di:

Facebook: Sayonara, Boys
Instagram: sayonaraboysmy
Twitter: SayonaraBoysMy
Youtube: Sayonara,boys!

#Ronnenfelt

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅