ULASAN: SEGI OVER AND DONE

oleh Esa Zuan
1.7K bacaan

Band: Segi
Tajuk Single : Over and Done
YouTube (Video Rasmi) : https://youtu.be/60dd9R7Nk5w
Tarikh Pelancaran : 6 Mac 2020

Kali pertama disogokkan dengan single dari band yang diberi nama Segi,

jujurnya ia sesuatu yang baharu pada penulis. Dengan nama band yang unik lagi ringkas, penulis mengandaikan konsep muzik yang tak lari seperti band alternatif sedia ada di Malaysia yang tak perlu disebut namanya. Kurang lebih begitu pengamatan awal yang dapat digambarkan sewaktu menggunakan deria mata cuma.

Perjuangan band yang asalnya unit 3-piece ini masih diteruskan biarpun hanya tinggal berdua selepas pengunduran pemain dram asal mereka. Projek alternatif rock yang berasal dari ibu kota ini, kini dianggotai Rashidi sebagai penyanyi sambil bermain gitar, dan turut bersamanya juga ialah Ismail sebagai pemain bass.

Segi sebenarnya sudah mewarnai scene muzik tanah air sejak 2017 dengan berlatar-belakangkan pengaruh muzik seperti Queen, Guns N’ Roses, Muse dan beberapa lagi band termasuk Khruangbin.

Pada Mac 2020, mereka melepaskan single bertajuk “Over and Done” ke beberapa platform digital terkemuka termasuk di saluran YouTube milik mereka.

Kini tiba untuk merasai buah tangan mereka dengan memasang deria dengar.

Memperdengarkan “Over and Done” dalam gaya separa akustika, penulis tercari-cari band terhampir yang miliki konsep dan acuan yang sama dengan bunyian yang dihasilkan. Akhirnya, terlintas satu lagu yang popular satu ketika dahulu iaitu “Hey, There Delilah” dari Plain White T’s dengan vokal key rendah serta petikan gitar akustik yang terjalin sama. Kadang-kadang dapat juga feel “Unintended” untuk lagu ini.

Ternyata inferens yang dibuat pada perenggan pertama gagal dengan apa yang diamati atas permukaan. Ini menggambarkan positifnya pertumbuhan cabang muzik kita yang majoritinya sebelum ini mahu membina empayar dengan berkompaskan satu kiblat yang sama sahaja.

Lirikal bertemakan kisah yang klise – konflik perhubungan yang melankolik dengan pengakhiran yang pahit, memaksa pendengar terbaring dengan empangan kelopak mata. Menurut mereka, lagu ini masih menyambung mood single “Broken” sebelum ini. Penulis merasakan mereka sepatutnya sudah boleh move on dengan tulisan lirikal gaya ini. Ekspresi putus cinta ini sepatutnya diserahkan sepenuhnya pada artis solo remaja di arus perdana.

Mengulangkaji katalog mereka di YouTube, lagu “Broken” berjaya menambat hati penulis. Tak dinafikan, Segi menjadi bayang-bayang Radiohead dan Muse pada lagu tersebut. “Broken” telah menjadi penanda aras pada kematangan mereka yang masih berusia setahun jagung ketika itu. “Broken” juga adalah karya Segi yang hebat di segenap segi. Dari verse hingga korusnya berjaya mencangkuk audiens dengan melodi sedap serta vokal yang mantap.

Berbalik pada “Over and Done,” dua gitar akustik yang dibantu dengan solo gitar elektrik, bass berserta detakan dram yang minimal dapat menzahirkan mood lagu yang bercorak mudah. Sebenarnya Rashidi juga membantu menyelamatkan lagu dengan tone suara yang sedap berserta kawalan key rendah yang sangat baik untuk kelas mereka. Memang ini konsep yang paling sesuai dibawa Segi.

Mereka percaya bahawa single ini mempunyai potensi besar dan membuat keputusan merakam dengan unit kugiran penuh adalah satu tindakan yang bijak. Jika diteruskan dengan rencana asal iaitu dirakam secara akustik, pasti feel lagu menjadi lebih lemah. Melodinya tak catchy macam “Survival,” korusnya tak kuat seperti “Broken.”

“Over and Done” boleh disifatkan sebagai sederhana dalam seleksi material mereka. Dengan produksi yang sederhana berserta muzik video stail DIY yang berkualiti mampu menghasilkan satu rujukan bagi perjalanan mereka pada masa akan datang.

Teruskan mencari formula dan resipi baharu dengan bakat dan kebolehan yang ada. Jika diteliti maklumbalas positif yang diberikan untuk single “Broken,” Segi bukan lagi band syok sendiri. Konsep Segi masih ditagih peminat muzik di sini dan teruskan mencari ruang-ruang yang perlu diperbaiki agar terus maju.

Apabila ditanya tentang harapan Segi terhadap scene muzik negara yang kian berkembang dan berwarna-warni mutakhir ini;

“Kami berharap peminat muzik tanah air akan terus menyokong karya tempatan agar ia menjadi lebih rancak dan memberi semangat buat pengkarya untuk menghasilkan karya mereka.”

I guess its over and done.

Ikuti Segi di semua platform media sosial:

Facebook: Segi
Instagram: segiband
Twitter: BandSegi
Youtube: Segi band

#8DCordo

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅