Kejayaan Mus menjadi naib juara dalam rancangan realiti TV Gegar Vaganza telah membuktikan bahawa dia masih mampu berdiri teguh meskipun sudah berpisah dengan band asalnya MAY. Dia membuktikan, seorang vokalis yang sudah berpengaruh, tidak perlu bergantung kepada anggota band lain sekiranya dia sendiri sudah mahir dengan selok belok industri hiburan tanah air. Sedangkan band MAY sendiri tanpa Mus di hadapan mereka, masih tidak dapat dipastikan untung nasib mereka, sekurang-kurangnya buat masa ini.
Vokalis Yang Tunggang Band, Atau Band Yang Tunggang Vokalis?
Ketika menonton rancangan Melodi suatu ketika dahulu sekitar 2004-2005, arwah Achik Spin pernah dilanda kontroversi dengan sedikit perselisihan faham bersama anggota band yang lain. Ini adalah zaman di mana Achik tidak putus-putus mendapat undangan persembahan tetapi masalahnya adalah ia hanya undangan secara solo. Anggota band yang lain tidak dapat turut serta kerana kemahuan kebanyakan promoter yang hanya mahu mengambil vokalis sahaja membuat persembahan secara solo bersama iringan muzik minus one.
Hal ini telah menimbulkan ketidakpuasan hati kepada bandmate yang lain apabila mereka tidak dapat job untuk tempoh masa yang lama, sedangkan vokalis mereka sentiasa menyanyi di sana-sini sepanjang masa.
Jawapan Achik waktu itu lebih kurang berbunyi,
“Saya tak pernah melupakan band saya. Ke mana-mana pun saya pergi, saya mesti akan gunakan nama Achik Spin. Saya tak pernah meninggalkan nama Spin dan ia secara tidak langsung mempromosikan nama Spin itu sendiri.”
Josh Farro dan Zack Farro satu ketika meninggalkan Paramore kerana krisis populariti Hayley William yang mendapat perhatian berlebihan dari media. Ia diluahkan sendiri oleh Josh Farro yang tidak berpuas hati dengan trend tersebut. Di peringkat antarabangsa juga, fenomena ini tetap berlaku. Lihat projek-projek solo dari vokalis band-band popular, ia membuktikan ke mana saja penyanyi itu pergi, mereka mampu survive. Tetapi belum tentu sesebuah band itu mampu survive tanpa vokalis asal mereka.
Konsert bersempena album Bikin Wilayah yang menggabungkan kembali band hard rock terunggul, Search bersama Awie merupakan kolaborasi yang sangat mengujakan sepertimana kita melihat reunion di antara Black Sabbath bersama Ronnie James Dio untuk projek Heaven And Hell. Siapa tidak tahu lagu Nur Nilam Sari yang cukup berhantu dahulu?
Sebenarnya konsert Search bersama Awie ini boleh kita katakan satu ekspresi atau tindak balas bandmate Search kerana kegagalan komitmen dari vokalis mereka, Amy yang sudah semakin jarang dapat bersama dengan mereka. Kalau dikirakan balik, sudah agak lama sebenarnya Search tidak bikin konsert kerana kesibukan Amy dengan businessnya. Konsert tanpa penglibatan Amy ini sebenarnya membangkitkan kembali isu tentang peranan vokalis dan juga populariti dan kepentingan mereka yang melebihi band itu sendiri.
Akhirnya kita sedia maklum, Amy secara rasminya meninggalkan Search dan sepertinya mahu bersara terus dari bidang nyanyian.
Trend di Malaysia, penyanyi rock mampu untuk hidup secara solo, malah ada antara mereka jauh lebih berjaya dari sewaktu bersama dengan band asal mereka. Lihat contoh terbaik adalah ratu rock kita, Ella sendiri. Sejauh mana dia telah pergi di dalam industri berbanding sewaktu dia bersama dengan band Ella & The Boys dahulu? Benda ini tak dapat kita nafikan. Adakalanya peminat dan penganjur sendiri lebih suka fokus kepada penyanyi berbanding band secara keseluruhannya. Akhirnya band terpaksa bergantung nyawa kepada vokalis mereka. Kerana mereka sedar mereka tidak akan ke mana-mana tanpa vokalis yang sudah disukai oleh peminat.
Apa lagi contoh yang boleh diberi? Apa yang dah jadi pada Meet Uncle Hussein tanpa Azlan? Bagaimana pula nasib Kristal tanpa Lan? Bagaimana Iklim mahu bangkit kembali tanpa arwah Saleem? Bagaimana rosaknya Ukays tanpa Amir? Bagaimana OAG masih hidup hanya kerana Radhi sahaja yang kekal di dalamnya dan bagaimana peminat terpecah kerana krisis vokalis dalam XPDC. Banyak contoh kita boleh beri, untuk membuktikan vokalis yang diminati peminat adalah lebih penting untuk karier sesebuah band.
Pada pertengahan 90’an dulu, kita melihat bagaimana band-band gergasi terpaksa struggle untuk hidup dizaman kegelapan muzik rock tanpa vokalis asal mereka. Contohnya MAY dan Wings. MAY terpaksa berjalan bersama Yantzen manakala Wings pula bersama Mus. Bayangkan bagaimana mereka terpaksa berdepan dengan zaman kejatuhan rock waktu itu?
Namun dalam masa yang sama, tidak boleh dinafikan, ada saja penyanyi yang memerlukan band kerana gagal sebagai penyanyi solo. Meskipun memiliki peminat yang ramai, kita lebih suka melihat penyanyi-penyanyi ini bersama band mereka kerana apabila bergerak solo, mereka tidak kuat daya tarikannya. Antara contoh adalah Mael XPDC sendiri. Terus-terang, projek solonya memang tak mampu membawanya pergi jauh. Dia lebih sesuai bersama XPDC, kerana di situlah tempatnya menjadi rockstar yang gah. Siapa lagi? Lan Solo? Ezad dan Mamat Exists?
Dalam hal ini, kita dapat belajar betapa pentingnya semangat ke’kita’an dalam menggerakkan kemajuan sesebuah band. Mudah saja, ia memerlukan minat mendalam bermain dalam sebuah band, keserasian sesama anggota dan kesediaan untuk susah senang bersama. Ia bukan sekadar komitmen. Komitmen sahaja tidak cukup tanpa tiga benda yang disebutkan tadi. Kerana komitmen hanya menjadi pengikat untuk berkerjasama, bermain band ni bukan sekadar berkerja bersama. Tetapi bermain band adalah berkaitan dengan minat, penyatuan jiwa dan perkongsian kepala. Jika tidak, kita hanya melihat sebuah band yang mana bandmatenya sentiasa bertukar-ganti.
Dua situasi ini sepatutnya menjadi pengajaran berkaitan peranan vokalis dan juga sesebuah band rock.
Akim & The Majistret
Kita lihat bagaimana Akim dari seorang penyanyi pop solo yang memiliki kelompok peminat tersendiri, akhirnya menubuhkan sebuah band rock, di mana dia sendiri memberi komitmen dengan sepenuh hati terhadap band itu. Sedangkan dia boleh saja menjadi penyanyi rock solo kerana kebanyakan lagu The Majistret adalah karya dia sendiri. Bukan tidak ada contoh, lihat Faizal Tahir dan Hazama, mereka boleh saja menyanyikan lagu-lagu rock tanpa bergerak sebagai sebuah band.
Tetapi kenapa Akim tidak memilih jalan tersebut? Kerana minat. Itu sahaja. Jiwanya sendiri adalah jiwa band, sebab itu dia sehingga hari ini masih tegar bergerak dengan The Majistret. Bila jiwa kita adalah jiwa band, tak ada apa yang boleh halang kita dari mengabaikan band kita sendiri. Kerana band itu sudah sebati dengan diri kita.
Rich dan Estranged
Dalam scene Underground, Estranged sudah memiliki nama, tetapi vokalis mereka, Rich memberanikan diri menyertai program realiti tv terkenal waktu itu, Akademi Fantasia 4. Walaupun tersingkir awal, nama Rich sudah pun dikenali peminat muzik arus perdana dek penangan populariti rancangan tersebut. Apabila keluar dari program berkenaan, sebenarnya Rich boleh saja memulakan karier solonya sepertimana rakan-rakan dari program yang sama. Kerana itulah kebiasaan mana-mana vokalis band yang sudah berjaya dalam pertandingan realiti tv, memudahkan laluan mereka bergerak secara solo. Tomok contohnya. Dia bergerak maju secara solo selepas rancangan One In A Million, tanpa menoleh ke belakang kepada band lamanya, New Boyz.
Tetapi apa yang dilakukan oleh Rich? Dia mengambil langkah sebaliknya. Rich telah membawa bersama band Estrangednya mengecap kejayaan yang gilang-gemilang sehinggalah selangkah-demi selangkah mereka menjadi antara band terbesar pada waktu tersebut. Rich tidak meninggalkan band Estranged kerana apa? Kerana jiwanya adalah jiwa band. Padahal boleh saja dia mencuba nasib menjadi penyanyi solo, tetapi dia tetap setia dengan band.
Bergerak sebagai sebuah band sudah menjadi darah daging, kerana itulah peranan vokalis adalah bergerak secara natural. Tidak perlu dipaksa-paksa tidak perlu ditekan-tekan. Sebagai sebuah band, ajaklah anggota-anggota band untuk bermuhasabah diri bersama. Dimanakah arah jiwa yang sebenarnya? Supaya tidak timbul konflik di kemudian hari.
Kenapa Awie wajar dipuji? Lihat hari ini, dalam kejayaan secara solo pun, beliau masih komited dengan band-band beliau iaitu Wings dan Dragon Malaya. Kini bersedia untuk berkolaborasi kembali bersama Search. Inilah dia yang kita panggil jiwa yang dah sebati dengan band. 🤘